4 DEKAD HARUNGI LIKU, TIBA MASA ZAINAL ABIDIN

Membina kerjaya hampir empat dekad bukanlah semudah yang diimpikan. Dikenali menerusi Kumpulan Headwind sekitar tahun 1986, Anak jati Johor Bahru, Johor ini mengukir kariernya sejak tahun 1977 hinggalah beliau mengambil keputusan bergerak secara solo pada tahun 1989 menerusi album pertamanya pada tahun 1991 . 

Menghasilkan 4 buah album studio, 6 album bersama Headwind, 3 album bersama artis R.A.P, 3 album kompilasi dan sebuah album runut bunyi bagi Walt Disney's Tarzan OST (versi Bahasa Malaysia), Datuk Zainal Abidin antara penyanyi lelaki berprofil tinggi yang mempunyai daya penarik dan auranya yang tersendiri. 

Bakal menghiburkan penonton dan peminat muzik tanah air pada 30 September ini melalui Zainal Abidin Masa Live Concert 2023, Datuk Zainal Abidin optimis mengatakan dalam usianya separuh abad, beliau dapat beraksi sekali lagi dipentas yang diiringi orkestra malahan lokasi yang dipilih kali ini berbeza iaitu di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Sempena kemunculan buah tangan terbarunya bertajuk 'Tiba Masa' sekaligus meraikan ulang tahun ke-40 pembabitannya dalam arena seni suara tanah air, Zainal melihat penganjuran konsert yang bakal berlangsung di Istana Budaya hujung bulan ini sebagai platform terbaik beliau dalam mendekatkan diri dengan peminat setianya malahan 'Tiba Masa' yang dikatakan bakal dilancarkan pada malam konsert itu bakal menjadi sejarah dalam kariernya sebagai seorang penghibur.

Ketika mengulas tentang konsert yang bakal dianjurkan oleh Bsync Live ini, Zainal berkata, tiada gimik akan dipersembahkan, malahan pada malam tersebut, penonton akan disajikan dengan tiga segmen, iaitu Nostalgia Headwind, Zainal Abidin Solo dan segmen seterusnya pula dinamakan 'Tiba Masa'. Kesemua segmen ini berbeza dan tentunya penonton yang pulang akan berasa puas dengan setiap persembahan yang disajikan, kongsi Zainal yang popular dengan lagu 'Hijau, Inayah, Kau Di Hatiku, Orak Arek' dan banyak lagi.

Adam Mazelan, Pengarah Urusan Bsync Live yang bertindak sebagai penganjur konsert Tiba Masa Zainal Abidin ini berkata pemilihan Istana Budaya sebagai lokasi konsert adalah kerana ia sesuai dengan konsep muzik yang di tampilkan. 

"Saya pilih IB kerana sesuai dengan konsep muzik yang saya bawa. Lagipun, kebanyakan peminat saya adalah mereka yang sudah dewasa dan ada kedudukan dalam kerjaya mereka.

"Mereka hendak duduk dengan selesa ketika menonton, bukannya berdiri di zon khas seperti di lokasi lain. Saya kena sesuaikan dengan kehendak mereka.


"Biarpun IB ada peraturan tersendiri, namun, penonton dialu-alukan untuk bangun menyanyi dan menari bersama saya. Cuma janganlah rakam, nanti kena pancaran laser," katanya sambil ketawa.

Konsert yang bakal menampilkan barisan pemuzik tersohor seperti Mac Chew dan Michael Veerapan itu sudah mula dijual tiketnya dan bagi mereka yang belum mendapatkan tiket bagi menyaksikan persembahan Datuk Zainal Abidin melalui Zainal Abidin Masa Live Concert 2023 boleh berbuat demikian melalui laman ticket2u di sini

Tiket-tiket berharga serendah RM169 sehingga RM765 boleh ditempah sekarang. 

Catat Ulasan

0 Ulasan