ZAITON SAMEON MENARUH HARAPAN

Impian penyanyi popular era 1980-an, Zaiton Sameon, 68, untuk mendapatkan bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur bakal menjadi kenyataan selepas hampir dua tahun berusaha dan menanti dengan penuh sabar.

Penyanyi lagu Menaruh Harapan itu berkata, permohonannya berjalan lancar dan sudah menghantar beberapa dokumen tambahan untuk melengkapkan proses penerimaan PPR berkenaan.

"Setakat ini, bantuan dapatkan bantuan perumahan masih dalam proses. Tapi, saya sudah dimaklumkan bakal mendapat PPR Sri Aman Jinjang, Kepong, Kuala Lumpur.

"Permohonan sudah lama dibuat, cuma saya ada hantar beberapa dokumen tambahan, baru-baru ini. Jadi, kemungkinan saya akan dapat berpindah, tidak lama lagi," katanya ditemui pada program Ziarah Seni Madani, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 2024 bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di kediamannya di Apartmen Sri Baiduri, di sini, baru-baru ini.

Buat masa ini, Penyanyi Wanita Popular untuk edisi pertama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 1987 itu menumpang dengan anak angkatnya, Che Sikah Ismail atau Ika, 48, dengan menyewa rumah di Apartmen Sri Baiduri, di sini dengan bayaran RM1,000 sebulan.

Pada 17 September tahun lalu, Zaiton meluahkan kisahnya yang memerlukan bantuan kewangan bulanan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup dihadapi selepas kekurangan tawaran menyanyi.

Kesempitan hidup Zaiton turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian menghantar wakil iaitu Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi untuk melawat dan menyampaikan bantuan kewangan serta bakul makanan.

Pada masa sama, Zaiton tidak menyangka kepayahan hidup dan masalah kesihatan dialami sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian Fahmi.

Katanya, dia bersyukur Fahmi bersama wakil FINAS sanggup meluangkan masa menziarahinya di rumah.

"Paling tak sangka Fahmi sendiri datang ke rumah saya untuk menyantuni dan menghulurkan sedikit bantuan. Saya sangat berterima kasih kerana masih ada yang prihatin dengan artis bernasib malang seperti saya.

"Saya berasakan lagu sendiri memang ada kena mengena dengan jalan hidup. Kadang-kadang saya terfikir orang sudah lupakan saya ke?

"Tapi, bila tiba-tiba menteri datang hendak berjumpa, ia satu penghormatan kepada saya," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Zaiton berkata dia akan pulang ke kampung halaman di Rembau, Negeri Sembilan untuk beberapa hari dan menziarahi pusara arwah anak dan ibu bapanya.

"Aidilfitri tahun ini rasanya agak sedih. Saya akan balik ke kampung sekejap dan ziarah kubur arwah anak dan mak ayah.

"Rumah pusaka masih ada dan ada kakak yang menjaganya di sana," katanya.

Pada 14 November 2022, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan.

Ia susulan kemalangan ngeri yang menimpanya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Allahyarham Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Artikel asal telah disiarkan di Berita Harian pada 8 April 2024. 

Catat Ulasan

0 Ulasan