SELEPAS 32 TAHUN, EXISTS BAKAL LAKAR SATU LAGI SEJARAH DALAM KONSERT EXISTS X ORKESTRA

 


Selepas 32 tahun mengukuhkan kerjaya seni mereka sebagai band muzik  rakaman profesional,  Exists akhirnya mengukir sejarah apabila mereka bakal mengadakan konsert dengan gabungan simfoni  orkestra dalam Konsert Exists X Orkestra. Dianjurkan Persatuan Global Malaysia, konsert tersebut bakal diadakan di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember 2023 ini, bermula jam 8.30 malam. 

Exists yang dianggotai Ajai, Ujang, Musa, Along, Mamat dan Ezad mengakui bahawa konsert tersebut bakal menjadi satu sejarah peribadi buat diri dan kerjaya muzik mereka.


Untuk tahun ini sahaja Exists telah banyak terlibat dengan persembahan berskala konsert. Baru-baru ini di Hausboom 2023 dimana Exists menyanyikan empat buah lagu dan menurut mereka, Exists juga bakal mengadakan 3 buah konsert termasuklah konsert Exists X Orkestra sebagai penutup tahun 2023. 

Menurut Along, persembahan kumpulan Exists diiringi orkestra ini tidak pernah lagi terjadi sepanjang karier mereka. walaupun mereka pernah mencadangkan namun hanya setelah 32 tahun akhirnya impian mereka bakal tercapai. 


“Bergabung  dengan para pemuzik orkestra yang hebat memang sudah menjadi impian sekian lama. Tanyalah kepada mana-mana band, kugiran atau pemuzik, salah satu impian mereka pasti mahu  melakukan persembahan konsert atau bergabung dengan orkestra.

“Kami fikir dengan sudah banyak melakukan persembahan daripada skala kecil kepada skala besar, dengan usia 32 tahun Exists, ini adalah masa yang sesuai untuk kami berkolaborasi dengan orkestra."

“Selama ini kami hanya menunggu waktu yang sesuai untuk menjayakan sebuah persembahan kolaborasi seperti ini. Akhirnya, impian itu tercapai jua.  Exists sendiri tidak sabar untuk mencipta sejarah ini."


“Apapun terima kasih yang sebesarnya mahu kami sampaikan kepada peminat kerana jika tanpa sokongan dan kepercayaan bahawa Exists masih relevan dan perlu terus hidup dalam industri ini, mungkin Exists tidak akan wujud lagi,” kata  Along.

Sejak  beberapa tahun kebelakangan ini, Exists memang dilihat cukup aktif mengadakan konsert di dalam dan di luar negara khususnya di Singapura dan Indonesia.  Bahkan, mereka juga turut mempamerkan kredibiliti mereka sebagai pemuzik profesional di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas.

Untuk Konsert Exists X Orkestra, tiket dijual pada harga Tiket-tiket berharga bermula RM 568, RM 468, RM 368, RM 268 dan RM 168 dan boleh dibeli menerusi laman sesawang Www.MyTicket.Asia.


Catat Ulasan

0 Ulasan