JACLYN VICTOR JUARA ALL STARS GV

Walaupun mendapat saingan antara Hady Mirza, Nikki Palikat dan Liza Hanim, Penyanyi Jaclyn Victor dinobatkan sebagai Juara All Stars Gegar Vaganza (ASGV) sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000. 

Kemenangan Jac yang diumumkan pada malam tadi di Axiata Arena Bukit Jalil itu turut membawa pulang hadiah iringan berupa pakej percutian ke Switzerland, pakej penginapan di Royale Chulan Hotel London, baucar dekorasi ruangan dan trofi. 

Selain itu, Jac atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 45, turut menerima hadiah Bintang Paling Power Meow berupa wang tunai RM3,000 dan produk Adabi bernilai RM500. 

Jac tampil dengan persembahan memukau menerusi lagu When You Believe yang pernah dipopularkan oleh Whitney Houston & Mariah Carey, manakala bagi lagu duet, Jac berpadu suara bersama Raja Pop, Dato' Jamal Abdillah menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan. Bagi pusingan Battle, Jac menyampaikan lagu Let's Kill This Love bersama-sama Siti Nordiana, Liza Hanim dan Tomok. 


Ketika ditemui media sejurus selepas konsert akhir tersebut, Jac berkata, beliau terkejut ketika namanya diumumkan sebagai juara All Stars Gegar Vaganza. Namun, beliau menganggap kemenangan tersebut sebagai rezeki tuhan.

"Jac terkejut bila diumumkan sebagai pemenang. Bagi Jac, setiap bintang yang berada di Malam Final ini adalah juara. Tak terfikirpun yang Jac akan menang. Terima kasih Astro, juri, para penaja dan semua peminat Jac yang sanggup menyokong Jac dari awal Jac memasuki GV sehinggalah ke All Stars GV malam Final ini.

:"RM200 ribu yang Jac dapat malam ini, Jac akan simpan untuk anak-anak Jac nanti," katanya.

Selain itu, Hady Mirza (75.74%), Nikki Palikat (73.18%), Liza Hanim (72.34%), Naqiu (72.18%), Tomok (71.46%), Azharina (69.64%) dan Siti Nordiana (61.14%) turut membawa pulang wang tunai RM10,000 setiap seorang. 

Penyanyi Naqiu yang menduduki tangga kelima turut diumumkan sebagai pemenang bagi Anugerah Pilihan Bos Susu yang membawa pulang wang tunai RM10,000 serta Bintang Cuckoo Paling Gempak. Manakala Siti Nordiana pula menjadi pilihan peminat bagi Anugerah Gegaran Generasi Juara Digi. 

All Stars Gegar Vaganza dijurikan oleh Dato' Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan juri jemputan Ratu Rock, Ella. 

Catat Ulasan

0 Ulasan