SENIWATI SALOMA DALAM KENANGAN

Pada hari ini dalam tahun 1983, Biduanita Pertama Negara, Saloma atau nama sebenarnya, Salmah binti Ismail meninggal dunia dalam usia 48 tahun. Kesihatan Allahyarhamah semakin merosot, setelah kematian suaminya, Allahyarham Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee pada tahun 1973. Allahyarhamah dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 22 Januari 1935. 

Beliau merupakan seorang penyanyi Singapura-Malaysia dan bintang filem popular sekitar tahun 1950an hingga awal 1980an. Selain menyanyi, kebolehan Saloma tertumpah juga ke bidang seni filem.  

Filem pertama lakonannya adalah Azimat (1958) diikuti oleh Filem Kaki Kuda (1958). Sejak itu, Saloma mula berlakon dalam pelbagai filem antaranya bersama suaminya dalam filem Seniman Bujang Lapok (1961), Ragam P. Ramlee (1964) dan Ahmad Albab (1968)


Memang suka menyanyi sejak kecil, Saloma memulakan perjalanan seninya sekitar 1948 di usia 13 tahun apabila diperkenalkan kepada khalayak di The New World Carbaret di Singapura oleh bapa tirinya yang merupakan pemuzik keroncong di karbaret itu. Suaranya mula berkumandang di Radio Malaya tahun berikutnya dan namanya semakin terkenal sebagai penyanyi utama orkestra sekitar Singapura. 

Sepanjang hidupnya, Allahyarhamah Saloma sempat merakamkan lebih 500 buah lagu. Di puncak kemasyurannya, beliau dianugerahkan gelaran Biduanita Pertama Negara pada tahun 1978. 

Pada 25 April 1983 di usia 48 tahun, Saloma menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Assunta, Petaling Jaya. 


Beliau dikebumikan di sisi pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pemergian beliau ini melenyapkan kilauan sebutir bintang seni yang sukar dicari ganti.

Al-Fatihah, moga rohnya dicucuri rahmat.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, NST, ‘Saloma’ (Ahmad Fauzee Samad, 2012)

Catat Ulasan

0 Ulasan