LAH AHMAD PALING SESUAI UNTUK ALHUMAIRA

 


Penyanyi terkemuka tanah air, Lah Ahmad bakal muncul dengan lagu terbaharu, Alhumaira. Bersempena itu, sebuah sesi pra-dengar dan pra-tonton video lirik rasmi bersama para media telah berlangsung di Damansara. 


Lagu yang berkonsepkan Balada R&B ini telah mendapat sentuhan sepenuhnya oleh Hafiz Hamidun. Kali ini Hafiz Hamidun mencuba sebuah komposisi yang berbeza di dalam lagu Alhumaira, seiring dengan vokal yang menyerlah dan penghayatan yang sempurna dari Lah Ahmad.



“Ini merupakan kali pertama saya berkolaborasi dengan Hafiz sebagai penerbit dan komposer untuk lagu saya. Walaupun kami merupakan rakan industri muzik dan beberapa kali membuat persembahan bersama, namun kerjasama kali ini sangat istimewa.


“Apabila Hafiz mengirimkan ‘demo’ Alhumaira, saya dapat merasakan kekuatan melodi lagu ini dan lagu ini sangat dekat dengan perasaan saya. Setelah berbincang melalui pihak pengurusan saya dan Hafiz, kami bersetuju untuk merakamkan lagu ini. Sesi rakaman telah berlangsung pada pertengahan bulan Oktober 2023, dua minggu selepas Konsert Jatuh Cinta saya di Istana Budaya berlangsung.” – Lah Ahmad



“Ilham untuk melodi Alhumaira datang secara tidak sengaja. Setelah demo asas lagu ini selesai, saya tidak fikirkan penyanyi lain untuk menyampaikannya kecuali Lah Ahmad. Walaupun dengan kesibukan Lah Ahmad dengan persembahan dan lakonan, saya rasa tidak salah jika saya mencuba melamar beliau untuk menyanyikan lagu ini.

“Pada awalnya, demo lagu ini tanpa lirik yang lengkap, kecuali perkataan ‘Alhumaira’ di bahagian chorus. Setelah Lah bersetuju untuk menyanyikan lagu ini, saya terus mengarang lirik yang sesuai untuk ‘Alhumaira’. Alhumaira itu bermakna putih kemerah-merahan, dan melambangkan cinta dan kecantikan. Walaupun ia berasal dari perkataan Bahasa Arab, saya cuba mentafsirkan perkataan Alhumaira sebagai simbolik wanita yang disayangi, dicintai dan dikasihi.” – Hafiz Hamidun



“Sebagai seorang penyanyi, saya akan mendalami maksud lirik yang ingin disampaikan. Setelah saya menghayati bait-bait lirik lagu ini, saya merasakan Alhumaira bukan sekadar lagu cinta semata-mata, tetapi adalah tentang kesyukuran dan kesetiaan seorang lelaki kepada wanita yang dicintainya. 


“Saya juga merupakan seorang suami, jadi lagu ini begitu istimewa jika disampaikan untuk isteri tersayang. Pada saya, kelembutan seseorang wanita itu akan dikuatkan oleh janji dan setia seorang suami. Saya harap para pendengar juga dapat merasakan perasaan yang sama.” – Lah Ahmad



Lagu ini akan berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, TikTok, Instagram dan lain-lain mulai 24 November 2023, tepat jam 12 malam. Lirik video rasmi Alhumaira akan disiarkan di YouTube tepat jam 12 tengahari pada hari yang sama. Para peminat boleh melayari pautan https://lah.lnk.to/alhumaira untuk strim dan muat turun Alhumaira dari Lah Ahmad.


Alhumaira diterbitkan oleh Arteffects Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Sony Music Entertainment Sdn. Bhd.







Catat Ulasan

0 Ulasan