FILEM RAIN TOWN WAKILI MALAYSIA KE CHINA

Filem Rain Town terpilih mewakili Malaysia ke Silk Road International Film Festival (SRIFF) ke-10 yang berlangsung di Fuzhou, China pada 23 hingga 27 September ini. Pengarah, Tunku Mona Riza menyifatkan penyertaan itu sebagai satu penghormatan buat seluruh tenaga produksi filem tersebut.

“Sudah tentu ini merupakan peluang untuk masyarakat luar secara lebih dekat mengenali pelbagai budaya di Malaysia. Tambah lagi, SRIFF merupakan antara salah sebuah festival  yang agak besar di China dan saya harap Rain Town dapat memikat penonton di negara tersebut,” ujarnya. 

Jelasnya, penganjuran SRIFF bertujuan untuk menggalakkan pertukaran budaya dan kerjasama strategik antarabangsa melalui pembangunan industri audio-visual China. Tayangan Perdana Rain Town di festival itu bakal  mempertontonkan garapan seni kreatif pengarah filem berkenaan yang sebelum ini memenangi banyak anugerah di festival antarabangsa dan tempatan melalui filem Redha. 

Tunku Mona memberitahu dia mempunyai aspirasi menghasilkan filem yang bercitrakan keunikan dan keindahan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia sebagai nilai penting yang boleh ditonjolkan dalam dan luar negara. 

“Saya membuat filem ini kerana ingin rakyat Malaysia sedar bahawa sebagai sebuah negara berbilang kaum yang harmoni, kita ada pelbagai cerita budaya yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa.  

“Saya harap Rain Town dapat menarik minat semua kaum di Malaysia untuk menonton filem ini dan membuka serta memberi inspirasi kepada pengarah dan penerbit tempatan lain untuk mula mencipta filem yang menggambarkan tentang masyarakat kita,” ujarnya. 

Rain Town menampilkan barisan pelakon hebat seperti Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee, Pauline Tan. Filem ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 Februari 2024.

Catat Ulasan

0 Ulasan