AKTIVIS TEATER DISEGANI, ROSMINAH TAHIR MENINGGAL DUNIA

Aktivis dan pengarah teater disegani, Dr. Rosminah Tahir, 65, meninggal dunia di kediamannya di Keramat, di sini, petang tadi. Berita pemergiam Allahyarham Rosminah disahkan sahabat baik yang juga penerbit teater, Siti Rohayah Attan kepada BH Online.

Bagaimanapun, Siti Rohaya belum mendapat maklumat terkini berhubung pemergian sahabatnya itu.

"Jenazah sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kami sedang menunggu jenazah serta perkembangan terkini.

"Setakat ini, saya belum tahu punca pemergian arwah dan apa yang berlaku. Saya terus ke HKL sebaik dimaklumkan arwah sudah tiada," katanya.

Siti Rohaya berkata, kali terakhir mereka berhubung kira-kira tiga hari lalu. Malah, Allahyarham Rosminah sempat menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjurannya, baru-baru ini.

"Ketika datang ke rumah, arwah tampak sihat. Arwah baru meraikan ulang tahun kelahiran ke-65 pada 13 Mei lalu," katanya.

Allahyarham Rosminah pernah dilantik Ketua Jabatan Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Ketika tinjauan di laman media sosial, beberapa rakan artis dan kenalan Allahyarham termasuk YB Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menitipkan ciapan dan berkongsi saat manis bersama arwah.

Dalam satu hantaran ringkas di laman X, Fahmi berkata, Rosminah merupakan inspirasi beliau ketika bergiat dalam bidang seni teater tidak lama dahulu. Allahyarham meninggal dunia petang Ahad dan jenazahnya akan dibawa pulang ke Muar Johor dan akan dikebumikan pagi Isnin.

Menurut rekod, Allahyarham pernah mengarahkan beberapa buah teater berskala mega seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Muzikal Tun Mahathir, Muzikal Lantai T. Pinkie, Muzikal Ibu Zain, Nyonya, Li Po, Mak Dara Nyonya dan Anugerah serta pernah menjadi jurulatih peribadi artis drama, filem dan teater. 

sumber: Berita Harian. 

Catat Ulasan

0 Ulasan