SYAMEL LANCAR ALBUM SOLO 'PERTAMA'

Selepas sedekad mengukir nama dalam industri muzik tanah air, penyanyi Syamel akhirnya merealisasikan impian memiliki album solo sulung menerusi Pertama yang bakal dilancarkan 24 Julai ini.

Mengandungi enam lagu, Pertama bukan sekadar menandakan satu lagi pencapaian dalam kerjaya seni Syamel, malah menjadi naskhah yang merakam perjalanan emosi, pengalaman serta fasa jatuh bangun dilaluinya sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.

Bagi Syamel, penantian panjang menghasilkan album bukan kerana mahu mengejar waktu atau memenuhi tuntutan kerjaya, sebaliknya mahu memastikan karya sulung itu lahir ketika dirinya benar-benar bersedia.

“Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya.

“Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya. Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” katanya.

Syamel berkata, pemilihan Pertama sebagai judul mempunyai pengertian tersendiri apabila bukan sahaja merujuk kepada album sulungnya, malah membawa simbolik keberanian memulakan kembali kehidupan selepas melalui kegagalan, kehilangan atau kekecewaan.

Album itu juga menjadi tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sepanjang sedekad perjalanan seninya.

Menariknya, Syamel menyusun Pertama seperti sebuah buku dengan enam lagu mewakili enam bab perjalanan emosi.

Setiap karya mempunyai cerita, warna dan emosi tersendiri, namun apabila didengarkan mengikut susunan trek, kesemuanya membentuk sebuah perjalanan yang saling berkait.

Pertama membuka tirai menerusi Beribu Tanda Tanya, diikuti Cukup Sekali, Aku Bukan Dia, Dalam Kenangan, Tunjukkan Ku Bahagia sebelum diakhiri lagu Pertama  dalam album berkenaan.

Bagi merealisasikan visi muziknya, Syamel mendapatkan sentuhan beberapa nama besar dan bakat kreatif tempatan termasuk Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan dan Adam Armin.

Malah, Syamel tidak sekadar tampil sebagai penyanyi apabila turut terbabit dalam proses penulisan dan penciptaan tiga karya iaitu Cukup Sekali, Dalam Kenangan dan Aku Bukan Dia.

Penglibatan secara langsung itu penting baginya dalam memastikan identiti Pertama kekal dekat dengan jiwa serta dirinya sebagai seorang pengkarya.

“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian.

“Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” katanya.

Sebahagian karya dalam album berkenaan diinspirasikan daripada pengalaman peribadi Syamel, selain menyerap kisah dan emosi individu di sekelilingnya.

Menurut Syamel, perasaan kehilangan, kerinduan, harapan dan kekecewaan adalah sesuatu yang universal, sekali gus membolehkan pendengar mentafsir setiap lagu berdasarkan pengalaman kehidupan masing-masing.

Justeru, penyanyi itu berharap Pertama tidak hanya menjadi sebuah album untuk didengarkan, sebaliknya mampu menjadi ‘teman’ kepada mereka yang sedang berhadapan fasa sukar dalam kehidupan.

“Kalau ada satu lagu dalam album ini yang mampu menemani seseorang ketika dia berada di saat paling sukar dalam hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya.

“Itulah tujuan saya menghasilkan album ini,” katanya.

Selepas 10 tahun membina perjalanan seni menerusi deretan karya bernuansa emosi, Pertama membuka lembaran baharu buat Syamel untuk terus berkembang bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai pencipta karya.

Album Pertama boleh didengarkan di semua platform penstriman digital mulai 24 Julai 2026.

Catat Ulasan

0 Ulasan