'SUDIRMAN' IKON YANG WAJAR DIHORMATI. - FARAH WAHIDA


Sebut sahaja nama Sudirman, ada di antara kita pasti teringatkan bagaimana anak seni kelahiran Temerloh, Pahang ini mencipta legasinya. Pernah memenangi Juara Bintang RTM pada tahun 1976 kemudian memegang gelaran 'Penghibur No 1 Asia' pada 19 Mac 1989, pemilik nama Sudirman bin Arshad ini boleh dianggap antara seniman tersohor kesayangan ramai; merupakan anak Malaysia yang telah mengharumkan nama negara melalui persembahan eksklusifnya semasa Majlis Penutupan Sukan Sea Ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.

Kelibat Sudirman memakai baju bendera Malaysia rekaan pereka fesyen tersohor, Den Wahab mencuri tumpuan ramai. Ada dikalangan mereka menganggap Sudirman adalah seniman rakyat yang hati murninya begitu dekat dengan peminat malahan apa jua yang dilakukan bintang tersohor itu menjadi ikutan ramai. Setelah pemergiannya pada tanggal 22 Februari 1992, kita bagaikan kehilangan sebutir permata yang begitu berharga.


Bagi menghargai pengorbanan seni dan karier penghibur milik masyarakat ini, Yasstar Production, Kamura dan Mawar Grandeour dengan kerjasama Malakat Mall & disokong oleh Sudirman Asset Management telah menganjurkan program Tribute To Sudirman Hj. Arshad & Celebrity Hub. Program yang telah  berlangsung pada 14 hingga 23 Julai 2023 lalu menyajikan pelbagai aktiviti menarik antaranya jualan produk usahawan kecil dan sederhana, pertandingan nyanyian lagu Sudirman, pameran koleksi peribadi peminat Sudirman, pameran lukisan, majlis bacaan yasin, gerai jualan selebriti dan sebagainya.

Pengunjung dan peminat Sudirman juga dibawa merasai pengalaman luar biasa melalui pameran eksklusif peminat Sudirman melalui koleksi peribadi milik Asmawi Mat Ali dan Mohd Azhar Md. Isa. Melaluinya, pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat beberapa koleksi majalah lama, koleksi album lama Sudirman samada dalam bentuk rakaman piring hitam, kaset dan cakera padat (CD). Menurut Farah Wahida, yang merangkap pengarah urusan Yasstar Production menyifatkan Tribute To Sudirman & Celebrity Hub yang diadakan di Malakat Mall, Cyberjaya ini merupakan satu program  bertujuan untuk mendekatkan peminat mahupun pengunjung agar dapat mengenali penghibur legenda tersebut. 

"Ia bukan sekadar sebuah majlis santai semata-mata, tetapi pengisian program ini adalah untuk mengajak penonton dan pengunjung mahupun peminat arwah Sudirman agar dapat mengenali figura tersohor yang menjadi kesayangan rakyat Malaysia melalui beberapa pengisian yang diadakan. Kami bukan mahu mencipta populariti atas orang yang sudah tiada, tetapi tujuan asal kami adalah mahu peminat berkongsi apa yang mereka rasa menerusi Tribute To Sudirman. Kita juga membantu usahawan kecil dan rakan artis yang mahu mencari rezeki menerusi booth yang disediakan. Saya percaya mereka yang hadir adalah peminat Sudirman. Sebagai peminat, kita perlu menghargainya. Sudirman adalah ikon kebanggaan Malaysia," kata Farah kepada Wajib Tonton (WT).

Iwa Hudin, Pengarah Urusan Kamura ketika dihubungi WT juga menegaskan bahawa program Tribute To Sudirman yang telah berlangsung 22 dan 23 Julai 2023 itu akan menjadi acara tahunan dan Temerloh, Pahang sebagai lokasi seterusnya.

"Kita terharu dengan sambutan yang diterima kali ini. Rata pengunjung yang hadir agak ramai dan saya berharap kita dapat anjurkan lagi pada tahun depan. Sebagai penganjur bersama, saya merasakan Temerloh, Pahang iaitu tempat kelahiran arwah Sudirman sebagai lokasi seterusnya untuk acara ini," katanya.

Tribute To Sudirman & Celebrity Hub yang telah dianjurkan ini wajar menjadi acara tahunan. Ia bukan sahaja sebagai aktiviti untuk kita menghiburkan diri, tetapi pengisiannya perlu lebih ke hadapan tanpa mengambil peluang peribadi untuk menumpang populariti arwah yang hebat di puncak. Penulis merasakan program seperti ini perlu bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan berkaitan untuk lebih memberikan manfaat pada masa hadapan.

Amy Ikram by wajib tonton.

Catat Ulasan

0 Ulasan