P.RAMLEE DALAM KENANGAN

Hari ini genap 51 tahun pemergian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Pada usia 44 dalam tahun 1973, Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh atau P.Ramlee meninggal dunia. 

Dilahirkan di Pulau Pinang, anak seni berbakat besar itu merupakan seorang penyanyi, penulis, pelakon, pencipta lagu, pengarah dan pemuzik legenda yang telah mencipta nama besar di dalam dunia filem dan muzik nusantara.

Ribuan karya sentuhannya kini malar segar dan menjadi formula kebangkitan kepada beberapa bakat baharu samada sebagai pelakon, pengarah, penyanyi dan pemuzik di dalam industri muzik dan hiburan tempatan. 

Kehilangannya pada pagi Selasa pada tahun 1973, tanggal 29 Mei menjadi berita tergempar bukan sahaja di Malaysia, malahan merangkumi seluruh rakyat Nusantara kerana bintang pujaan ramai itu pergi buat selama-lamanya. Ramai yang tidak percaya apabila menerima berita pemergian P.Ramlee pada pagi itu. Malahan rata-rata rakan seperjuangannya menjadi kebingungan dan bertanya sesama sendiri adakah ini berita nyata atau hanya sebuah naratif di dalam filem arahan beliau?. 

Ketika tinjauan, suasana rumah P. Ramlee di Jalan Dedap, Kuala Lumpur  (kini Pustaka Peringatan P.Ramlee), sudah mula dipenuhi oleh rakan-rakan dan orang ramai. Lapisan masyarakat dari pelbagai agama dan bangsa seperti rakyat biasa, wartawan, sasterawan, bintang filem, orang politik, ahli perniagaan, menteri kabinet, sudah mula berhimpun di halaman rumahnya walaupun pada waktu itu sudah mula memperlihatkan tanda-tanda hujan akan turun. Tetapi, mereka tetap tidak mahu berganjak demi untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah P.Ramlee. 

Jenazah P.Ramlee tiba di Jalan Dedap dari Hospital Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi dan disambut oleh hampir 500 orang ramai yang setia menanti di halaman rumahnya. Dalam perjalanan dari hospital ke Jalan Dedap hujan renyai sudah mula turun dan kelihatan orang ramai berduyun mengiringi jenazahnya. 

Setibanya di Masjid Jamek, Kampung Baru, jenazah P.Ramlee dimandi dan dikafankan serta disembahyangkan selepas waktu Zohor. Hampir 200 buah kereta mengiringi jenazahnya yang turut diketuai oleh anggota Polis bermotor. Apabila tiba di masjid, ribuan masyarakat sudah menanti jenazah P.Ramlee untuk sama-sama menunaikan solat jenazah. 

Kira-kira jam 5 petang, jenazah P.Ramlee tiba di tanah perkuburan Islam, Jalan Ampang. Tanah perkuburan juga sudah menjadi lautan manusia menyambut jenazah seniman agung itu. Semua yang hadir di tanah perkuburan itu, tetap setia berdiri dan menanti walaupun hujan renyai mengiringi jenazah. Orang ramai mula berasak-asak dan tolak menolak mahu ke hadapan mendekati liang lahad sehinggakan tempat meletakkan jenazah sudah tidak kelihatan. Pihak polis juga terpaksa mengawal keadaan bagi melancarkan urusan pengkebumian. 

Pada waktu talkin dibaca itulah kali pertama masyarakat mengetahui bahawa nama sebenar P.Ramlee ialah Teuku Zakaria di mana menariknya, talkin tersebut dibaca oleh Mohamad Rajoli bin Mohamed Zain (Allahyarham) atau lebih dikenali dengan nama M.Rajoli yang pada ketika itu berusia 28 tahun sedang berkhidmat sebagai salah seorang Imam Besar di Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur. M.Rajoli menyertai dunia lakonan pada tahun 1982 menerusi filem Esok Untuk Siapa arahan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Dalam satu hantaran yang pernah dikongsikan Atai, Allahyarham P.Ramlee menjadi idola kepada Sudirman Arshad. Atai atau nama sebenarnya Razman Azrai Zainuddin merupakan anak saudara Sudirman. Atai pernah merakamkan album pertamanya pada tahun 1985 berjudul Sahabat

Menurut Atai, Allahyarham Sudirman merupakan peminat tegar P.Ramlee. Kalau ada konsert atau persembahan membabitkan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee atau Puan Sri Saloma , mesti dia (Sudirman) tidak akan melepaskan peluang untuk menontonnya walaupun sibuk. 

Penghibur No.1 Asia yang telah mengharumkan nama negara itu antara jutaan peminat P.Ramlee yang gemar menggunakan beberapa dialog popular P.Ramlee di dalam ucapan sehariannya. Antaranya, ialah. 'Tuan Haji Bakhil nak mampus, Anakku Sazali, Satu untuk kau, satu untuk aku, dua untuk kau, dua untuk aku dan Pergi kau main muzik di sana buat apa kau menangis di sini'', di mana dialog tersebut adalah ditujukan kepada Dharanee Kannan iaitu pengurus Sudirman dan juga kepada Atai sendiri. 

'Madu Tiga, Bujang Lapok, Ibu Mertuaku dan Anakku Sazali' antara judul filem lakonan Tan Sri P.Ramlee masih segar dalam ingatan. Selain berlakon, Allahyarham juga merupakan seorang penyanyi dan pencipta lagu.  Semoga roh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ditempatkan di kalangan mereka beriman dan disayanginya. 

Catat Ulasan

0 Ulasan