KERJASAMA STRATEGIK UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA & L.Y MUSIC FACTORY, HARSONBEE & NEO PERTARUH LAGU BARU

 

Kredibiliti Penerbit muzik dan Komposer terkenal L.Y. atau nama sebenar Rozman Shafie dalam menghasilkan lagu tidak perlu disangkal lagi. Malah, deretan lagu yang dicipta bersama isteri, Baiduri sejak era 1990-an kekal menjadi lagu malar segar malah masih menjadi siulan dalam kalangan pencinta muzik tanah air. Tidak hanya dalam penciptaan lagu, L.Y. menerusi syarikat rakamannya L.Y. Music Factory semakin aktif dalam mencungkil bakat baharu dalam bidang nyanyian. Terbaharu, LY mempertaruhkan bakat penyanyi cilik berusia 12 tahun yang dikenali sebagai NEO menerusi lagu Oh Ibu.

Menurut NEO, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Cinderella itu digubah khas untuk dirinya. "Lagu Oh Ibu ini adalah hasil karya penulis lagu dan lirik baharu Cinderella. Lagu ini digubah khas untuknya. Susunan muzik dan rakaman muzik lagu ini dibuat di Indonesia bagi mencipta kelainan. Manakala rakaman vokal di L.Y. Music Factory, Shah Alam. Lagu ini berkonsepkan rap dan berkisarkan mengenai pergorbanan dan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya tanpa batas. Lagu ini ditulis berdasarkan pengalaman sebenar kisah hidup dirinya. "Penulis mengambil masa untuk mengenali saya dan ibu. Setiap bait lirik lagu ini ditulis agar dapat menyampaikan rasa yang sebenar mengenai perjuangan seorang ibu dan anak dalam kehidupan seharian. Melodi lagu ini disesuaikan dengan luahan lirik agar dapat melontar perasaan dan menterjemahkannya melalui persembahan vokal rap yang beremosi.

Selepas siap lagu dan lirik, susunan muzik dihasilkan tetapi tidak dapat memenuhi kehendak penerbit iaitu L.Y. Jadi, Bapak Jusak Irwan Sutiono mencadangkan susunan muzik digubah oleh muzik 'arranger' Indonesia. Di Indonesia susunan muzik ini dua kali diubah oleh LY supaya sesuai dengan saya dan bentuk muziknya kontemporari mengikut pasaran masa kini. "Vokal dirakam sebanyak tiga kali di Studio L.Y. Music Factory untuk mendapatkan yang terbaik daripada saya," katanya. Berkongsi lanjut, lagu Oh Ibu tetap memerlukan penghayatan biarpun ia bergenre rap. "Saya suka berjenaka, tapi tiba-tiba perlu fokus dan serius menyampaikan lagu ini. Sebagai penyanyi baharu saya cuba memberikan nyanyian yang terbaik tetapi masih gementar kerana ini kali pertama kami bekerjasama”, katanya. NEO berkata, walaupun lagu ini genre rap tetapi ia mempunyai melodi yang memerlukan penghayatan dan mempunyai nada rendah dan tinggi selain mencipta gaya nyanyian yang boleh membezakan karektor NEO dengan penyanyi lain.


Berkongsi mengenai video muzik (MV) dan konsep yang diketengahkan, NEO berkata MV memaparkan kedua ibu bapanya. "MV ini sengaja diperlihatkan begitu kerana lagu ini sebenarnya untuk mereka. Konsep yang dipaparkan pula adalah kekeluargaan dan emosi. Lirik lagu ini penuh dengan perasaan, samada dari hati saya dan juga dari hati ibu saya. Ada beberapa klip yang memaparkan saya dan keluarga dan ada juga yang memaparkan saya seorang diri. "MV ini dirakam di luar dan juga dalam studio. Proses penggambaran selama tiga hari. Kru yang terbabit semuanya baik dan saya sempat disapa oleh pengikut media sosial saya sewaktu penggambaran MV ini. NEO berharap agar lagu pertamanya berjaya menarik minat masyarakat dan mendapat tempat di hati pendengar di samping menghayati maksud lagu Oh Ibu. NEO juga berharap agar mendapat sokongan dan diterima baik oleh peminat muzik tempatan. Oh Ibu kini boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 2nd February 2024, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.



