MECHAMATO MOVIE TEMBUSI PASARAN DI JEPUN

Filem animasi nombor satu negara, Mechamato Movie, melakar sejarah sebagai filem animasi tempatan pertama menembusi layar perak Jepun apabila mula ditayangkan di lebih 30 pawagam di negara itu mulai 19 Jan ini.

Filem tersebut yang merupakan animasi karya Monsta dan Astro Shaw, telah mengutip RM36 juta sewaktu penayangannya pada 2022.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada 15 Januari, Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak, berkata tayangan perdana diadakan di sebuah pawagam di Tokyo semalam dan dihadiri barisan pelakon suara, media, peminat dari Jepun dan rakan strategik Monsta.

Dia berkata rata-rata penonton memberi reaksi yang positif, namun yang lebih membanggakan ialah penggiat animasi di Jepun turut memuji hasil kualiti Mechamato Movie.

“Kami menerima banyak reaksi yang mengujakan daripada penonton pada tayangan perdana di Jepun ini.

"Mereka tidak sangka Malaysia mampu menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa dengan jalan cerita yang mampu membuat anak-anak mereka ‘melekat’ di kerusi selama 116 minit.

“Kami juga akan membawa masuk versi alih suara Jepun ini ke Malaysia kerana kami yakin peminat Mechamato pasti tidak mahu terlepas peluang menonton versi ini pula,” katanya semasa acara Tayangan Perdana Mechamato Movie di AEON Chofu, Tokyo semalam.

Menurut Nizam, Monsta menerima nasihat dan bantuan rakan strategik di Jepun untuk mendapatkan pelakon suara atau seiyuu yang terkenal, seperti Ayumu Murase sebagai Amato, Yoshitsugu Matsuoka (MechaBot) dan Kenjiro Tsuda (Jeneral Grakakus).

“Kami dapati gaya pemasaran di Jepun amat berbeza. Pelakon suara mereka mempunyai barisan peminat dan daya tarikan tersendiri.

"Kami harap usaha ini dapat menarik minat warga Jepun untuk menonton filem kebanggaan Malaysia ini dan berkongsi pengalaman mereka pula,” katanya.

Malah, lagu tema Mechamato Movie yang berjudul Temaniku nyanyian Yonnyboii turut dinyanyikan semula dalam bahasa Jepun oleh penyanyi dari negara itu, Ruka, dan diberikan tajuk Tomodachi.

Sebelum ini, siri Mechamato musim pertama dan kedua merupakan karya pertama dari Malaysia yang berjaya ditayangkan di televisyen nasional Jepun menerusi saluran Tokyo MX.

Bernama

Catat Ulasan

0 Ulasan