ALIF SATAR & THE LOCOS TAMPIL DENGAN KONSERT SIMFONI BERSAMA MPO, 26 OGOS DEPAN

Sempena meraikan ulang tahun ke-25 penubuhan Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Alif Satar bersama kumpulannya The Locos bakal tampil dengan sebuah konsert eksklusif menjelang Ogos depan.

'Lochestra: Alif Satar & The Locos With The MPO' itu memilih 26 Ogos 2023 sebagai tarikh keramat  bagi membawa penonton merasai pengalaman luar biasa dalam sebuah persembahan bertaraf premium di tengah bandar Kuala Lumpur. Alif Satar, 33, mengakui bukan mudah untuk berada pada tahap sebegini sehingga diberi kepercayaan untuk mengadakan konsert di sebuah dewan yang menjadi idaman semua penyanyi tidak kira solo mahupun berkumpulan. 

"Mungkin ini momen yang paling manis untuk dikecapi setelah 17 tahun dalam industri. Saya bukan sahaja teruja malahan merasakan inilah peluang yang perlu saya dan The Locos sahut. Sampai bila kita perlu berada di zon selesa yang sama, dan inilah peluang untuk kami buktikan, Alif Satar & The Locos mampu menjejakkan kaki di sini. Ya, tentunya ini bukan lagi mimpi, tapi kenyataan", kata Alif ketika ditemui media di DFP KLCC baru-baru ini. 

Bakal menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu popular mereka seperti Hey!, Cukup Indah, Toxic, Jangan Nakal, Lelaki Seperti Aku, Sesungguhnya Aku,  Akhiri Penantianku dan banyak lagi, konsert yang bakal menyaksikan kolaborasi Alif bersama kumpulannya ini akan diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra - MPO) yang akan dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose. 

Pernah menggondol beberapa anugerah termasuk memenangi tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu 37 melalui lagu Anugerah Terindah, Alif Satar & The Locos bakal mencipta satu lagi sejarah dalam industri muzik tanah air apabila diberi kepercayaan oleh DFP untuk memecah tembok persembahan melalui penganjuran konsert yang cukup bermakna ini. Selain dikenali sebagai seorang penyanyi, Alif juga aktif sebagai pengacara dan pelakon bagi beberapa buah drama dan filem, sekaligus membuktikan keupayaan Alif bukan sahaja sebagai seorang penyanyi malahan mencakupi  bidang hiburan yang lain. 

Penganjuran konsert ini adalah bagi mengukuhkan versatiliti MPO yang melangkau genre muzik, dari naskah agung klasikal ke muzik filem, tradisional, pop dan jazz. Alif Satar & The Locos akan memasuki senarai kolaborasi terunggul MPO bersama artis-artis tempatan seperti Tan Sri SM Salim, Dato’ Sheila Majid, Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ M Nasir, Dato’ Jamal Abdillah, Ella dan Dayang Nurfaizah.

Ketika berkongsi kepada media, konduktor MPO terkenal, Ahmad Muriz Che Rose menyifatkan pemilihan Alif Satar & The Locos untuk beraksi di DFP ini adalah petanda kami bersifat terbuka bagi meraikan semua genre muzik. Ini adalah bagi meraikan ulang tahun ke- 25 penubuhan DFP yang tentunya akan mengimbau nostalgia peminat muzik dan kali ini sasaran kami adalah generasi muda dan juga mereka yang meminati muzik. Menariknya, Alif Satar & The Locos akan beraksi bersama Okestra Filharmonik Malaysia (MPO), dan banyak kejutan yang akan ditampilkan.

Dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Sabtu, 26 Ogos 2023 bermula jam 8.30 malam, 'Alif Satar & The Locos with MPO', sudah boleh dibeli tiketnya sejak beberapa minggu yang lalu. Tiket-tiket berharga dari RM155, RM255, RM355, RM455, RM555 dan RM655 sudah boleh ditempah di sini. 

Amy Ikram by wajib tonton. 
Gambar: Iddean Abdul 

Catat Ulasan

0 Ulasan