Debaran minggu kelima program realiti Talk To My Manager 2 memuncak apabila pasangan Pak Azad dan Ammara Sofea diumumkan berada dalam kelompok tidak selamat sebagai pasangan ketiga yang sepatutnya meninggalkan pertandingan.
Bagaimanapun, Pak Azad dan Ammara menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran dilakukan pada konsert minggu berkenaan sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan perjuangan di pentas TTMM2.
Turut berada dalam kelompok tiga terbawah ialah pasangan Dato' Sri Vida bersama anaknya, Cik B serta pasangan Adira dan Anggrek.
Konsert minggu kelima itu turut mencuri perhatian apabila Adrian, anak kepada Amyza Adnan membuat penampilan khas di atas pentas.
Kehadiran Adrian nyata menyentuh hati penonton apabila dia sebelum ini sepatutnya menyertai program realiti berkenaan, namun terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan.
Penampilannya pada malam itu juga dilihat mencipta momen menyayat hati apabila Adrian kembali membuat persembahan demi memberikan sokongan kepada artis-artis yang masih meneruskan perjuangan di pentas TTMM2.
Sementara itu, anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie minggu keempat menjadi milik Linda Jasmine dan Ratu selepas berjaya mempamerkan persembahan yang menyentuh emosi penonton.
Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta hamper tajaan Eskayvie.
Dalam pada itu, Dato' A. Aida dan Azeva sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya mempertahankan gelaran Manager Paling Perform (MPP), sekali gus memilih rawatan spa sebagai hadiah kemenangan.
Program yang dihoskan Aznil Nawawi itu turut menampilkan barisan juri tetap iaitu Sarimah Ibrahim dan AC Mizal, manakala Shila Amzah tampil sebagai juri jemputan.
Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai berdasarkan persembahan keseluruhan dengan pecahan markah sebanyak 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis.
TTMM2 bersiaran secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104) dari Auditorium MBSA Shah Alam dan turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO serta Sooka.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(89).png)





0 Ulasan