WALI BAND GEGAR JB OKTOBER INI

Fenomena Wali Band terus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat Malaysia apabila 50 peratus tiket konsert Wali Live In JB berjaya terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan dibuka semalam. 

Sambutan luar biasa tersebut hadir ketika kumpulan popular dari Indonesia itu meneruskan siri jelajah mereka di Malaysia, yang sebelum ini telah membawa mereka bertemu peminat di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur sebelum melengkapkan perjalanan menerusi konsert di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 3 Oktober 2026, bermula jam 8.00 malam. 

Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment & Infinity Love Creative Ventures bukan sekadar menandakan kepulangan Wali Band ke Malasia, malah menjadi simbol penghargaan kumpulan tersebut terhadap sokongan luar biasa yang tidak pernah putus daripada peminat tempatan sejak lebih dua dekad lalu.

Dengan sambutan yang sentiasa menggalakkan setiap kali mereka tampil di negara ini, konsert Wali Live In JB disifatkan sebagai sebuah lagi persembahan yang cukup bermakna kepada perjalanan muzik mereka bersama peminat Malaysia.

Selama lebih 25 tahun berkarya, Wali Band yang dianggotai Faank vokalis, Apoy (gitar/komposer), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) terus membuktikan keunggulan mereka sebagai antara kumpulan paling berpengaruh di Nusantara. 

Lagu-lagu seperti Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yank, Doaku Untukmu Sayang, Aku Bukan Bang Toyib, Nenekku Pahlawanku dan banyak lagi bukan sahaja mencatat jutaan pendengar di platform digital, malah terus menjadi pilihan peminat setiap kali dipersembahkan secara langsung.

Keistimewaan Wali Band terletak pada kemampuan mereka menghasilkan karya yang dekat dengan kehidupan masyarakat. Lirik yang sederhana tetapi penuh makna, dipadankan dengan melodi yang mudah diingati, menjadikan lagu-lagu mereka terus relevan merentas generasi. 

Tidak hairanlah setiap persembahan band muzik asal Tangerang, Indonesia ini sering bertukar menjadi lautan suara apabila ribuan peminat menyanyikan setiap bait lagu bersama-sama.

Menurut vokalis Wali Band, Faank, siri persembahan mereka di Malaysia kali ini memberikan pengalaman yang cukup bermakna sehingga terasa seperti sebuah jelajah khas buat para peminat di negara ini.

"Alhamdulillah, setiap kali kami datang ke Malaysia, sambutannya sentiasa luar biasa. Kali ini terasa lebih istimewa kerana kami seperti sedang mengadakan jelajah di Malaysia. 

“Sebelum ini kami berpeluang bertemu peminat di Kota Kinabalu, kemudian Kuala Lumpur, dan kini kami akan mengakhiri perjalanan ini bersama peminat di Johor Bahru,” katanya. 

Beliau berkata, setiap lokasi memberikan pengalaman yang berbeza, namun kasih sayang yang diterima daripada peminat Malaysia sentiasa sama.

"Apa yang membuatkan kami sentiasa rindu untuk kembali adalah semangat peminat di Malaysia. Mereka bukan sekadar datang menonton, tetapi menyanyi bersama kami dari lagu pertama hingga lagu terakhir. Itulah momen yang paling kami hargai sebagai pemuzik,” kata Faank lagi. 

Tambah Faank lagi, Wali Band mahu menjadikan konsert di Johor Bahru sebagai sebuah malam yang bukan sahaja dipenuhi nostalgia, malah membawa kegembiraan kepada semua yang hadir.

"Kami sedang menyiapkan sebuah persembahan yang istimewa untuk Johor Bahru. Sudah tentu lagu-lagu yang paling dirindui peminat akan kami bawakan, dan mungkin juga ada beberapa kejutan yang kami simpan khas untuk malam itu. Kami berharap semua dapat hadir dan sama-sama mencipta kenangan yang indah bersama Wali Band,” jelasnya. 

Sementara itu, wakil penganjur Nusantara Live Entertainment, Nur Liyana Abdul Rahman dan wakil penganjur Infinity Love Creative Ventures, Shasha Samsudin berkata,  pemilihan Johor Bahru sebagai destinasi konsert Wali Live In JB dibuat atas beberapa faktor strategik, termasuk kedudukannya sebagai hab utama di selatan tanah air yang menghubungkan tiga komuniti peminat serantau.

"Johor Bahru merupakan lokasi yang sangat strategik kerana berada di pintu masuk selatan Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan Singapura dan berhampiran Batam, Indonesia. Kedudukan ini membolehkan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia berkumpul di satu lokasi untuk menikmati sebuah konsert bertaraf antarabangsa."

Menurut Shasha lagi, pemilihan EduCity Sports Complex diyakini mampu menampung kehadiran ribuan peminat dari dalam dan luar negara serta menawarkan pengalaman menonton yang lebih selesa.

"Kami melihat konsert ini bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi sebagai platform yang menyatukan peminat muzik Nusantara. Johor Bahru mempunyai akses yang mudah melalui jaringan lebuh raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Tambak Johor, Laluan Kedua Malaysia–Singapura dan perkhidmatan feri ke Batam. Kami percaya lokasi ini akan memudahkan peminat dari tiga negara untuk hadir bersama-sama,” katanya. 

Penganjur turut yakin konsert ini mampu memberikan impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat menerusi kehadiran pengunjung dari luar Johor dan luar negara.

Dengan produksi pentas yang lebih segar, sistem audio bertaraf antarabangsa serta pilihan lagu-lagu yang telah menjadi runut bunyi kehidupan jutaan peminat, Wali Live In JB dijangka menjadi antara konsert Nusantara paling dinanti-nantikan pada tahun ini.

Tiket berharga RM88), (Cari Berkah - CAT 3), RM128 (Cari Jodoh- GA), (RM128 (Emang Dasar – CAT 2), RM168 (Nenekku Pahlawan – CAT 1), RM388 (Tomat – VIP) dan RM1188 (Yank – Super VIP) sudah mula dijual pada hari ini bermula jam 12 tengahari dan boleh didapati menerusi pautan di sini.

Catat Ulasan

0 Ulasan