Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena dalam dunia seni tempatan, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) kembali dipentaskan dalam versi baharu yang dijadual berlangsung Oktober depan.
Kebangkitan semula naskhah ikonik itu bukan sahaja mengubat kerinduan peminat teater, malah turut membuka lembaran baharu apabila Aisha Retno dan Mila Mohsin diumumkan sebagai dua teraju utama yang bakal menghidupkan watak Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah.
Watak berkenaan sebelum ini cukup sinonim dengan Tiara Jacquelina yang dianggap berjaya meletakkan karakter itu sebagai antara figura wanita paling ikonik dalam sejarah pementasan tempatan.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada karya sebesar PGL The Musical. Ini satu penghormatan besar buat saya,” katanya.
Turut berkongsi pengalaman sama ialah Mila Mohsin yang menjelaskan dirinya juga hadir ke sesi pemilihan tanpa sebarang layanan istimewa meskipun ibunya adalah Tiara sendiri.
Malah, Mila berkata pihak produksi pada awalnya tidak mengetahui dirinya merupakan anak kepada Allahyarham Hani Mohsin dan Tiara.
“Saya mahu orang melihat kemampuan saya sendiri, bukan kerana latar belakang keluarga,” katanya.
Menurut Tiara, sambutan sesi pemilihan kali ini sangat luar biasa apabila hampir 200 peserta hadir untuk dipertimbangkan bagi watak utama serta pelakon berkumpulan.
Katanya, situasi itu membuktikan naskhah PGL masih dekat di hati masyarakat walaupun sudah bertahun-tahun berlalu.
“Ada peserta yang hadir sebenarnya masih kecil ketika PGL dipentaskan dahulu. Itu sangat menyentuh hati saya kerana karya ini masih hidup dalam hati ramai orang,” katanya.
Dalam pada itu, Tiara menegaskan dia tidak mencari pelakon yang mahu meniru versinya terdahulu sebagai Gusti Putri, sebaliknya mahukan interpretasi baharu yang masih mengekalkan roh asal karakter berkenaan.
“Saya tidak mahu mencari salinan kepada apa yang pernah saya lakukan dahulu. Saya mahu pelakon yang memahami jiwa Gusti Putri tetapi membawanya dengan identiti sendiri.
“Saya mahu roh yang sama, tetapi dengan cahaya yang baharu,” katanya.
Menurut Tiara, watak Gusti Putri memerlukan kekuatan emosi, disiplin pentas serta stamina vokal yang tinggi kerana karakter itu membawa sebahagian besar perjalanan cerita.
“Watak ini bukan sekadar cantik atau anggun. Putri membawa emosi yang sangat besar dalam keseluruhan persembahan.
“Pelakon perlu mempunyai aura, stamina emosi dan kemampuan pentas yang kuat untuk menghidupkan watak itu dengan meyakinkan,” katanya.
Selain Aisha dan Mila, produksi kali ini turut menampilkan Aqasha, Mimi Fly, Nadiah Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusuf Hashim sebagai antara pelakon utama.
Tiara turut menyifatkan pelakon berkumpulan sebagai ‘nadi’ yang membina dunia PGL di atas pentas menerusi elemen tarian dan nyanyian secara langsung.
“Pelakon berkumpulan bukan sekadar pelengkap. Mereka adalah tulang belakang kepada keseluruhan persembahan. Sebab itu aspek teknikal seperti tarian dan nyanyian langsung tidak boleh dikompromi,” katanya.
Dalam usaha memperkukuhkan persediaan produksi, Enfiniti Academy bakal menganjurkan bengkel Tarian Jawa dan Silat Melayu buat semua pelakon terpilih sebelum latihan penuh bermula Ogos depan.
Dua tenaga pengajar dari Solo, Indonesia iaitu Danang Pamungkas dan Dewi Galuh Sinta Sari turut dibawa khas bagi memastikan elemen budaya dan estetika pementasan dapat dipersembahkan secara autentik.
Puteri Gunung Ledang The Musical dijangka menjadi antara produksi teater terbesar tahun ini menerusi gabungan elemen muzikal, dramatik dan visual berskala mega yang bakal menghidupkan semula legenda Puteri Gunung Ledang kepada generasi moden.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(82).png)







0 Ulasan