SHERIFF : NARKO INTEGRITI CATAT KUTIPAN TERTINGGI RM16.3 JUTA ; 5 HARI

Baru empat hari ditayangkan, filem Sheriff: Narko Integriti sudah berjaya memecah tembok kutipan tertinggi dengan meraih kutipan terkumpul sebanyak RM16.3 juta setakat ini.

Pengerusi Skop Productions merangkap penerbit eksekutif bersama filem berkenaan, Yusof Haslam, berkata pihaknya sangat bersyukur dengan sambutan positif itu.

Namun, dia tetap berhati-hati dan denggan mendabik dada. Sebaliknya kata Yusof, mereka berasakan masih terlalu awal untuk meletakkan harapan tinggi pada filem tersebut.

“Syukur alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan filem SheriffPihak kami bersama barisan pelakon ada mengunjungi pawagam-pawagam di sekitar Lembah Klang pada hujung minggu lalu, dan rasa amat teruja serta terharu melihat reaksi luar jangka penonton dari pelbagai lapisan usia dan latar belakang.

“Meskipun rakan-rakan media serta peminat mula berteka-teki mengenai kutipan Sheriff, masih terlalu awal untuk meletak harapan tinggi dan kami sentiasa bersyukur dengan momentum positif ini.

“Terima kasih kepada semua atas sokongan terhadap filem ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheriff: Narko Integriti yang diarah Syafiq Yusof membariskan pelakon seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan serta membabitkan dua penerbit terkemuka iaitu Skop Productions bersama Astro Shaw.

Naskhah itu berkisahkan sekitar hidup Nazri, seorang anggota polis dari jabatan narkotik, memerangi kegiatan sindiket dadah Tony Ifrit yang semakin berleluasa.

Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas daripada cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Pada masa yang sama, seorang anggota jabatan integriti dihantar oleh pengurusan tertinggi polis untuk menyelesaikan kes Meth Killer dan ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, pengarah dan pelakon Aziz M Osman memuji keterbukaan Polis Diraja Malaysia dalam meluluskan beberapa babak sensitif.

Temui barisan pelakon Sheriff: Narko Integriti di pawagam-pawagam terpilih sekitar Lembah Klang pada 27 dan 28 April.

Artikel ini pernah disiarkan dan dipetik dari Malaysiakini

Catat Ulasan

0 Ulasan