JAMAL ABDILLAH MASIH BERBISA

Siapa menyangka dalam usia 5 dekad pembabitannya di dalam industri seni suara tanah air, aura Dato' Jamal Abdillah masih berbisa. Kelunakkan suara beliau mengalunkan lebih 24 buah lagu termasuk 8 buah lagu secara medley membuktikan usia bukan penghalang bagi anak seni kelahiran Teluk Intan, Perak ini untuk mengekalkan legasi muziknya.

Memukau pendengar dengan seleksi lagu-lagu malar segar seperti Kenangan Tak Bisa Di Lenyapkan, Kau Lupa Janji, Kabus Di Wajahmu, Senandung Kasih, Kerlingan, Azura dan banyak lagi itu menjadikan Konsert Jamal Abdillah yang berlangsung 26 November lepas di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu sebagai satu kenangan yang mencipta memori dalam sejarah industri hiburan tanah air.

Walaupun dikatakan sebagai sebuah persembahan terakhirnya, namun bagi Jamal ia bukan petanda untuk dirinya meninggalkan lapangan seni yang amat dicintainya lebih 5 dekad yang lalu. 

Memulakan kerjaya seawal tahun 1973 dan pernah menjuarai Bintang RTM 1979, pemilik nama Jamal Ubaidilllah bin Haji Mohd Ali ini boleh dianggap sebagai Penghibur Legenda Sepanjang Zaman. Berikan sahaja apa jua lagu kepadanya, pasti ia berjaya dipersembahkan dengan baik.

Dengan persembahan yang penuh bertenaga, apatah lagi mendengarkan lagu-lagu yang didendangkannya, bagaikan kembali ke zaman muda beliau di mana vokalnya masih baik dan tetap sama seperti dahulu. Kesemua lagu dari album solonya dipersembahkan secara baik seperti anda mendengar dari pita kaset, piring hitam dan cakera padat (CD). Itulah aura seorang penghibur sejati yang tiada tandingannya, Dato' Jamal Abdillah.

Selain menyampaikan lagu secara solo, Jamal turut mengundang dua orang anak lelakinya iaitu Osama dan Zaki Yamani bagi menyampaikan dua buah lagu secara Trio iaitu Gadis Melayu dan Aku Penghibur. Manakala Osama yang suaranya persis bapanya, juga menyampaikan 4 buah lagu iaitu dua lagu solo dan dua buah lagu duet bersama Dato' Jamal Abdillah. 

Penyanyi Wany Hasrita dan Rapper Faroq juga muncul menjadi penyanyi jemputan bersama yang turut berduet dengan Jamal bagi lagu Kehebatan Cinta yang pernah dipopularkan Francisca Peter dan Aku Maafkan Kamu.  

Terbahagi kepada lima segmen iaitu ballad, medley, duet, santai dan trio, Jamal Abdillah terus memukau peminat tanpa henti dengan seleksi lagu-lagu mengusik jiwa. Lagu seperti Azura, Takdir Penentu Segala dan Seroja yang dipetik dari filem kedua lakonannya tahun 1984, Azura bersama Primadona Unggul, Fauziah Datuk Ahmad Daud nyata memberikan impak dan kenangan yang tersendiri. Namun pada malam tersebut, Jamal mendendangkannya secara solo.

Saat Jamal memanggil seorang peminat yang usianya separuh abad untuk sama-sama berkongsi pengalaman, citarasa dan cerita, Dewan Plenary bagaikan terpesona melihat seorang putera raja idaman Malaya turun ke kota bertemu rakyat jelata. Puan Rohani Abdullah atau dipanggil Opah menceritakan kepada Jamal, bagaimana beliau tergerak hati untuk mengikut cucu kesayangannya ke Kuala Lumpur untuk menonton konsert Jamal Abdillah. 

Kerana dek sayangkan cucu dan bimbangkan keselamatannya tanpa memikirkan yang dirinya bertuah menerima pelawaan Jamal untuk menonton konsertnya secara percuma, Rohani menganggap inilah kenangan manis yang mungkin tidak akan berulang lagi di mana seorang penghibur bertaraf legenda seperti Dato' Jamal Abdillah mengundangnya ke konsert tersebut.

"Saya gembira bila Dato' Jamal bagi saya tiket untuk menonton konsert ini. Inilah kali pertama saya menonton konsert seorang penyanyi hebat macam Dato' Jamal. Bukan mahu memuji tetapi saya terlalu gembira apatah lagi tidak terfikir saya dapat masuk bersama-sama cucu saya. Cucu saya beli tiket tapi saya dapat percuma," katanya sambil mengusap air matanya yang jatuh ke pipinya.

Membariskan 15 pemuzik professional yang di ketuai pengarah muzik, Shahwal Hussin, Konsert Jamal Abdillah yang telah berlangsung 26 November lepas akan tersemat di sanubari peminat dan penggemar muzik, malahan menjadi sejarah yang tidak mungkin berulang kembali.

Catat Ulasan

0 Ulasan