Ikon rock tempatan yang semakin mencuri perhatian, KEETH terus melakar momentum tersendiri apabila tampil dengan buah tangan terbaharu menerusi EP berjudul Hollywood Diaries, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura rock moden Malaysia paling berpotensi di pentas antarabangsa.
EP berkenaan diperkenalkan secara rasmi dalam satu sidang media eksklusif anjuran Sony Music Malaysia dengan kerjasama SWYM Entertainment di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lebih membanggakan, pelancaran Hollywood Diaries hadir seiring kejayaan besar KEETH apabila berjaya muncul naib juara Asia New Beat Grand Finals yang berlangsung di Bangkok pada 21 Mac lalu, sekali gus mengukuhkan namanya sebagai antara bakat rock tempatan paling menyerlah di pentas serantau.
Pencapaian berprestij itu bukan sahaja membuka mata ramai terhadap kredibiliti seni dimilikinya, malah membuktikan muzik rock Malaysia masih mempunyai ruang besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Bukan sekadar hadir dengan imej rock semata-mata, KEETH turut dikenali sebagai penyanyi, penulis lagu dan pemuzik versatil yang memiliki vokal bertenaga serta aura persembahan pentas luar biasa.
Sepanjang perjalanan seninya, beliau pernah berkongsi pentas bagi membuka persembahan buat Steven Adler di venue legenda Whisky a Go Go di Los Angeles selain mewakili Malaysia ke World Championship of Performing Arts (WCOPA) dan membawa pulang enam pingat emas bersama gelaran Division Champion.
Malah, pengalaman membuat persembahan di festival antarabangsa seperti Byron Bay Bluesfest dan Bali Blues Festival turut membentuk identiti muziknya yang kini dilihat lebih matang, berani dan memiliki cita rasa bertaraf global.
Menurut KEETH, Hollywood Diaries bukan sekadar himpunan lagu, sebaliknya menjadi refleksi perjalanan hidup dan pengalaman seninya sepanjang berada di Los Angeles dalam usaha memahami makna sebenar rock n roll daripada perspektif lebih luas.
“Setiap lagu mempunyai identitinya sendiri, tetapi semuanya disatukan menerusi elemen gitar rock yang kuat dan bertenaga. Album ini banyak berkisar tentang kehidupan saya di Los Angeles dan interpretasi saya terhadap apa itu rock n roll.
“Cara terbaik memahami album ini adalah dengan menontonnya secara langsung dan saya sangat bangga akhirnya dapat berkongsi EP ini,” katanya.
Menariknya, EP berkenaan dirakam di Los Angeles, Indonesia dan Malaysia dengan gabungan elemen rock berat, blues, gospel serta sentuhan rentas budaya yang memberikan dimensi lebih segar terhadap keseluruhan naskhah muzik itu.
Antara karya yang paling mencuri perhatian ialah Fallin’ (Oceans) yang disifatkan sebagai lagu paling emosional dalam EP terbabit. Lagu berkenaan diinspirasikan daripada minat KEETH terhadap aktiviti meluncur ombak dan pelayaran laut selain pengalaman pengembaraannya mengenali budaya, bunyi serta manusia daripada pelbagai latar belakang.
“Lagu ini berasal daripada puisi yang saya tulis sendiri. Ia mewakili pelbagai emosi dan pandangan saya tentang cinta yang digabungkan dengan sentuhan bunyi Indonesia serta elemen muzik rock,” katanya lagi.
Dalam pada itu, KEETH turut menyuarakan keyakinannya bahawa pemuzik Malaysia mampu berdiri sebaris dengan artis antarabangsa tanpa sebarang batasan.
“Apa yang saya mahu tunjukkan ialah pemuzik dari Malaysia mampu membawa muzik kita, khususnya rock, ke peringkat antarabangsa. Saya berasal dari Malaysia, dan di mana sahaja pentasnya, saya sentiasa bersedia untuk rock n roll,” ujarnya penuh semangat.

.png)
.png)
.png)

0 Ulasan