FILEM GENG KUBUR JENTIK MEMORI SILAM

Ketika tinjauan di beberapa pawagam terkemuka di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, filem terbaru arahan Gavin Yap, Geng Kubur yang memasuki pawagam sejak semalam, 25 April tidak berjaya menduduki carta pilihan peminat dan penonton filem tempatan. 

Walaupun masih baharu untuk dinilai sambutannya, filem yang diterbitkan Iron Hill Media Sdn. Bhd itu mengisahkan satu kejadian pelik berlaku diantara empat (4) orang sahabat di mana setiap dari mereka mempunyai kisah dan ceritanya tersendiri. Filem yang menelan belanja sekitar RM1.2 juta itu banyak bermain dengan aspek psikologi dibantu dengan elemen seram yang berbeza dan tidak pernah ada dalam mana-mana skop penerbitan filem seram tempatan sebelum ini.

Bagi Gavin, menghasilkan naskhah Geng Kubur ini amat menyeronokkan kerana filem ini menyentik memori silam malahan keseluruhan plot penceritaannya adalah berdasarkan sebuah kisah yang pernah berlaku dalam hidupnya yang tidak terfikir dek akal.

Gavin yang sebelum ini pernah terlibat di dalam beberapa buah filem tempatan  seperti  KL24: Zombies (2017), The Bridge (2018), Dendam Pontianak (2019) dan Invisible Stories (2020) berkata, Geng Kubur yang turut menampilkan beberapa muka baru industri lakonan antaranya, Firdaus Sufiyan, Lion Chong, Sasidaran, Nabil Zakaria, Amir Ameerzan dan ramai lagi itu juga turut membawakan Mia Sara Shauki dan Nadia Aqilah. 

Geng Kubur yang diadaptasikan dari sebuah kisah benar itu bukan sahaja boleh dianggap sebagai sebuah filem seram tetapi ia lebih menjurus kepada kisah tentang persahabatan, kekeluargaan dan perhubungan antara manusia di mana menurut Gavin, untuk menghasilkan naskhah ini secara jujur, beliau harus bercerita dari hati mengenai kisah silamnya yang gemar melepak di tanah perkuburan.

Gavin berkata, sejak dia dan keluarganya kembali semula ke Malaysia setelah berhijrah ke United Kingdom, tempat tinggalnya memang terletak dengan kawasan perkuburan.

“Saya tidak pasti sama ada secara kebetulan atau tidak, apabila kami menetap di Damansara Utama, rumah kami terletak hampir dengan tanah perkuburan. Setelah pindah ke Pulau Pinang, kediaman kami juga masih dekat dengan kubur.

“Jadi, boleh dikatakan melepak di dalam kawasan tanah perkuburan memang menjadi antara aktiviti  saya bersama rakan-rakan ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya yang pernah mengarahkan filem Dendam Pontianak bersama Glen Goei.

Sehubungan itu, Gavin memberitahu bahawa ia telah menimbulkan idea buat dirinya untuk menghasilkan sebuah filem yang berkaitan dengan aktiviti sedemikian.

Ujarnya, berdasarkan pengalamannya itu telah menghasilkan sebuah filem seram berjudul Geng Kubur, di mana dia turut bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip.

Bercerita lebih lanjut mengenai filem tersebut, Gavin berkata, ia mengisahkan tentang empat orang sahabat baik yang menjadikan lepak di tanah perkuburan sebagai aktiviti utama mereka.

“Geng Kubur bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi ia menitikberatkan kepada perjalanan kehidupan setiap watak iaitu empat orang sahabat.

“Di sebalik kegemaran melepak di kawasan kubur, masing-masing ada kisah sendiri yang telah menghantui kehidupan mereka,” ujarnya.

Menurut Gavin, penggambaran dilakukan pada September 2022 di beberapa buah lokasi seperti di Hulu Langat, Bandar Utama dan Kampung Baru.

Mengenai harapannya untuk filem ini, Gavin berkata dia mengharapkan naskhah terbaharu itu diterima dan menghiburkan penonton.

Ujarnya, dia yakin mereka yang menonton akan mengenang kembali kehidupan semasa zaman persekolahan dahulu.

“Saya percaya, setiap penonton akan melihat ‘diri’ mereka dalam setiap watak yang ditampilkan. Ia bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi lebih daripada itu,” ujarnya.

Sementara itu, Michael Chen selaku penerbit eksekutif menjelaskan pihaknya tertarik untuk menerbitkan Geng Kubur kerana kelainan yang ditampilkan.

Michael berkata, Geng Kubur bukanlah sekadar mahu menonjolkan seram samata-mata, tetapi turut menyelitkan beberapa elemen lain untuk diangkat menjadi sebuah filem.

Namun begitu, beliau menyatakan dapat menerbitkan filem berkenaan telah memberi kepuasan tersendiri buat dirinya.

“Saya dah Gavin sudah lama berkawan dan berkerjasama dalam pelbagai projek sejak tahun 2006. Apabila dia mencadangkan idea filem ini, saya percaya ia adalah sebuah naskhah yang sangat menarik untuk diterbitkan menjadi sebuah filem.

“Selain itu, saya juga mempunyai pasukan produksi yang telah memberikan kerjasama sangat baik sepanjang penggambaran. Saya sendiri tidak sabar untuk filem ini ditonton oleh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Geng Kubur yang ditayangkan bermula 25 April itu merupakan antara naskhah terbaik Gavin dan sebagai peminat filem jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini di pawagam berdekatan anda. 

Catat Ulasan

0 Ulasan