AMIR JAHARI UNGGULI JUARA LAGU KE-38

Walaupun menganggap kemenangannya sebagai satu kejutan yang tidak disangka, Penyanyi dan Komposer, Amir Jahari mengungguli carta teratas apabila lagu  Hasrat yang menjadi lagu tema filem Imaginur diangkat sebagai Juara Lagu pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan Amir membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi. Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah bin Jahari ketika ditemui media sejurus selepas berakhirnya siaran langsung berkata, sebagai penyanyi yang berkecimpung dalam arena muzik tanah air sejak tahun 2011, beliau terkejut dan masih tidak percaya akan keputusan yang diumumkan tadi.

"Ini kali pertama saya menerima anugerah sebesar ini. Saya pada mulanya tak percaya, tergamam pun ada. Kalau dahulu, setiap lagu saya tidak dipandang atau berada pada paras yang tercorot, namun pada malam ini, sebaliknya terjadi," katanya.

Kemenangan Amir malam tadi telah menewaskan 4 ramalan yang lain sebagai Juara Lagu, antaranya lagu Santai (Naqiu), Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul), Sutera (Aisha Retno) dan Astana (Ernie Zakri). 

Ketika ditanya mengenai perancangan tentang jumlah wang yang dimenanginya, Amir berkata, sebagai penyanyi beliau tidak sabar untuk menghasilkan single terbaharunya di samping album fizikal  yang akan terbit tidak lama lagi.

Lagu Sutera yang dinyanyikan Aisha Retno memenangi Naib Juara AJL38. Lagu ciptaan Aisha sendiri di mana liriknya ditulis oleh MFMF itu membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi. Manakala penyanyi Aina Abdul yang mempersembahkan konsep 'Tree Of Life' menerusi rekaan busana sentuhan pereka fesyen tersohor, Melinda Looi menduduki tempat ketiga menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 beserta trofi.

Aina yang terkenal dengan imej pelik, estetika dan gothic itu turut memenangi dua kategori lain iaitu Anugerah Penyanyi Pilihan Alha Alfa dan Vokal Terbaik. Bagi setiap kategori, Aina membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 dan trofi. 

Bertemakan Muzikaverse dengan penggunaan teknologi Light Emitting Diode (LED) dengan pencahayaan sebanyak 90 peratus, AJL38 diacarakan oleh Sherry Alhadad bergandingan bersama Alif Satar. 

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Shila Amzah, Dayang Nurfaizah, Datuk Zainal Abidin dan Ratu Rock Negara, Ella. 

Berikut adalah senarai lagu yang bertanding di pentas AJL38:

  • Jangan Mati Rasa Itu (penyanyi, komposer dan lirik, Aina Abdul)
  • Sutera (penyanyi Aisha Reno / komposer Aisha Retno dan MFMF/ lirik MFMF)
  • Santai (penyanyi Naqiu/ komposer Faizal Tahir, Ezra Kong)
  • Inilah Jalannya (band Masdo / komposer Noh Salleh)
  • Astana (penyanyi Ernie Zakri / komposer dan lirik, Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri dan Syamel).
  • Darah (penyanyi Marsha Milan/ komposer dan lirik, Naim Daniel, Firdaus Rahmat)
  • Kalam (penyanyi Shiha Zikir/ komposer dan lirik, Iqie Hugh, Firdaus Rahmat, John Jeeves)
  • Hasrat (penyanyi, komposer dan lirik, Amir Jahari)
  • Kucuma (penyanyi Wany Hasrita dan Afieq Syazwan/ komposer dan lirik, A Ramlee dan Ezra Kong)
  • Bintang (penyanyi, komposer dan lirik, Hael Husaini)
  • Waktu (penyanyi Ziana Zain dan Hasif Upin/ komposer dan lirik Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat )
  • Selagi Ku Ada (penyanyi Khai Bahar dan Nabila Razali/ komposer dan lirik Amylea)

Catat Ulasan

0 Ulasan