Dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan seni nasyid dalam wajah lebih moden dan relevan, projek Nasyid Friday tampil sebagai gerakan baharu yang menggabungkan elemen muzik, dakwah dan kandungan digital khusus buat generasi muda masa kini.
Diasaskan personaliti dakwah terkenal, Adnin Roslan menerusi Tarbiah Sentap, projek berskala besar itu membawa misi menghidupkan semula hiburan berunsur Islamik melalui pendekatan lebih segar, kreatif serta dekat dengan realiti kehidupan anak muda.
Menurut Adnin yang juga pengarah serta penerbit Nasyid Friday, idea menghasilkan projek berkenaan tercetus selepas melihat bagaimana generasi hari ini terlalu dekat dengan muzik, media sosial dan budaya hiburan digital.
Justeru, beliau percaya dakwah juga perlu hadir dalam bentuk yang lebih mesra generasi muda tanpa menghilangkan nilai dan mesej Islamik.
“Visi utama saya adalah untuk memberi alternatif hiburan kepada anak muda. Hari ini, anak muda sangat dekat dengan muzik, media sosial dan visual. Jadi saya percaya dakwah juga perlu hadir dalam bentuk yang dekat dengan jiwa mereka.
“Masyarakat hari ini sangat memerlukan hiburan alternatif yang mendidik jiwa dengan kualiti setara hiburan sedia ada,” katanya.
Mengambil keberkatan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari, Nasyid Friday dijadual berlangsung bermula Jun 2026 hingga Januari 2027 menerusi pelancaran karya baharu pada setiap minggu.
Projek itu menghimpunkan lapan penyanyi dan kumpulan nasyid terdiri daripada Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, One Path, Rabithah, Fetya, The Truth dan Autotune Band.
Kesemua mereka bakal tampil menerusi lapan album yang memuatkan enam lagu bersama video muzik dan kandungan dakwah kreatif.
Bagi Adnin, nasyid tidak seharusnya dilihat sebagai genre lama atau sekadar hiburan nostalgia, sebaliknya perlu diberikan nafas baharu agar terus relevan dengan perkembangan semasa.
“Saya percaya masyarakat masih cintakan karya yang mempunyai roh dan makna, cuma generasi hari ini memerlukan pendekatan lebih segar dan relevan dengan zaman mereka.
“Saya berharap Nasyid Friday dapat menjadi permulaan baharu kepada kebangkitan seni dakwah moden dan membuka ruang kepada lebih ramai anak muda mendekati Islam melalui seni yang indah, lembut dan menyentuh jiwa,” katanya lagi.
Selain menampilkan karya kerohanian, Nasyid Friday turut memberi tumpuan kepada isu dekat dengan realiti remaja dan anak muda seperti tekanan emosi, pencarian identiti, pengaruh media sosial serta kekosongan jiwa dalam dunia moden.
Sementara itu, kumpulan Fetya memilih untuk membawa tema Palestin dalam karya mereka sebagai simbol kebebasan, kekuatan iman dan kesedaran umat Islam.
Menurut wakilnya, Bilal, Palestin bukan sekadar isu geopolitik, tetapi lambang perjuangan yang wajar terus diangkat menerusi seni dan muzik.
“Palestin adalah simbol kebebasan dan kemerdekaan. Banyak perkara kita belajar daripada mereka termasuk kekuatan iman, tarbiyah jihadiyah dan kesatuan politik,” katanya.
Dalam masa sama, Rabithah menyifatkan projek itu sebagai alternatif hiburan yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu mendidik jiwa dan mengajak manusia kembali mendekati Allah.
“Karya yang kami hasilkan bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebagai alternatif hiburan yang mendidik jiwa, menenangkan hati dan mengajak manusia kembali dekat kepada Allah dan Islam,” ujar Ridwan mewakili kumpulan berkenaan.
Menambahkan lagi keunikan projek itu, beberapa selebriti tempatan turut tampil sebagai artis jemputan termasuk Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari yang dijangka terbabit dalam tiga album Nasyid Friday.
Tidak terhad kepada penerbitan lagu semata-mata, Tarbiah Sentap turut merancang menghasilkan sekitar 200 video dan kandungan dakwah setiap bulan merangkumi pelbagai bentuk media sosial, selain lapan sketsa dakwah bulanan, penerbitan buku serta jelajah dakwah di seluruh Malaysia.
Menurut Adnin, seni dan budaya sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan perkembangan dakwah Islam di Alam Melayu sejak dahulu lagi.
“Kalau kita melihat sejarah perkembangan Islam di Malaysia dan Alam Melayu, antara pendekatan digunakan para pendakwah terdahulu adalah melalui seni dan budaya
“Mereka menggunakan syair, qasidah, tulisan, penceritaan dan pelbagai bentuk seni untuk mendekatkan masyarakat kepada Islam dengan cara yang lembut dan menyentuh hati,” katanya.
Tambahnya, beliau mahu membuktikan karya yang mengingatkan manusia kepada Tuhan juga mampu dihasilkan dengan kualiti tinggi, visual moden serta susunan muzik yang mampu berdiri seiring arus hiburan semasa.
Dengan gabungan muzik, dakwah dan strategi kandungan digital yang tersusun, Nasyid Friday dilihat mampu menjadi antara usaha terbesar dalam mengembalikan semula kegemilangan seni nasyid tempatan dalam wajah lebih moden dan relevan dengan generasi hari ini.

.png)

.png)
.jpg.jpeg)
.png)
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan