ZIANA ZAIN KEMBALI SELEPAS 2 DEKAD

Bukan mudah untuk mencipta sesuatu, begitu juga merancang bagaimana menawan hati pendengar muzik dan peminat seni suara di kala industri seni dan muzik tanah air dikelilingi pelbagai bakat baharu yang impaknya mungkin besar malahan menjadi keinginan luar biasa bagi seorang diva pop di sebalik nama Ziana Zain.

Anak seni kelahiran Merlimau, Melaka ini bukanlah seorang penyanyi yang hanya tahu menyanyi sahaja, tetapi perjuangan seninya terlalu kuat malahan penganjuran Konsert Solo terbaharunya pada 25 Mei tahun hadapan dianggap pembuka jalan kepada karier seninya yang hampir 3 dekad di dalam industri seni dan hiburan tempatan.

Dipersembahkan CSA Academy yang dianjurkan Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus Prohouse,  Ziana Zain Konsert 2024 ini bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Memilih 25 Mei 2024 sempena bulan kelahirannya, Ziana Zain atau nama sebenarnya, Siti Roziana binti Zain, 55,  amat komited dan teruja dengan penganjuran konsert ini bahkan berharap ia bukanlah konsert terakhir dalam lapangan seninya yang berakar hampir 35 tahun lamanya.

"Sungguh Kak Gee teruja untuk mengumumkan yang tahun 2024 sebagai tahun paling dinantikan bukan sahaja dari produksi ini malahan seluruh peminat kerana 25 Mei 2024, Kak Gee akan mengadakan sebuah konsert berskala besar, Ziana Zain Konsert 2024.

"Terima kasih juga buat Anuar Zain, CSA Academy dan Altus Prohouse yang bertungkus lumus menganjurkan konsert ini. Jika ditanya pada Kak Gee, kenapa Mega Star dan bukannya di Stadium?. Jujur Kak Gee katakan, semua lokasi fully booked dan hanya Mega Star sahaja yang menantikan saya untuk menghiburkan kalian. Jangan lupa datang ke Konsert ini," kata Ziana Zain penuh teruja. 

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CSA Academy Sdn Bhd, Dr Jay Ong  dalam satu kenyataan media berkata, pemilihan Ziana bagi menjayakan projek untuk konsert ini adalah kerana kecemerlangan seni dan nilai eksklusifnya sebagai seorang penghibur legenda kesayangan Malaysia yang mempunyai potensi besar untuk menarik penonton dan peminat muzik tanah air.

"Ziana Zain telah dipilih sebagai artis kegemaran top 3 oleh ahli Wira CSA kami. Kerjasama ini tidak hanya menegaskan penghargaan kami kepada ahli dan sumbangan budaya, tetapi juga mencerminkan komitmen bersama kami dengan Ziana Zain terhadap penglibatan masyarakat dan tanggungjawab sosial. Ia juga merupakan penghormatan bagi kami untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat tempatan, meningkatkan pengiktirafan jenama dan mendapat pendedahan positif," katanya. 

Ziana yang pernah merakamkan 6 buah album solo, 2 album rakaman live dan 3 album kompilasi ini pernah  mengadakan konsert solonya terdahulu menerusi Ziana Zain In The Park yang diadakan di PWTC (kini World Trade Centre) Kuala Lumpur pada tahun 2001. Ini merupakan konsert solonya yang terakhir dan selepas 22 tahun, beliau kembali  menerusi Ziana Zain Konsert 2024. 

Tempoh itu cukup lama dan bagi seorang penyanyi sepertinya, inilah peluang yang perlu diteruskan untuk seorang penghibur seperti Ziana kembali beraksi selepas 2 dekad. Pelantun suara Puncak Kasih dan Putus Terpaksa itu bakal mencipta sekali lagi fenomena 25 Mei depan untuk membawa semangat muzik yang pernah menjadi salah satu memori dan kenangan terindah bagi seorang penyanyi yang juga seorang pelakon di dalam industri seni dan hiburan tanah air. 

Tidak mahu dianggap terlalu terburu-buru atau hanya memikirkan pulangan duit dari jualan tiket bagi sesebuah konsert, Ziana optimis mengatakan beliau hanya mahu mempersembahkan  konsep yang luar biasa dengan stamina yang kuat serta mampu memberikan kepuasan tersendiri buat peminat yang telah membeli tiket bagi menyaksikan konsert Ziana Zain 2024 ini. 

"Kepuasan peminat itu penting. Bagi Kak Gee, kita dah keluarkan duit, mesti kita mahu yang terbaikkan?. Jika ditanya pada saya mengenai perancangan untuk konsert ini. Insya allah, saya akan lakukan yang terbaik. Nak kata gementar tu, memanglah. Setiap kali Kak Gee nak menyanyi, mesti Kak Gee akan fikir, orang suka ke?. Nak tengok Ziana Zain lagi ke?," katanya.


Bakal mempersembahkan rantaian lagu-lagu berhantu yang menjadi siulan dari era kemunculannya pertama kali pada tahun 1991 seperti Madah Berhelah, Putus Terpaksa, Anggapanmu, Berpisah Jua, Puncak Kasih, Dingin dan ratusan hit yang menjadi pujaan peminat ini akan menampilkan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik dan Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert. 

Aubrey yang pernah terlibat di dalam beberapa konsert besar artis terkenal tanah air seperti Dato' Sri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan ramai lagi itu beranggapan konsert yang menampilkan Ziana Zain kali ini sebagai pengalaman cukup berharga 3 dekad di dalam industri muzik tanah air.

"Satu pengalaman yang mungkin tidak akan saya lupakan apabila dapat bekerjasama bersama Ziana Zain. Saya cuba merealisasikan impian segelintir peminat yang mahu melihat siapakah insan sebenar disebalik nama Ziana Zain. Orangnya cantik tapi bakatnya sangat luar biasa," kata Aubrey Suwito penuh teruja.

Manakala menurut penyanyi Anuar Zain, pemilihan Ziana untuk beraksi kembali dengan sebuah persembahan berskala besar itu menuntut  pengorbanan yang sangat besar. Sepertimana mahu melihat seorang bintang yang dipuja kembali mekar bagaikan sekuntum bunga di taman. Kata Anuar, "kita mahu mencipta sesuatu yang sangat luar biasa, mereka yang hadir sahaja akan dapat pengalaman ini yang tidak mungkin akan diperolehi dari mana-mana sumber sekalipun,"  katanya.

Untuk itu adalah amat rugi jika anda terlepas menyaksikan konsert yang akan menjadi salah satu sejarah terhebat industri seni tempatan.

Tiket berharga RM288 (GOLD), RM488 (PLATINUM), RM688 (DIAMOND), RM888 (VIP 2), RM1,088 (VIP 1) boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/ mulai 15 Disember 2023 jam 10.00 pagi di laman web www.ticket2u.com.my/zianazain.

Pembelian tiket menggunakan sistem "Buy Now Pay Later" BNPL seperti Atome dan Shopback turut disediakan di laman rasmi pembelian tiket.

Manakala untuk pembeli tiket OKU (Orang Kurang Upaya) dan pembelian tiket melebihi 50 keping boleh menghubungi hotline tiket di 01111900518. Untuk kemudahan pembeli tiket OKU, mereka hanya boleh membeli tiket di hotline tertera. Pembeli tiket OKU boleh menghadiri konsert dengan seorang peneman.

Catat Ulasan

0 Ulasan