AINA ABDUL TERUJA BEKERJASAMA DENGAN MELLY GOESLAW

Walaupun dikritik sebagai seorang penyanyi yang seringkali menampilkan imej pelik dengan vokal yang seakan menjerit, Penyanyi Aina Abdul tidak akan menolak rezeki sekiranya beliau diminta tampil berbeza tetapi mestilah kualitinya memberikan impak yang besar dan mengkagumkan, malahan pelantun suara 'Terus Hidup' itu tidak mahu lagi berahsia akan status dirinya apabila dilamar produksi antarabangsa untuk melebarkan sayapnya di negara jiran.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 30,  itu berkata beliau cukup terharu apabila dipilih untuk bekerjasama dengan penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw. Penglibatan Aina itu adalah untuk merakamkan sebuah lagu runut bunyi yang menjadi tema sebuah filem Indonesia arahan Hanung Bramantyo berjudul, Cinta Tak Pernah Tepat Waktu, di mana lagu tersebut turut menampilkan Penyanyi Indonesia, Fabio Asher. 

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T kerana memberikan rezeki ini. Akhirnya saya dapat bekerjasama dengan Melly Goeslaw untuk merakamkan sebuah single di Indonesia, Tidak lupa juga buat penerbit filem ini, Kak Lin kerana mempercayai bakat saya. 

Foto: Ari Rheno Prakosa

"Cinta Tak Pernah Tepat Waktu antara judul filem yang jugak tajuk lagu di mana saya akan menyanyikan sebuah lagu tema bagi filem arahan Hanung ini. Saya cukup teruja malahan tidak percaya pada mulanya apabila terlibat dalam projek bersama Melly, antara komposer yang bagi saya cukup hebat di dalam industri muzik nusantara.

Projek ini saya rahsiakan sejak tahun lalu. Sebenarnya sudah banyak kali saya berulang alik ke Jakarta. Projek rakaman lagu ini sudah selesai, malahan video klipnya pun dah siap dan hanya menunggu sahaja untuk dilancarkan. Pada Kak Lin, Aina amat berterima kasih," ujar Aina.

Aina yang ditemui media di sebuah hotel terkemuka di ibu negara untuk sidang media konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada petang khamis itu menyifatkan tawaran tersebut sebagai peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan, malahan Melly antara komposer yang mencadangkan nama Aina untuk menyanyikan lagu tersebut.

"Nak kata teruja tu memang saya tak nafikan sebab sebelum ini saya banyak buat cover lagu Melly. Bila saya dipilih, saya pada mulanya macam tak percaya tapi bila saya duduk di dalam studio rakaman dan Melly dihadapan saya, saya rasakan. Inilah momen yang harus saya hargai dan ia tidak akan berulang kembali," kata Aina berharap selepas projek ini beliau dapat berduet bersama Melly untuk projek seterusnya. 

Berkongsi pengalaman bekerja bersama Melly, Aina berkata, komposer itu tidak pernah menyekat kreativitinya, malahan memberikannya kebebasan agar karya yang dihasilkan itu meninggalkan impak yang sangat besar. 

Menurut Aina lagi, bekerja dengan produksi luar seperti Indonesia ini cukup berbeza malahan untuk rakaman lagu itu, beliau dibekalkan dengan seorang pengarah muzik yang akan menjaga setiap lontaran vokal agar memberikan variasi kepada susunan muzik bagi lagu yang dirakamkan.

Foto: IG Aina Abdul

Cinta Tak Pernah Tepat Waktu adalah sebuah filem romantis yang dihasilkan Dapur Film dan diterbitkan produksi filem dan konsert, Seven Skies Motion bersama K Studio. Menampilkan gandingan pelakon Malaysia dan Indonesia, filem terbitan Azlin Hilda Abd Latiff itu diadaptasikan dari sebuah novel terlaris karya Phutut EA, yang dibintangi pelakon tempatan, Mira Filzah  bersama Nadya Arina, Carissa Perusset serta tunjang utamanya Refal Hady. 

Mengisahkan mengenai pergolakan cinta penulis buku, Daku Ramala lakonan Refal Hady dalam mencari cinta sejati dalam hidupnya dan berkenalan dengan tiga wanita berbeza ini bakal menemui penonton di kedua buah negara tidak lama lagi. 

Catat Ulasan

0 Ulasan