PEMILIK HATI HARSONBEE

Nama penyanyi HarsonBee mungkin masih asing dalam industri muzik tempatan. Namun, bakat dimilikinya tidak boleh dipandang sepi. Tidak hanya menyanyi, HarsonBee atau nama sebenar Harrison Bryan turut berbakat dalam bidang penciptaan lagu. HarsonBee yang berasal dari Sandakan, Sabah juga menjadi antara bakat yang dicungkil menerusi projek Sabah Next Top Composer (SNTC) untuk mencipta lagu dalam bahasa Malaysia. Menerusi pertandingan yang diadakan sepenuhnya secara dalam talian menggunakan platform YouTube itu, HarsonBee berjaya mendapat tempat ketiga dengan mempertaruhkan karya ciptaan sepenuhnya berjudul Cerita Cinta Kita. Tuah buat HarsonBee apabila ujibakatnya berjaya mendapat perhatian dari komposer ternama L.Y. untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya, L.Y. Music Factory.

Melangkah ke tahun baharu 2024, HarsonBee muncul dengan single berjudul Pemilik Hatiku yang juga hasil ciptaan sepenuhnya oleh dirinya dan mendapat sentuhan L.Y. sebagai penerbit. HarsonBee berkata ia sangat gembira lagu pertama dicipta dan digubah sepenuhnya mendapat Penerbit terkenal L.Y. Ini adalah single pertama saya untuk dipertaruhkan bagi memperkenalkan lagi nama saya dalam dunia seni”. "Lagu ini menceritakan mengenai seorang lelaki yang sedang memujuk teman wanitanya dan pada masa yang sama cuba untuk membuatnya tersenyum kerana teman wanitanya berasa tidak disayangi dalam hubungan mereka. "Tajuk Pemilik Hatiku itu membawa makna bahawa dia (kekasih) satu-satunya yang berada di dalam hati," katanya.

HarsonBee berkata proses menghasilkan lagu Pemilik Hatiku bermula dengan mencari melodi. "Mencari melodi ini mengambil masa kerana pada masa yang sama saya mendengar lagu-lagu daripada pelbagai genre. Kemudian saya memilih konsep 'bubblegum pop'. Ia adalah satu cabang daripada genre pop, yang mana ia mempunyai elemen 'catchy', 'cute' dan juga 'upbeat'. "Selepas proses itu, saya meneruskan dengan menulis lirik lagu dan penulisan lirik untuk lagu ini mengambil masa satu hari. "Pada mulanya saya hanya bermain-main dalam pembikinan lagu ini, tetapi akhirnya menjadi satu lagu yang saya boleh katakan 'bulih pigi jauh ni' (boleh pergi jauh). Dari situ, saya mendapat pendapat daripada pensyarah muzik saya, Chonnel George dan beliau menghantar lagu Pemilik Hatiku ini sebagai ujibakat kepada L.Y.," katanya.

Menurutnya, susunan muzik adalah sentuhannya sendiri selain semua proses rakaman diterbitkan semula oleh L.Y. "Saya amat beruntung kerana lagu saya mendapat sentuhan dan dijaga oleh L.Y selaku penerbit. Lagu ini dirakam sepenuhnya  di L.Y. Music Factory, manakala mixing dan mastering di Indonesia. Video muzik (MV) lagu ini fokus kepada memperkenalkan dirinya sebagai pendatang baru dan menterjemahkan liriknya dalam bentuk visual. Konsep yang dipilih adalah 'story telling' dan ringkas saja. MV ini dibuat secara 'straight forward', ada yang memaparkan HarsonBee sebagai penyanyi dan juga sebahagiannya adalah drama yang berkisarkan lirik atau maksud lagunya.

HarsonBee berharap lagu ini diterima oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya remaja di zaman sekarang ini. Pemilik Hatiku boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 26 January 2024, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.



Catat Ulasan

0 Ulasan