NABIL AQIL & ALYA IMAN DALAM ANGGUN MIKAYLA

Penggemar drama tempatan khususnya bagi mereka yang menyukai sebuah cerita kekeluargaan yang sarat dengan eleman cinta, kasih sayang dan persahabatan, Anggun Mikayla mungkin pilihan tepat bagi anda sekeluarga.

Diarahkan Eyra Rahman yang sebelum ini banyak mengarahkan beberapa buah drama bersiri hebat dan filem popular antaranya Mencintaimu Mr. Photographer (2017), Suamiku Lelaki Pendosa (2022), Syurga Itu Bukan Mudah (2023), Layang-Layang Perkahwinan (2024) dan I Love You, Stupid (2023), Anggun Mikayla menampilkan gandingan mantap Nabil Aqil dan Alya Iman ini sudah pun menemui penonton sejak 25 April lalu di saluran penstriman video OTT pan-serantau terkemuka, ViU setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Mengisahkan tentang Mikayla (Alya Iman), seorang gadis cantik yang dinafikan kewujudannya oleh ibunya sendiri. Walaupun menanggung derita dengan hinaan dan cacian, Mikayla tidak berdendam dengan  mereka yang membencinya. 


Pertemuan antara Mikayla dan Idriz (Nabil Aqil) mewujudkan hubungan yang istimewa. Siapa sangka hati Idriz terpaut kepada wanita yang dijumpainya dalam keadaan yang tidak disangka. Sementara itu, Asif (Razin Qidran), lelaki yang pernah menolak perasaan Mikayla mulai sedar yang perasaannya terhadap Mikayla sebenarnya lebih dari sebagai kawan. 

Meskipun keanggunannya menjadi rebutan, Mikayla tetap mencari secebis kasih sayang dari ibu yang enggan mengakui kewujudannya. Dapatkah Mikayla mencari erti nilai diri sebenar dan cinta yang sepatutnya dia miliki?. Apakah yang terjadi pada Idriz dan Mikayla di saat Asif cuba memasuki ruang hidup tiga segi ini?. Nantikan jawapannya dalam Anggun Mikayla, sebuah drama 13 episod.


Nabil Aqil yang memegang watak Idriz, seorang lelaki penghantar makanan di dalam Anggun Mikayla berkata, keserasian watak di dalam naskhah tersebut amat penting memandangkan watak yang dipikulnya agak mudah walaupun hanya memegang peranan seorang lelaki romantik.



"Saya cukup seronok bekerja bersama Eyra, Alya dan semua tenaga produksi. Anggun Mikayla sebuah naskhah kekeluargaan yang mencabar minda. Bagi saya, mencipta keserasian dalam watak itu amat penting memandangkan Alya adalah rakan baik saya. Jadi tidak mustahil untuk mewujudkan rasa cinta antara kami walaupun hanya sekadar lakonan.


"Jika ditanya pada saya. Apakah hubungan antara kami berdua?. Jujur saya cakap, saya dan Alya hanya berkawan. Tidak lebih dari seorang kawan kerana kami terlibat secara professional walaupun sudah beberapa kali disatukan dalam sebuah naskhah. Jika dia jodoh saya, saya terima," katanya.


Nabil yang merupakan finalis Hero Remaja 2017 itu membuat penampilan pertamanya dalam drama Mr Grey (2019) , Degup Cinta (2020), Angkara Cinta (2020), The Maid (2021), The Hotel (2021), You vs Me 2 (2024) Iskandar Cempaka (2024) dan banyak lagi itu pernah membintangi sebuah filem seram arahan Muzammer Rahman bertajuk Takut Ke Tak (2020).



Anak kelahiran Tapak, Perak ini antara bintang muda yang berjaya mendapat kepercayaan beberapa produksi drama dan telefilem tempatan untuk terlibat di dalam produksi mereka. Ketika berkongsi kepada Wajib Tonton, Nabil yang merupakan abang kepada Imran Aqil dan saudara kepada pelakon Syafiq Kyle ini sebenarnya mengimpikan untuk memegang peranan yang lebih serius dalam sesebuah produksi.


"Saya sebenarnya mengimpikan untuk memegang peranan yang lebih besar dalam sesebuah naskhah. Sekiranya ada mana-mana produksi yang mahu mengambil saya untuk sesuatu watak lain seperti antagonis, psiko dan ada sedikit yang boleh mencabar lakonan saya sedia ada. Saya terbuka untuk menerimanya," kongsi Nabil Aqil dengan nada penuh senyuman.


Alya Iman yang merupakan anak kepada pelakon legenda, Allahyarham Azmil Mustapha juga tidak menafikan bahawa berkerja bersama Eyra Rahman dan Nabil Aqil suatu yang cukup istimewa.


"Anggun Mikayla merupakan projek pertama saya bersama ViU. Saya berasa amat bersyukur dapat bekerjasama dengan pengarah hebat, Eyra Rahman. Walaupun sudah memasuki projek keempat bersama beliau, namun drama ini memberikan sedikit kelegaan buat saya kerana dia banyak membantu saya memberikan hasil yang terbaik,"katanya.



Namun bagi Eyra Rahman, peluang untuk mengandingkan Nabil Aqil bersama Alya Iman sebenarnya sudah dirancang memandangkan kedua pasangan pelakon itu merupakan rakan baik dan ini memudahkan untuk mewujudkan keserasian lakonan dalam sesebuah karya.


"Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Nabil Aqil. Jika ditanya pada saya, beliau antara pelakon lelaki yang saya rasa layak untuk naskhah ini. Bergadingan watak bersama Alya Iman suatu yang istimewa kerana kedua pasangan pelakon ini sudah mengenali antara satu sama lain dan bagi saya ia penting untuk mencipta keserasian yang mungkin menjadi atau sebaliknya," kongsi Eyra ketika ditemui media di Desa Pandan, Kuala Lumpur.


Untuk menonton video trailer, klik pada poster di atas

Anggun Mikayla adalah adaptasi karya tulisan Liza Nur yang diterbitkan Global Station yang menampilkan jalan cerita yang cukup menarik dan penuh 'plot twist' hanya di platform ViU itu juga membariskan lakonan Emelda Rosemila, Lisdawati, Haeriyanto Hassan, Zaidi Omar, Zarrin Nuqman, Razin Qidran dan ramai lagi.


Gambar Muka Depan: Remaja & Instagram

Catat Ulasan

0 Ulasan