Siapa pun tidak menyangka selepas hampir tiga dekad meniti perjalanan sebagai anak seni, penyanyi Atilia Haron cukup bertuah apabila masih dikelilingi peminat yang bukan sahaja setia, malah sanggup menghulurkan RM20,000 demi membantu merealisasikan konsert solonya.
Bagi Atilia, 52, pemberian daripada sepasang suami isteri itu cukup menyentuh hati apabila mereka pada awalnya hanya berhasrat membeli tujuh tiket Atilia Haron In Concert yang bakal berlangsung di Robert's Theatre, The Campus Ampang, pada 19 September depan.
Namun, hasrat berkenaan bertukar menjadi satu kejutan apabila pasangan terbabit memilih untuk menyerahkan RM20,000 sebagai tanda sokongan terhadap perjalanan seni Atilia.
Lebih bermakna, pasangan itu bukanlah wajah asing buat Atilia kerana mereka sudah sekian lama mengikuti kerjayanya dan hadir dalam hampir setiap persembahan yang dijayakan.
"Peminat itu bertanya mahu duduk di mana. Saya kata, duduk atas pentas pun boleh. Saya tidak mempunyai peminat yang ramai, tetapi mereka yang ada sangat setia. Kesetiaan mereka membuatkan saya rasa mahu terus mengadakan konsert.
"Mana ada peminat seperti itu? Masya-Allah, saya sangat menghargai individu seperti ini kerana mereka benar-benar menghargai saya," katanya ketika ditemui pada sidang media Atilia Haron In Concert di The Campus Ampang.
Malah, kesungguhan pasangan berkenaan untuk terus memberikan sokongan meninggalkan kesan mendalam apabila si isteri tetap hadir menyaksikan persembahannya meskipun terpaksa menggunakan tongkat.
"Saya sangat berbesar hati. Pasangan itu hadir ke hampir setiap persembahan saya sejak dahulu. Isterinya pun datang bertongkat.
"Sebab itu saya mahu memberikan yang terbaik dalam konsert ini sebagai tanda penghargaan kepada semua peminat yang sentiasa bersama saya," katanya.
Pengalaman lalu buat ibu bimbang
Di sebalik keterujaan menanti malam konsert, Atilia tidak menafikan penganjuran persembahan berskala besar menuntut komitmen kewangan yang tinggi.
Anak kepada penyanyi veteran, Salamiah Hassan itu mengakui cabaran mendapatkan penaja bukan perkara asing dalam perjalanan seninya.
Malah, pengalaman menganjurkan konsert Gelombang Bahagia bersama ibunya sebelum ini masih menjadi ingatan apabila keseluruhan kos terpaksa ditanggung menggunakan wang sendiri.
"Mama pernah berpesan supaya jangan rugi. Ketika konsert Gelombang Bahagia, kami tidak mempunyai penaja, jadi semuanya saya tanggung sendiri.
"Saya membelanjakan wang yang banyak, tetapi saya tidak mahu menggunakan duit Mama kerana impian saya memang mahu berkongsi pentas dengannya.
"Kali ini Mama juga risau. Apabila ada penaja dan sokongan daripada peminat, saya benar-benar terharu," katanya.
Bagi mengurangkan beban penganjuran kali ini, Atilia turut memohon geran dan masih menantikan keputusan permohonan berkenaan.
Katanya, antara komitmen besar yang perlu ditanggung adalah membawa kumpulan muzik Indonesia, SORE Ze Band ke Kuala Lumpur, termasuk membabitkan kos penerbangan, penginapan dan keperluan produksi.
"Kalau geran itu diluluskan, semuanya akan menjadi lebih mudah kerana saya perlu menanggung kos penerbangan, penginapan dan pelbagai perbelanjaan lain untuk membawa kumpulan SORE dari Indonesia.
"Itu yang membuatkan Mama sangat risau," katanya.
40 lagu dalam tempoh 90 minit
Sementara itu, Atilia Haron In Concert bukan sekadar menjadi pentas untuk mengimbau karya lalu, sebaliknya dirangka sebagai sebuah perjalanan yang memperlihatkan sisi lebih matang penyanyi berkenaan selepas hampir tiga dekad berkarya.
Berlangsung selama 90 minit, Atilia bakal menghimpunkan lebih 40 lagu daripada katalog muziknya yang diberikan susunan baharu, selain mengetengahkan karya terkini serta beberapa duet istimewa.
Keseluruhan persembahan dibentuk sebagai sebuah perjalanan emosi yang membawa penonton melalui fasa refleksi, kenangan, pembaharuan dan penerimaan diri, selari dengan evolusi Atilia sebagai penyanyi dan pengkarya.
Menambah nilai istimewa, SORE Ze Band tidak hanya hadir sebagai artis undangan, sebaliknya turut menjadi rakan kolaborasi kreatif yang membantu membentuk identiti muzik konsert berkenaan.
Kerjasama itu mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Atilia berikutan hubungan peribadinya dengan Allahyarham Ade Paloh, selain keserasian artistik yang terjalin bersama kumpulan berkenaan.
Kolaborasi mereka sebelum ini turut diterjemahkan menerusi lagu Dimanakah Kau Sore Ini?, manakala untuk konsert berkenaan, beberapa susunan muzik eksklusif dan persembahan bersama turut dirancang.
Dari sudut produksi muzik, tanggungjawab sebagai pengarah muzik digalas Fly Halizor yang akan memberikan interpretasi baharu terhadap karya-karya Atilia tanpa menghilangkan identiti asal penyanyi itu.
Setiap susunan dirangka bagi memberikan ruang kepada kekuatan vokal dan penceritaan Atilia, selain mengimbangi elemen nostalgia dengan kematangan muzik yang mahu diketengahkan.
Persatuan Karyawan Malaysia pula tampil sebagai rakan kolaborasi utama dengan presidennya, Datuk Freddie Fernandez menyifatkan Atilia sebagai antara penggiat seni yang berjaya membina identiti tersendiri sepanjang berada dalam industri.
"Karyawan amat berbesar hati dapat bekerjasama menjayakan konsert ini. Kami mengiktiraf pelbagai pencapaian Atilia dalam bidang muzik dan perniagaan.
"Beliau berjaya mencipta identitinya yang tersendiri dalam industri muzik serta sentiasa dikagumi atas bakat muziknya yang luar biasa," katanya.
Turut bersama menjayakan konsert berkenaan adalah Per'l di bawah Power Root Berhad yang tampil sebagai pembentang jenama rasmi.
Bagi Atilia, selepas bertahun-tahun membina perjalanan seninya sendiri, konsert kali ini membawa pengertian lebih besar daripada sekadar kembali berdiri di atas pentas.
Sebaliknya, ia menjadi ruang untuk meraikan mereka yang kekal bersamanya, terutama peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan biarpun perjalanan industri muzik sentiasa berubah.
Atilia Haron In Concert bakal berlangsung pada 19 September ini, jam 8 malam, dengan tiket ditawarkan dalam empat kategori iaitu Prahara (RM248) yang turut menawarkan sesi bertemu peminat, Prahara (RM228), Indah (RM188) dan Sangkar (RM168).
Kredit Gambar: FB Atilia Haron
.png)
.png)


.png)
.png)

0 Ulasan