PENERBIT STUDIO KEMBARA DEDAHKAN DUA PENGARAH DALAM FILEM PENDEKAR AWANG: DARAH INDERA GAJAH

Setelah lama berahsia siapakah pengarah filem ini, akhirnya penerbit yang juga pemilik Studio Kembara, Abd Rahman Mat Dali mengumumkan bahawa Shahruddin Dali dan Saiful Reza adalah pengarah bersama bagi naskhah Pendekar Awang: Darah Indera Gajah. 

Diterbitkan produksi Studio Kembara dengan kos pembikinan mencecah RM15 juta ringgit, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah menampilkan Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar, Wan Hanafi Su, Nam Ron, Amir Ahnaf, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amerul Affendi dan Hasnul Rahmat. Filem yang berkisahkan usaha Tok Gajah ke Terengganu bagi mendapatkan sokongan dan bantuan pahlawan dan Sultan Terengganu ini merupakan sebuah filem epik bukan sejarah yang mengangkat isu perjuangan seorang pahlawan Melayu di Kuala Tembeling, Jerantut dan Temerloh, Pahang. British yang mendapat tahu perkara itu kemudian cuba menangkap Tok Gajah dan Awang menyebabkan mereka berdepan pelbagai rintangan dan pertempuran dalam usaha memastikan misi itu terlaksana.

Semasa sidang media yang diadakan di sebuah pawagam yang terletak di Putrajaya, Abdul Rahman Mat Dali, Penerbit filem Pendekar Awang menyifatkan pemilihan Shahruddin dan Saiful Reza sebagai pengarah filem tersebut adalah kerana komitmen naskhah tersebut yang memerlukan kepakaran dari beberapa sudut termasuk aksi, fakta dan sejarah yang terkandung dalam filem kedua terbitan Studio Kembara tersebut.

"Tidak timbul pun isu tentang siapa yang patut menyempurnakan naskhah ini. Sebagai penerbit, saya berhak memilih siapa yang harus dan perlu melaksanakan kerja-kerja pengarahan dan teknikal filem ini.

“Keputusan untuk mengganti pengarah dibuat kerana bimbang ada sudut-sudut yang boleh menjejaskan produk akhir (filem). Saya rasa perkara ini tidak perlu dijadikan isu pun. Jadi, atas faktor itu kita rasa perlu ambil alih untuk siapkan,” katanya

Sebelum ini, media melaporkan pengarah Areel Abu Bakar merupakan pengarah asal bagi filem Pendekar Awang di mana hampir 90 peratus filem tersebut berjaya disiapkan. Namun atas faktor dan sebab yang tidak dapat dielakkan, nama Areel digugurkan tanpa sebab sehingga beliau menyelar dan melarang produksi Studio Kembara dari menayangkan filem tersebut sekiranya masih dibayangi hasil kerja terdahulu.

Areel yang juga pengarah filem Walid mengakui pengguguran itu mengakibatkan dirinya murung selama tiga hari namun hatinya terubat selepas karyanya berjaya mendapat tayangan di Los Angeles dan New York.

Pada sidang media yang sama, Shahruddin yang juga merupakan pengarah dan penulis skrip filem tersebut berkata pihak produksi tidak berniat untuk merahsiakan nama pelakon pada mulanya namun pihaknya memilih pendekatan untuk menyiapkan penggambaran terlebih dulu.

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah bakal memasuki pawagam tempatan bermula 11 Januari 2024.  

Catat Ulasan

0 Ulasan