MALAM PESTA ROCK & ROLL KHAS BUAT GENG PAK MAON & BENTARAGURU

 


Rasanya belum terlambat lagi untuk kami di Wajib Tonton untuk memberi reviu tentang Konsert Kugiran Masdo di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 22 Julai 2023 yang lalu. Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), yang terletak di Menara Berkembar PETRONAS, meneruskan keraian 25 tahun penubuhannya dengan mempersembahkan sebuah konsert  istimewa bernuansakan muzik 60an dari Kugiran Masdo yang berjaya memukau peminat mereka yang digelar Geng Pak Maon dan Bentaraguru.

Konsert ini merupakan langkah berterusan DFP menghargai bakat-bakat seni dan memberikan mereka platform sejajar dengan matlamat DFP untuk menghidangkan muzik pelbagai genre untuk menarik semua lapisan masyarakat. DFP, yang boleh memuatkan 920 penonton pada satu masa, terkenal sebagai dewan konsert yang mempunyai tahap akustika yang tinggi.


Kugiran Masdo membuka persembahan dengan lagu pertama mereka iaitu 'Bunga' yang mengimbau kenangan mereka waktu memulakan karier sebagai pemuzik. Lagu 'Bunga' mula diperkenalkan pada tahun 2016, dan selepas itu, Kugiran Masdo mula menempa nama di persada muzik Malaysia. 

Dengan ahli kugiran berbakat yang terdiri daripada Ali Sariah (gitaris/vokalis/komposer), Putu Ceri (bass/komposer/vokalis) dan Asmawi (gitaris/vokal latar), Masdo berjaya mengamatkan Dewan Filharmonik dengan persembahan akustik dan juga interaksi mereka yang sangat menceriakan semua penonton yang datang bukan hanya dari Malaysia, Singapura, Brunei, malah ada penonton dari Denmark. 


Konsert ini merupakan langkah berterusan DFP menghargai bakat-bakat seni dan memberikan mereka platform sejajar dengan matlamat DFP untuk menghidangkan muzik pelbagai genre untuk menarik semua lapisan masyarakat. DFP, yang boleh memuatkan 920 penonton pada satu masa, terkenal sebagai dewan konsert yang mempunyai tahap akustika yang tinggi. 

Membawakan gubahan segar secara akustik dan juga strings, Kugiran Masdo dan juga pengarah muzik mereka Chakam dan tim mereka mengambil masa selama 2 minggu untuk mempersiapkan diri demi konsert ini.  Selain lagu Bunga, Kugiran Masdo juga membawakan lagu-lagu hit mereka seperti Dinda, Janji Manis, Inilah Jalannya, Malam Pesta Rock & Roll, Ratu hati, Kecundang, Teruna dan Dara, dan banyak lagi. 

Dan sebagai kejutan, Kugiran Masdo juga membawakan lagu terbaru mereka berjudul 'Pujaanku' buat pertama kali di pentas DFP. Lagu Pujaanku adalah lagu terbaru yang dinyanyikan secara Duet bersama Aisyah Aziz. Yang menariknya walaupun ianya tidak ada di dalam senarai lagu yang dibawakan pada malam itu dan Aisyah Aziz juga tidak hadir untuk menyanyikan lagu Pujaanku bersama mereka, Namun, Kugiran Masdo tetap membawakan lagu itu secara spontan dengan baik dan sangat menghiburkan. 


Kugiran Masdo berkata mereka sangat bersyukur dan teruja dipilih oleh DFP untuk mengadakan konsert mereka di DFP, menyedari mereka masih baru dan kini berada di pentas yang sangat berprestij membuatkan mereka tidak mensia siakan peluang yang ada. apa yang lebih mengujakan, penonton yang hadir bukan hanya dikalangan 'Geng Pak Maon' & 'Bentaraguru' tetapi ada juga peminat yang hadir bersama ahli keluarga mereka. Jadi boleh dikatakan Kugiran Masdo berjaya menarik minat bukan sahaja golongan muda malah pelbagai had umur. Menurut Putu Ceri, "Apabila mereka(penonton) selesa, kami pun selesa membuat persembahan. kami tidak jangka konsert ini jadi semeriah ini, Alhamdulillah. Terima kasih yang datang," katanya. 

Perasaan vokalis Ali Sariah untuk konsert di DFP ini, "Pada mulanya saya agak gugup sedikit, tetapi setelah saya mendapat energi dari penonton beri, Alhamdulillah ianya berjalan dengan lancar dan berakhir juga dengan sangat indah dan ini adalah salah satu momen yang kami akan kenang sampai bila-bila. Boleh kami ceritakan pada anak cucu kami di akan datang Insya-Allah". 


Menurut mereka juga, "Kami pernah mengadakan konsert dan persembahan sebelum ini, tetapi konsert ini (DFP) yang paling luar biasa dan lain. gubahan lagu dan konsep yang kami bawakan untuk konsert ini adalah berbeza. Ini juga pertama kami kami bawakan lagu-lagu kami dalam bentuk akustik dan 'strings' sepenuhnya. Kami juga membuat persembahan dalam keadaan sedang duduk, selalunya kami akan berdiri ketika membuat persembahan. Walaupun janggal dan membuatkan kami berasa gugup kerana ini bukan kebiasaan, tetapi apabila kami mendapat momentum dan energi penonton, kami sangat bersyukur". 

Pada pendapat penulis, konsert Kugiran Masdo di DFP ini adalah sebuah konsert yang sangat menghiburkan dan dianjurkan dengan sangat baik. Sebagai pendengar lagu-lagu Kugiran Masdo dan juga pernah menyaksikan persembahan Masdo secara live di beberapa konsert lain, kami merasakan Konsert Kugiran Masdo di DFP ini adalah yang paling meninggalkan kesan positif dan juga memori indah yang akan diingati untuk jangka masa panjang. 


Kugiran Masdo mengakhiri persembahan mereka dengan lagu "Bercanda di malam indah" dimana mereka mengajak semua penonton untuk bangun dan menari dan berhibur bersama mereka. Selepas Kugiran Masdo, DFP seterusnya bakal mempersembahkan konsert Khai Bahar (11 November 2023) dan Meet Uncle Hussain (2 Disember 2023).

Kredit gambar : DFP 

Catat Ulasan

0 Ulasan