ELLA 'UKIR SEJARAH' DI BATU KAWAN

Legenda rock tanah air, Ella bakal mencipta satu lagi sejarah dalam perjalanan seninya menerusi penganjuran konsert mega Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang akan berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 25 Julai depan.

Selepas mencetus fenomena dengan kehadiran lebih 55,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun lalu, konsert kali ini hadir dengan makna yang jauh lebih peribadi apabila ia menjadi simbol kepulangan Ella ke negeri kelahirannya, Pulau Pinang.

Lebih istimewa, penganjuran tersebut turut bertepatan dengan sambutan ulang tahun kelahiran Ella yang ke-60 selain meraikan hampir empat dekad perjalanan seninya sebagai ikon wanita rock paling berpengaruh di Malaysia.

Pengumuman rasmi konsert mega itu dibuat menerusi sebuah acara khas di ibu negara baru-baru ini, sekali gus membuktikan pengaruh berterusan Majlis Tertinggi Rockqueen Ella sebagai antara jenama konsert paling berprestij dalam industri hiburan tempatan.

Lebih membanggakan, Ella juga bakal mencatat sejarah baharu apabila menjadi artis solo pertama mengadakan persembahan mega di Stadium Negeri Pulau Pinang yang turut dikenali sebagai Stadium Batu Kawan. 

Pengarah Operasi Hitman Solutions, Rishi Rampal berkata, pihak penganjur menjangkakan antara 30,000 hingga 40,000 penonton bakal membanjiri stadium berkenaan.

“Tiada konsert pernah diadakan di Stadium Batu Kawan dan Ella menjadi artis pertama diberi kepercayaan untuk membuat persembahan solo di sana.

“Stadium itu sangat cantik dan selesa. Konsert ini juga diharap menjadi penanda aras buat artis tempatan lain untuk mengadakan persembahan di venue itu pada masa depan,” katanya.

Menurut beliau, pihak penganjur turut memberi perhatian serius terhadap aspek keselesaan penonton termasuk sistem kemasukan, vendor serta sistem bunyi bertaraf premium bagi memastikan pengalaman audio terbaik dapat dinikmati seluruh penonton.

“Sistem bunyi dan produksi kali ini juga berbeza daripada konsert terdahulu,” katanya.

Sementara itu, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin mengakui teruja untuk kembali membuat persembahan di kampung halamannya.

“Saya tak sabar untuk menjayakan konsert ini walaupun gementar. Semangat untuk pulang ke kampung halaman itu sangat kuat.

“Saya pilih Pulau Pinang sebab itu tempat saya dilahirkan. Tambahan pula ramai peminat di sana meminta kami kembali selepas persembahan terdahulu,” katanya.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif RockQueen, Azhar Ghazali menjanjikan pengalaman persembahan yang lebih luar biasa menerusi penggunaan elemen visual, pencahayaan dan kesan khas berskala besar memandangkan konsert itu diadakan di lokasi terbuka.

“Konsert di lokasi outdoor memberi lebih ruang untuk kami bermain dengan elemen visual, pencahayaan dan kesan khas.

“Kami mahu peminat di Utara merasai pengalaman konsert bertaraf mega yang mungkin belum pernah disaksikan di Pulau Pinang,” katanya.

Lebih daripada sekadar hiburan, konsert berkenaan turut membawa mesej kemasyarakatan menerusi kempen Peace. Love. Rindu. yang menjadi identiti rasmi penganjuran.

Menerusi inisiatif tersebut, setiap pembeli tiket berpeluang menyumbang RM2 kepada badan kebajikan pilihan mereka iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Azhar berkata, keseluruhan kutipan sumbangan itu akan diumumkan ketika konsert berlangsung sebagai sebahagian usaha menghubungkan hiburan dan tanggungjawab sosial.

“Kita mahu penonton bukan sahaja berhibur, tetapi turut sama menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menikmati pengalaman konsert berskala mega itu, tiket ditawarkan pada harga serendah RM39 dan kini sudah mula dijual menerusi Hitman Live.

“Saya mahu semua orang dapat hadir ke konsert saya. Tak mahal, tetapi tetap ada gaya,” kata Ella sambil tersenyum.

Konsert berdurasi hampir dua jam itu dijangka menampilkan lebih 20 lagu malar segar Ella, manakala artis undangan khas bakal diumumkan kemudian. Persembahan berkenaan akan dipimpin oleh Datuk Acis selaku Pengarah Muzik.

Catat Ulasan

0 Ulasan