NATASHA SASS CABAR DIRI

Natasha Sass bukanlah satu nama asing di dalam industri muzik Malaysia. Tujuh tahun yang lalu pada usia muda 16 tahun, bakatnya dikesan dan dia berjaya menjadi artis rakaman di bawah naungan Universal Music Malaysia. Lewat kesempatan itu, dia berpeluang menjadi artis pembuka konsert bintang-bintang tersohor seperti Bruno Mars, Usher dan juga penyanyi kesayangan Malaysia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Berdarah kacukan Jerman dan Malaysia, gadis berusia 23 tahun yang jelita dan berbakat itu kini sudah bersedia untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam dunia seni hiburan dengan pengenalan album terbaharunya berjudul ‘Still Standing’. Projek yang mengambil masa sekitar setahun lebih itu merupakan karya yang amat dekat dengan hatinya. 

Natasha Sass dalam satu kenyataan media menjelaskan bahawa, perjalanan album ‘Still Standing’ adalah satu kembara yang indah. Ketika menerbitkan album ini, Nastaha yang dikenali sebagai seorang yang agak ceria; mula bekerja untuk album ini pada awal 2022. Melaluinya, Natasha Sass menulis dan mencipta lagu setiap hari bahkan  boleh dikatakan setiap apa yang dinukilkannya akan dikongsikan malahan menjadi antara karya pilihan penggemar muzik arus perdana masa kini.

Mengambil pendekatan ke arah penghasilan karya yang lebih menjurus kepada aspek kehidupan, “Still Standing”, garapannya ini terlalu dekat dengan hatinya, malahan keseluruhan lagu dalam album tersebut memaparkan kematangan, menceritakan kehidupan, merasai bagaimana cinta menguasai diri serta sehinggakan menjadikan menyanyi sebagai satu kerjaya muziknya.

Ketika ditemui media semasa pelancaran album “Still Standing” di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya baru-baru ini, pelantun suara bagi lagu Manusia dan Repeat itu berharap album yang mengandungi 5 lagu yang diterbitkan secara EP Digital ini dapat diterima peminat muzik tempatan.

“Saya suka menyanyi, dan setiap karya yang tulus dari hati saya seringkali memaparkan cerita tentang kehidupan, cinta, perasaan dan sebagainya. Bagaimana rasa cinta itu diterjemahkan melalui lagu, maka terhasillah album Still Standing yang boleh kalian dengarkan di platform streaming seperti Apple Music, Spotify dan sebagainya,” katanya.

'Still Standing' yang bermaksud 'Tetap Berdiri' dalam Bahasa Malaysia menceritakan bahawa biarpun kita diberi pelbagai dugaan, kita harus tetap teguh berdiri. Natasha Sass mahu pendengar menikmati lima lagu yang ada iaitu ‘Memory’, ‘Lost Love’, ‘Manusia’, ‘Love Myself Instead’,serta ‘Round and Around’ dan cuba berharap peminat dapat mengenalinya melalui karya sebegini. 

Dalam pada itu Natasha menjelaskan, Ini kali pertama dalam kerjaya muziknya di mana dia diberi peluang 100% untuk terbabit dalam penciptaan serta penulisan lagu. Kebebasan ini amat dihargainya malahan pihak pengurusan dan syarikat rakamannya tetap mahukan sesuatu yang berkualiti demi masa depan industri muzik keseluruhannya. 

Ketika pembikinan sesebuah lagu, Natasha Sass menjelaskan bahawa Johan John adalah seorang pengarah muzik yang cukup luar biasanya hebatnya. 

"Apabila saya sudah selesai menyiapkan lagu, saya akan menyerahkannya kepada Johan John, dan beliau banyak membantu saya dalam urusan susunan muzik dan sebagainya. Kami sentiasa berbincang dan mahukan yang terbaik dalam setiap karya yang kami persembahkan," katanya penuh teruja.

Ketika disoal tentang impian yang ingin beliau miliki, Natasha sempat berseloroh dan mengatakan bahawa beliau mengimpikan untuk memenangi anugerah muzik dari dalam dan luar negara. 

Biarpun mengakui yang dia belum mencapai puncak kerjaya seni muziknya, Natasha Sass percaya bahawa banyak laluan yang harus beliau jalani dalam hidup sebelum tiba ke titik yang ingin ditujui. Natasha Sass menjelaskan bahawa, kerjaya muziknya tidaklah selalu memuncak namun dia bersyukur untuk semua yang dah dia jalani, termasuk yang baik serta buruk.

Ini kerana ia telah membentuknya menjadi lebih bijak dan kuat sebagai seorang manusia. Kesenangan sebenarnya satu ancaman buat kemajuan berbanding kesusahan. Terimalah Still Standing seadanya. 

Still Standing telah pun berada di semua platform digital sejak Jumaat, 24 November 2023.

Catat Ulasan

0 Ulasan