RATU ROCK NEGARA, ELLA BAKAL GAMATKAN PULAU PINANG 28 OKTOBER DEPAN

Selepas berjaya dengan konsert terdahulunya di Kuala Lumpur pada Jun lepas, Ratu Rock Negara, Ella kini tampil dengan konsert yang sama di Pulau Pinang pada 28 Oktober depan. 'Jilid Akhir: Ella Puteri Kota', yang dijadualkan berlangsung  28 Oktober 2023 itu memilih Spices Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang sebagai lokasi penganjuran konsert tersebut selepas Singapura pada 17 dan 18 Ogos 2023. Penjualan tiket bagi menyaksikan konsert ini pada siri terdahulu habis terjual dan ia sekaligus berjaya memecah rekod penjualan tiket bagi artis tempatan.

Ella atau nama sebenarnya Nur Zila Aminuddin, 57, ketika ditemui pada sidang media di Pavillion Elite, Kuala Lumpur menyifatkan penganjuran konsert yang akan berlangsung Oktober depan bakal menyajikan pelbagai kejutan yang tidak disangka. 

"Saya nak habaq yang bahawasanya saya merupakan anak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang, dan sebagai menghargai permintaan semua peminat tersayang terutamanya di belah utara. Jadi untuk kali ini, kami bakal datang dengan membawakan konsert yang dinanti-nantikan, Jilid Akhir: Ella Puteri Kota untuk kenangan bersama. Pelbagai kejutan akan kami sajikan, insya allah", kata Ratu Rock Negara, Ella dengan nada penuh teruja.

Ella yang giat mempromosikan siri jelajah konsertnya sehingga ke negeri asal kelahirannya, Pulau Pinang juga aktif dalam bidang perniagaan produk RockQueen seperti abaya dan buku biografi yang bertajuk ‘Rockers Juga Manusia’.

“Sebagai seorang penghibur, saya tersentuh dengan cerita peminat yang hadir di konsert, antaranya seorang anak telah menghadiahkan tiket konsert buat kedua ibu bapanya yang merupakan ‘die-hard fans’ saya dan mereka sangat ‘enjoy’!”

“Disebabkan momen-momen beginilah yang menjadi pemangkin bagi saya untuk meneruskan konsert ini di beberapa lokasi lagi dan Pulau Pinang menjadi pilihan seterusnya, perancangan konsert ini telah dilakukan awal, cuma tarikhnya baharu sahaja kami putuskan.

Masih mengekalkan tema ‘Rock Glam’, konsert yang dijangkakan berlangsung sekitar 2 jam setengah akan disajikan dengan kira-kira 25 ke 30 buah lagu bergantung dengan permintaan, dan pastinya ada artis jemputan yang masih dirahsiakan nama mereka sebagai kejutan.

Ketika diajukan tentang persiapan bagi meneruskan legasi konsert ini yang khabarnya bakal memukau penonton seperti konsert terdahulunya di Kuala Lumpur, Ella optimis mengatakan 2023 merupakan tahun pembawa rezeki dan peminat muzik perlu merasai pengalaman menonton konsert secara langsung. 

“Saya kini sedang giat menjalankan sesi latihan muzik beberapa kali seminggu serta aktiviti rutin kecergasan demi membina stamina yang jarang-jarang saya tinggalkan. Dari segi susunan muzik pula pastinya ada kelainan bersesuaian dengan konsep konsert nanti di bawah kelolaan pengarah muzik, Dato’ Acis yang dilatari 9 pemuzik profesional dan 20 orang penyanyi koir sewaktu malam konsert.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) &  Pengasas Hitman Solutions, Encik Rohit Rampal berkata, “Kejayaan konsert JILID AKHIR : ELLA PUTERI KOTA tempoh hari dengan penjualan tiket yang berjaya memecahkan rekod dalam masa 24 jam berjaya memasuki Malaysia Book of Records membuktikan bahawa Ella semenangnya Ratu Rock Negara yang tiada tandingan. 

“Demi menyahut permintaan peminat Ella yang tidak berpeluang menonton konsert tempoh hari, pihak Hitman Solutions akan sedaya-upaya memberikan kepuasan maksima buat penggemar rock di bahagian utara, dan nantikan pengumuman kami yang seterusnya.

Akhiri Ella: “Semoga peminat saya semua akan terhibur dan bahagia menyaksikan konsert saya nanti, pastinya sebuah pengalaman indah dan menjadi kenangan manis yang bakal dirindukan.

Tiket bagi menyaksikan konsert Ella ini telahpun  dijual sejak 2 Ogos lalu dan mereka yang belum membuat tempahan, boleh klik di sini.  

Amy Ikram by wajib tonton.

 

Catat Ulasan

0 Ulasan