JAMAL ABDILLAH BAKAL GEGARKAN KUALA LUMPUR 9 SEPTEMBER DEPAN!

Dalam usia 5 dekad, bukanlah satu perkara mudah bagi seseorang penyanyi untuk mengekalkan popularitinya. Kehebatan dan kelunakan vokal merdunya seringkali menjadi dambaan peminat malahan penampilannya di sesebuah majlis seringkali mendapat perhatian peminat seni dan hiburan tanah air sehingga beliau digelar Penyanyi Kelas Pertama.

Bermula kerjaya seawal tahun 1973 dan pernah menjuarai Bintang RTM 1979, pemilik nama Jamal Ubaidillah bin Haji Mohd Ali, atau Jamal Abdillah, 64, bukanlah nama asing di dalam industri seni suara tempatan. Anak jati Teluk Intan, Perak ini bakal mengegarkan Kuala Lumpur dengan konsert solo terbaharunya pada 9 September depan. 

Memilih Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai lokasi penganjuran, Dato' Jamal Abdillah, antara penyanyi lelaki tanah air yang bakal mencipta fenomena sekali lagi menerusi Konsert Jamal Abdillah Live In Concert . 

Merupakan projek terbaharu produksi Shiraz Projects yang bakal menampilkan Raja Pop Negara, Pengarah Urusan Shiraz Project, Shirazdeen Karim menyifatkan konsert yang bakal berlangsung 9 September depan ini sebagai sebuah persembahan penuh makna ikon legenda muzik tanah air yang wajar dihadiri semua peminat muzik tempatan. 

"Jamal adalah jenama yang kuat di dalam industri muzik tempatan. Kehebatan beliau tidak boleh dipertikaikan, malahan aura dan pesonanya tidak seperti penyanyi tempatan lain. Berikan sahaja apa jua lagu pada beliau, pasti ia tidak akan mengecewakan khalayak.

"Dari situ, saya percaya akan kebolehan beliau untuk beraksi kembali dalam sebuah konsert berskala besar. Ini kenangan yang wajar kita raikan bersama-sama dan tidak mungkin akan kembali lagi," katanya dalam satu sidang media khas pengumuman konsert Jamal Abdillah yang telah diadakan di KLCC baru-baru ini. 

Sementara itu, Jamal Abdillah, 64, yakin konsert yang bakal berlangsung 9 September depan ini sebagai memori dalam merakamkan perjalanannya sebagai anak seni yang telah lima dekad memperhambakan diri dalam lapangan seni suara tanah air.

"Saya cukup teruja apabila dimaklumkan bahawa konsert Jamal Abdillah Live In Concert ini bakal dianjurkan Shiraz Projects. Saya bersetuju untuk terlibat dalam konsert ini adalah kerana konsep yang Shiraz pernah tampilkan dalam beberapa konsert artis lain sebelum ini, membuatkan hati saya tertawan. 

"Untuk konsert ini, saya belum memikirkan apakah kejutan yang akan saya tampilkan dan sebagai peminat Jamal dan muzik wajar datang menonton konsert ini," katanya.

Jamal yang popular dengan lagu-lagu berentak pop seperti Kekasih Awal dan Akhir, Gadis Melayu, Azura, Penghujung Rindu dan sebagainya bakal mempersembahkan hampir 15 buah lagu popularnya. Selain menyanyi dan merakamkan hampir 17 buah album, Jamal juga pernah membintangi beberapa buah drama dan filem tempatan seperti Toyol, Azura, Tuah, Sejati, Kekasih Awal Dan Akhir, Suratan Kasih dan Ghazal Untuk Rabiah.

Konsert Jamal Abdillah Live in Concert sudah mula dijual tiketnya, Bagi peminat muzik  yang ingin menyaksikan konsert Raja Pop ini bolehlah membuat pembelian tiketnya di sini. Menariknya, konsert ini juga akan menampilkan dua orang anaknya, iaitu Osama Yamani dan Zaki Yamani. 


Catat Ulasan

0 Ulasan