ZIANA ZAIN TERUJA BERTEMU PEMINAT

Menikmati persembahan atau nyanyian bintang pujaan tidak akan pernah lengkap tanpa tanda dagang seperti memiliki cakera padat, poster mahupun majalah sebagai koleksi peribadi. Meski zaman berubah, ada satu tradisi yang mengeratkan silaturahim secara semula jadi di antara artis dengan peminat iaitu sesi ramah mesra dan mendapatkan tanda tangan secara eksklusif daripada sang idola.

Sehubungan itu, penganjur konsert penyanyi legenda Ziana Zain iaitu Anuar Zain Network dan Ziana Zain Network dengan kerjasama Altus Prohouse telah menganjurkan sesi bertemu peminat sekaligus mendapatkan tandatangan eksklusif sebagai tanda penghargaan buat peminat setianya bersempena dengan penganjuran konsert Ziana Zain  2024 yang  dijadual berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei depan.

Ziana yang mengenakan busana blazer earth color ketika sesi beramah mesra dan sidang media  pada  Ahad lepas memaklumkan penjualan tiket bagi menyaksikan konsert tersebut telahpun habis cuma hanya tinggal Diamond dan VIP sahaja. Bagi peminat yang telahpun membeli tiket dan mahu mendapatkan sesi istimewa bersama Ziana bersempena Ulang Tahun kelahirannya pada 2 Mei depan telah diumumkan pemenangnya pada sesi yang berlangsung jam 3 petang pada 21 April lalu.

Terkenal dengan sifat merendahkan diri walaupun berstatus seorang diva di dalam industri muzik dan hiburan tempatan, Ziana optimis terhadap sokongan peminatnya yang tidak pernah berbelah bahagi hampir 4 dekad di dalam lapangan seni yang berakar sejak tahun 1989. Menurut Ziana, pada malam konsert nanti, beliau akan membuat beberapa kejutan buat peminatnya di samping berjanji untuk menghiburkan peminatnya selagi hayat di kandung badan.

"Kak Gee sebenarnya tak sabar untuk melihat sambutan peminat pada konsert malam 25 Mei depan. Ada di antara peminat yang begitu fanatik dengan Ziana Zain. Macam-macam ragam yang bagi Kak Gee banyak mewarnai kehidupan kita malahan dianggap sebagai warna warni kehidupan.

"Jika ditanya pada Kak Gee, apa stamina dan persiapan untuk malam konsert tersebut, sejujurnya Kak Gee cakap, setiap hari Kak Gee akan luangkan masa untuk ke pusat GYM bagi meningkatkan stamina Kak Gee. Berdebar tu biasalah. Rasa macam pertama kali nak buat persembahan pula. Pada peminat Kak Gee yang telah pun membeli tiket atau masih belum, jemputlah ke konsert kak Gee nanti 25 Mei depan. Kita akan raikannya," kata Ziana Zain penuh teruja.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 55, berkata, konsert yang bakal berlangsung 25 Mei depan itu akan menampilkan kira-kira 20 buah lagu popularnya. Menurut Ziana, konsert tersebut akan dibahagikan kepada beberapa segmen di mana setiap satu darinya akan menceritakan sesuatu yang mungkin akan meninggalkan sejuta kenangan yang mungkin tidak akan berulang kembali.

Pelantun suara Madah Berhelah, Putus Terpaksa dan Menadah Gerimis itu bakal berkongsi saat suka duka bagi setiap kenangan sepanjang kariernya bergelar anak seni melalui konsert tersebut. 

Ketika ditemui pada sesi tanda tangan yang dihadiri puluhan peminat setianya baru-baru ini, Ziana berkata beliau sangat terharu dengan sambutan yang diterimanya walaupun beliau boleh dikatakan seorang penyanyi yang sudah 'senja' tetapi auranya masih hebat seperti 35 tahun yang lalu. 

Membuka tirai persembahan 21 April lepas dengan lagu Bersama Akhirnya, Puncak Kasih dan Berpisah Jua, Ziana memukau segenap ruang di ruang legar Sungei Wang Plaza itu dan kelihatan beberapa peminat setianya turut miming melihatkan penyanyi pujaannya di depan mata. 

Penulis, Amy Ikram (Kanan) bersama Ziana Zain (Kiri) menunjukkan album fizikal 
yang pernah dihasilkan Ziana sepanjang kariernya 35 tahun lalu.

Ketika berkongsi kepada Wajib Tonton tentang pengalaman terdahulu, Ziana mengakui pembikinan album secara fizikal banyak membantu dirinya bertahan sehingga ke hari ini. Pernah menghasilkan enam (6) buah album studio, dua (2) buah album Live dan Empat(4) buah album kompilasi termasuk satu album remastered 'Ziana Zain Greatest Hits' pada tahun 2022 dengan 22 buah lagu popularnya, Ziana Zain amat terharu dan berterima kasih atas peluang yang pernah diberikan sehingga beliau diberi jolokan "Whitney Houston of Malaysia" serta pernah membintangi 11 buah filem antaranya Sembilu (1994), Sembilu 2 (1995), Maria Mariana & Merah (1996), Maria Mariana II (1998),  Sembilu 2005 & Pontianak Menjerit (2005), Qabil Qhusry Qabil Igam (2007), Magika (2010), Gol & Gincu Vol 2 (2018), Seratus (2022) dan juga pernah terlibat dalam beberapa buah produksi drama, telefilem dan teater tempatan dari tahun 1998 hingga kini.

Catat Ulasan

0 Ulasan