JILID ROCKESTRA ELLA DI PLENARY HALL, KLCC 9 OGOS

Walaupun siri jelajah konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ sudah berakhir, namun Ratu Rock negara, Ella bakal mengadakan sebuah lagi konsert yang lebih istimewa iaitu Jilid Rockestra Ella: Rockers juga Manusia' pada 9 Ogos 2024. 

Memilih Plenary Hall, KLCC sebagai lokasi penganjuran, konsert yang dianjurkan Hitman Solutions dan RockQueen itu merupakan sebuah persembahan eksklusif Ella sepanjang 4 dekad berada di dalam industri hiburan dan muzik tanah air.

Ketika ditemui media di Rumah Makan Nusantara, Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur,  Encik Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, berkata sebagai penganjur, beliau teruja untuk mengumumkan kolaborasi terkini mereka bersama Ella untuk sebuah konsert yang bakal berlangsung Ogos depan. 

"Bekerjasama dengan Ella dan pasukan RockQueen adalah satu pengalaman yang amat mengagumkan. Setelah menganjurkan 4 buah konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ tahun lepas, kami masih menerima permintaan yang tinggi dari peminat-peminat Ella untuk menyaksikan Ella beraksi sekali lagi di atas pentas. Oleh itu, sebagai tanda penghargaan kami mengambil keputusan untuk berkolaborasi sekali lagi demi mencipta satu lagi konsert yang istimewa buat peminat setia Ella.

"Hanya satu malam sahaja dan tiada penambahan hari, kami akan mempersembahkan Ella kepada anda dengan memberikan pengalaman yang lebih unik tanpa batasan," katanya 

Menurut rekod, kali terakhir Ella mengadakan konsert dalam genre orkestra adalah pada tahun 2017 lalu menerusi Ella Live With The MPO: A Rock Queen's Journey di DFP 7 tahun yang lepas. Namun, untuk menyuntik semula memori tersebut, Ella sekali lagi bakal mencipta magisnya melalui konsert terbaharu ini yang turut menampilkan Dato' Hashridz Murshim atau Dato' Acis sebagai pengarah muzik.  

“Saya gabungkan dua perkara yang saya sayangkan,  iaitu muzik dan peminat. Kedua-dua perkara ini amat saya cintai. Tanpa peminat, mana mungkin akan adanya Ella. 

Jilid Rockestra Ella kali ini adalah peluang untuk saya terokai gabungan muzik dari album-album saya yang dipersembahkan dalam bentuk yang cukup istimewa iaitu orkestra,” kata Ella.

Jelas Ella lagi, perbezaan konsert yang diadakan sebelum ini dengan Jilid Rockestra Ella adalah gabungan antara genre rock dengan 15 orang pemain muzik orkestra profesional. Menurutnya, penghasilan lagu diiringi orkestra sangat menakjubkan di mana kedua-dua elemen ini memberikan perspektif berbeza dari segi pengalaman mendengar muzik. 

“Konsert sebelum ini menceritakan tentang perjalanan seni dan kisah 35 tahun kerjaya saya, yang merupakan representasi lengkap diskografi saya sebagai penyanyi rock.

“Selain gabungan rock dan orkestra, konsert kali ini memberi kami peluang mempersembahkan kreativiti kami dalam berkarya dengan penambahan lagu-lagu hits yang belum sempat dimainkan, dan masih di bawah pimpinan pengarah muzik iaitu Dato' Hashridz Murshim bin Hassim (Dato’ Acis),” katanya.

Sebagai seorang anak seni yang prihatin, Ella masih mengekalkan solidaritinya terhadap Palestin dan akan terus bersuara demi manusiawi sepanjang berlangsungnya konsert nanti.

“Konsep konsert masih lagi dalam perbincangan namun secara keseluruhannya adalah rapi, dari segi elemen muzik, set pentas, fesyen ‘glam rock’ dan semuanya akan kami ambil kira, namun secara keseluruhannya boleh saya rangkumkan dalam satu ayat, ‘rockchic rockestra’.

“Saya jangkakan durasi konsert akan berlangsung sekitar 2 jam 30 minit dengan 25 buah lagu yang bakal dipersembahkan, tidak termasuk dengan rangkain lagu-lagu medley yang telah kami gubah demi memenuhi permintaan perminat. Apa yang pasti, ketika konsert nanti pasti ada kejutan dengan artis jemputan yang istimewa.

“Selain artis jemputan, akan ada segmen khas dimana saya akan mendendangkan beberapa buah lagu asli diiringi tarian buat penonton yang hadir.

“Saya tidak mahu kongsi selebihnya kerana malam tersebut bakal menjadi spektakular, harapan saya semoga konsert ini bakal menjadi kenangan indah buat semua yang hadir, dengarkan muzik saya dengan sajian audio visual dan pengalaman luar biasa untuk dikenang," kata Ella dengan nada teruja.


Gambar: Maestro Media MY

Dato' Acis yang merupakan pengarah muzik konsert tersebut menyifatkan Ella sebagai penyanyi wanita tempatan yang mempunyai range muzik yang berbeza, tetapi sebagai individu yang terlibat di dalam beberapa konsert Ella sebelum ini, Acis berjanji akan memberikan sentuhan yang berbeza buat persembahan kali ini.

Ketika ditanya mengenai artis jemputan yang bakal mengiringi persembahan Ella pada konsert tersebut, pelantun suara Permata Biru dan Puteri Kota itu menyifatkan individu tersebut merupakan nama yang besar di dalam industri muzik tanah air.

"Bukan mahu berahsia, tetapi biarlah ia menjadi kejutan pada malam konsert nanti. Sejujurnya saya katakan, penyanyi jemputan ini adalah salah seorang individu yang amat saya kagumi, jika saya buat pendedahan hari ini, tiada kejutanlah.

"Kalau anda nk tahu siapa orangnya, kenalah beli tiket dan datang menyaksikan saya beraksi untuk anda pada malam tersebut," kata Ella. 

klik poster untuk membeli tiket

Jilid Rockestra Ella: Rockers juga Manusia bakal berlangsung 9 Ogos 2024 di Plenary Hall, KLCC dengan harga tiket bermula dari RM148 hinggalah RM888. 

Kredit Gambar Muka Depan: Shafiq Shahar & Brader Nizam

Catat Ulasan

0 Ulasan