MONSTA STUDIOS BEKERJASAMA DENGAN GOOGLE & YOUTUBE

Penggiat animasi tempatan Animonsta Studios (MONSTA) kini menjalin kerjasama dengan Google dan YouTube bagi memulihkan akaun rasmi syarikat itu yang telah digodam serta ditukar ke akaun lain baru-baru ini.

MONSTA dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha pemulihan termasuk mengembalikan ribuan kandungan video keluaran syarikat itu yang telah mencecah berbilion tontonan sejak akaun tersebut diwujudkan lebih sedekad lalu.

“Pelanggan akaun rasmi YouTube ‘MONSTA Channel’ rata-rata terdiri daripada jutaan ahli keluarga dan penonton yang terdiri daripada kalangan anak-anak muda bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ini.

“Dikatakan hampir lebih sejuta tontonan dalam sehari telah terjejas akibat serangan siber ini. MONSTA mengambil serius isu pelanggaran etika ini,” menurut kenyataan itu.

Pengarah media MONSTA Faiz Zainal Abidin, melalui kenyataan sama, memaklumkan bahawa insiden itu telah menyedarkan pihaknya bahawa masih terdapat kelemahan dari sudut sekuriti di setiap platform media.

“Kami mengambil iktibar daripada perkara ini dan sedang merancang untuk menambah lebih banyak stesen siaran televisyen rasmi di setiap negara Asia Tenggara.

“Mungkin stesen televisyen tempatan atau platform penstriman rasmi seperti Netflix dapat memberi lebih kestabilan penayangan dan kepercayaan kepada para penonton setia MONSTA.

"Kami mempunyai banyak siri yang sedang dalam proses penayangan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MONSTA kini giat menghasilkan siri BoBoiBoy Galaxy Musim Kedua dan Mechamato Musim Ketiga yang bakal dipertontonkan tidak lama lagi.

Artikel asal telah disiarkan di Bernama. 

Catat Ulasan

0 Ulasan