PROGRAM MENARIK ASTRO MERIAHKAN AIDILADHA

Dalam meraikan sambutan Aidiladha 1447H, rangkaian televisyen berbayar, Astro tampil dengan pelbagai kandungan istimewa yang menjanjikan hiburan penuh bermakna buat seisi keluarga menerusi deretan program menarik merangkumi konsert nasyid, telefilem, filem blockbuster, program informasi serta kandungan audio khas.

Bermula 20 Mei ini, penonton bakal disajikan dengan pelbagai program yang mengetengahkan nilai pengorbanan, kesyukuran dan kebersamaan sempena sambutan Aidiladha menerusi saluran-saluran Melayu Astro.

Antara program yang menjadi tumpuan ialah Khabar Haji 2026 yang bersiaran di Astro Oasis dan Astro Awani. Program berbentuk berita dan hal ehwal semasa itu membawakan laporan langsung dari Tanah Suci Mekah mengenai perjalanan spiritual jemaah haji Malaysia.

Turut mencuri perhatian ialah MeleTOP Aidiladha Istimewa yang bakal menampilkan pengisian penuh makna termasuk alunan takbir daripada golongan ustaz, mualim muda dan selebriti tanah air.

Dalam pada itu, Astro turut mempersembahkan tiga konsert nasyid istimewa membabitkan kumpulan legenda tanah air iaitu Konsert Intifada Rabbani, This Is UNIC: Live in Concert dan Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun. Ketiga-tiga konsert berkenaan dijangka mengimbau nostalgia penonton menerusi lagu-lagu kerohanian dan dakwah yang cukup dekat di hati masyarakat Malaysia.

Bagi peminat drama televisyen pula, telefilem Pakwe Bonda Letop tampil dengan kisah komedi kekeluargaan yang dibintangi Achey, Namie dan Shashic.

Sementara itu, Ops Bapak-Bapak Naik Haji mengetengahkan kisah persahabatan dan pengorbanan menerusi lakonan Jalaluddin Hassan, Aziz M. Osman serta Roy Azman.

Selain telefilem, penonton juga boleh menikmati tayangan filem popular seperti Don Dukun dan Baik Punya Ah Long sepanjang musim perayaan ini.

Astro First pula membawakan tayangan filem tempatan terbaharu termasuk Duyung: Legenda Aurora yang menyaksikan kemunculan semula Maya Karin sebagai Puteri Duyung dalam sebuah kisah fantasi penuh dramatik.

Dalam perkembangan sama, Astro turut membariskan tayangan antarabangsa eksklusif seperti The Super Mario Galaxy Movie, The Mummy dan Michael yang dijangka menjadi antara tayangan paling dinantikan tahun ini.

Bukan itu sahaja, platform audio Astro seperti ZAYAN, THR GEGAR dan SINAR turut membawakan pelbagai aktiviti dan kandungan khas Aidiladha yang mengetengahkan nilai pengorbanan, kebersamaan dan semangat komuniti.

Melalui rangkaian kandungan khas ini, Astro terus komited menyajikan hiburan yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu menyentuh hati dan mengeratkan hubungan kekeluargaan sepanjang sambutan Aidiladha.

Catat Ulasan

0 Ulasan