'BOSCH OF AGES' RAIKAN KEPELBAGAIAN TEKNOLOGI MUZIK

Bosch, pembekal teknologi dan perkhidmatan global terkemuka telah meraikan pencapaian bersejarahnya selama 100 tahun di Malaysia dengan sambutan konsert besar yang diadakan di SPICE Arena, Pulau Pinang.

Ketika bercakap kepada media, Klaus Landhaeusser, Pengarah Urusan Bosh Malaysia dalam satu kenyataan berkata penganjuran aktiviti ini mencerminkan keperibadian dan keutuhan Bosch dalam meraikan kepelbagaian teknologi menerusi jaringan kerjasama serantau antara rakan kongsi dengan pelanggan setianya.

"Kami komited untuk terus membangunkan kehadiran kami di Malaysia dengan visi berpandangan ke hadapan yang dipacu oleh ‘Teknologi sepanjang hayat’. Ini hanya boleh dilakukan dengan sokongan daripada rakan sekutu, rakan kongsi dan pelanggan kami," katanya. 

Sehingga 31 Disember 2022, Bosch mencapai jualan disatukan sebanyak RM 727 juta (157 juta euro) di Malaysia dan pertumbuhan sebanyak 25 peratus dalam mata wang tempatan berbanding tahun sebelumnya. Perkembangan perniagaan di Malaysia kekal positif, dengan jualan aktif dalam bidang Solusi Mobiliti, Teknologi Perindustrian, Barangan Pengguna, dan Tenaga dan Teknologi Bangunan.

Sebelum konsert itu, Bosch membuka pusat ujian semikonduktornya di Pulau Pinang dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.62 bilion (Euro 350 juta) sehingga pertengahan 2030-an untuk mengukuhkan rantaian bekalan global bagi semikonduktor. Daripada tanah seluas 100,000 meter persegi itu, satu perlima daripada pelan pembinaan itu siap dan bakinya akan disiapkan secara berperingkat untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Pembukaan ini menjadikan Malaysia rumah kepada kemudahan pembuatan Bosch yang terbesar di satu negara di Asia Tenggara. Sehingga kini, Bosch mengendalikan tujuh entiti dengan hampir 4,200 pekerja di seluruh Selangor dan Pulau Pinang. Antaranya ialah empat kilang pembuatan dan tiga pusat penyelidikan dan pembangunan di Pulau Pinang.

Sebagai tambahan kepada ujian semikonduktor, kilang menghasilkan elektronik automotif, alat kuasa, dan stereng automotif. Malaysia penting untuk perolehan Bosch Asia Tenggara.

Malaysia merupakan penyumbang utama kepada prestasi jualan Bosch yang kukuh di Asia Tenggara. Bosch mencapai pendapatan lebih satu bilion euro pada tahun fiskal 2022 di rantau ASEAN. Ini menandakan kali pertama syarikat mencapai pencapaian serantau. Ulang tahun ke-100 syarikat itu juga disambut di Singapura dan Thailand selain Malaysia tahun ini.

Mengenai konsert di Malaysia, difahamkan hampir 5,000 orang mendaftar untuk konsert itu. Dengan mengambil kira pendekatan ke arah teknologi siber yang kukuh,  "Bosch of Ages", adalah tema penganjuran konsert berprestij ini di mana ia mencerminkan Bosch sebagai satu jenama yang telah berkembang separuh abad di Malaysia. Ia mempamerkan transformasi Bosch dari zaman awal hingga kedudukannya sekarang sebagai peneraju teknologi global terkemuka.

Persembahan video itu mengetengahkan sejarah inovasi dan kemajuan teknologi Bosch yang kaya, dengan indah bagi menyatukan intipati perjalanan Bosch dengan hubungannya yang mendalam dengan muzik dalam konsert itu.

"Ia merupakan satu penghormatan kepada komitmen Bosch yang berterusan terhadap inovasi, bukan sahaja dalam industri teknologi tetapi juga dalam dunia muzik," kata Klaus Landhaeusser lagi. 

Memacu industri muzik dalam pasaran tempatan, konsert ini menyaksikan bagaimana muzik jazz mendominasi era kegemilangannya pada tahun 1920an hingga 1930an di mana Bosch kekal bertapak sebagai satu jenama kukuh yang berkembang pesat di seluruh rantau asia. 

Jika dilihat pada tahun 1940-an hingga 1980-an,  era kebangkitan muzik Rock and Roll  diterjemahkan melalui kerjasama Bosch bagi mendominasi perniagaan serantau di mana pada ketika itu pasaran dalam sistem hiburan bagi kereta telah membuka peluang yang luas melalui kaset dan radio stereo yang telah diperkenalkan di dalam kenderaan.

Tempoh ini menyerlahkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang semakin menarik bagi Bosch di mana syarikat itu telah menubuhkan dua lagi kilang pembuatan yang menghasilkan alat kuasa dan stereng automotif yang berkembang pesat sebagai sebuah destinasi perniagaan yang kukuh dan membanggakan.

Catat Ulasan

0 Ulasan