AINA ABDUL BAKAL GEGARKAN DFP KLCC MEI DEPAN


Jika anda seorang peminat muzik yang mahukan kelainan dari segi susunan muzik dibantu dengan alunan vokal diiringi barisan pemuzik orkestra, pastinya anda tidak akan melepaskan peluang keemasan ini. 

Saat namanya disunting untuk mengadakan persembahan di sini, hatinya cukup berdebar malahan pelantun suara 'Semalam, Sumpah dan Jangan Mati Rasa Itu,' menganggap 10 dan 11 Mei depan sebagai dua malam yang cukup menakutkan. 

Aina Abdul Bersama MPO yang bakal mempersembahkan hampir 20 buah lagu terbaik Aina Abdul dengan gubahan secara simfoni itu bakal diiringi 60 pemuzik orkestra pimpinan Ahmad Muriz Che Rose. Memilih Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur,  konsert yang menampilkan Aina secara solo itu merupakan konsert julung kali Aina sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.


"Ini adalah peluang yang saya mahu sepanjang karier. Namun, saya perlu akur tawaran sebegini hanya datang sekali sahaja. Walaupun sebelum ini saya terlibat dengan beberapa konsert seperti di Istana Budaya dan Axiata Arena, namun untuk persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC ia cukup berbeza dan saya mungkin tidak akan selincah konsert terdahulu tetapi mungkin sedikit mengkagumkan kerana di DFP saya harus menampakkan sisi kematangan saya sebagai seorang penyanyi solo. 

"Sebagai seorang penyanyi, memang tidak dapat dinafikan ada sedikit perasaan gementar dalam keterujaan memandangkan untuk mengadakan persembahan di DFP ini, saya perlu lari dari kebiasaan sepertimana anda mengenali siapa Aina Abdul," kata Aina Abdul ketika ditemui media di sebuah hotel terkemuka di tengah pusat bandar, Kuala Lumpur.

Pemenang Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 pada Mac lalu itu menganggap peluang yang diberikan DFP itu akan diterjemahkan secara baik bagi mendendangkan seleksi lagu-lagu terbaik Aina Abdul secara simfoni yang tentunya memberikan pengalaman yang segar dan cukup berbeza kepada peminat muzik khususnya ainations agar lebih menghargai bagaimana muzik dan seni itu bersatu.

Walaupun dianggap seorang penyanyi yang sentiasa menampilkan imej pelik dengan kelantangan vokal seakan 'menjerit', Aina Abdul yang berkelulusan Sarjana Muzik Kontemporari, Universiti USCI, Kuala Lumpur itu tidak menganggap ia satu bebanan untuk menampilkan sisi berbeza beliau sebagai seorang penyanyi di pentas DFP, malahan pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani, 30, itu berkata, ia satu cabaran yang harus dipikul memandangkan DFP merupakan sebuah pentas idaman kebanyakkan penyanyi, dan sebagai anak seni, beliau harus menyahut cabaran tersebut.


"Jika anda pernah menonton persembahan saya sebelum ini, anda perlu datang ke DFP pada 10 atau 11 Mei depan kerana persembahan ini tidak akan ada di mana-mana pentas lain kerana di DFP ini aura dia sangat berbeza dan tentunya ia akan menguji kematangan vokal saya diringi barisan pemuzik orkestra yang cukup berpengalaman," katanya.

Aina yang bakal mendendangkan beberapa buah lagu terbaiknya dalam bentuk simfoni seperti Sumpah, Semalam, Sepi, Terus Hidup, Puas Sudah, Sesal, Kamu, Kejam. Imaji, Shadow, Kelip-Kelip dan Dawai itu bakal diiringi 60 pemuzik orkestra pimpinan konduktor terkemuka, Ahmad Muriz Che Rose.

Ketika berkongsi kepada media, Ahmad Muriz berkata pemilihan Aina untuk menghiasi slot dalam sebuah konsert besar pada 10 dan 11 Mei depan dibuat  berdasarkan potensi vokal dan kredibiliti penyanyi itu yang telah mencipta kejayaan luar biasa dengan nilai eksklusif bagi persembahan dalam bentuk simfoni.

Foto: MPO, DFP

"Kita akan tampilkan Aina melalui susunan muzik yang lebih besar memandangkan kebanyakkan lagu-lagu yang Aina pernah nyanyikan itu sudah mega, tetapi untuk persembahan beliau bersama MPO ini, kita akan mempersembahkan Aina dari sudut pandang yang berbeza dan mungkin tidak pernah kita saksikan beliau dalam persembahan yang lain.

"Menerusi konsert ini, kita akan menampilkan gubahan muzik yang berbeza secara simfoni bersama Jenny Chin, Vivian Chua, Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Mac Chew , Gerard Salonga dan saya sendiri. 

"Saya percaya persembahan pada Mei depan ini pastinya menjadi penanda aras baharu buat MPO dengan penampilan Aina Abdul yang pastinya menjadikan persembahan 10 dan 11 Mei itu sebagai suatu yang menyeronokkan. 


"Cabaran untuk konsert ini sangatlah luas kerana saya perlu meneliti setiap aspek persembahan bukan sahaja tentang bagaimana untuk menjadikan muzik itu lebih sedap tetapi tentang penyusunan muzik yang menggunakan 100 % orkestra tanpa ada satu pun yang tertinggal memandangkan aura Aina Abdul itu cukup besar dan gah," kata Muriz berharap konsert yang bakal berlangsung Mei depan ini meninggalkan sejuta kenangan dan memori buat industri muzik tanah air.

Aina Abdul Bersama MPO yang bakal dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 10 dan 11 Mei 2024 itu sudah mula dijual tiketnya. Tiket-tiket berharga RM255 hingga RM650 boleh dibeli menerusi tempahan di laman DFP atau emelkan kepada boxoffice@dfp.com.my atau telefon melalui talian 03-23317007. 

Catat Ulasan

0 Ulasan