TARUNG: UNFORGIVEN BUKTI FILEM AKSI TEMPATAN MASIH BERBISA

Walaupun bersaing dengan beberapa karya antarabangsa yang sedang menguasai pawagam ketika ini, Tarung: Unforgiven terus membuktikan kekuatannya sebagai antara filem aksi tempatan paling mendapat perhatian penonton apabila berjaya merekodkan kutipan memberangsangkan sebanyak RM10.5 juta dalam tempoh sembilan hari tayangan sejak mula ditayangkan pada 7 Mei lalu.

Kejayaan luar biasa itu sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap potensi naskhah sulung terbitan Aedy Ashraf menerusi syarikat produksi Alpha47 untuk mencipta pencapaian lebih besar dalam industri perfileman tanah air, termasuk merealisasikan sasaran kutipan RM50 juta yang diletakkan pihak penerbit.

Lebih membanggakan, filem arahan Razaisyam Rashid itu kini menduduki tangga pertama carta TOP 10 Movie GSC, sekali gus mengetepikan beberapa filem luar negara yang turut ditayangkan pada musim sama. Momentum positif itu turut diperkuatkan menerusi sambutan luar biasa penonton sepanjang siri jelajah promosi di sekitar Lembah Klang yang dibanjiri ribuan peminat.

Pencapaian awal Tarung: Unforgiven dilihat sebagai perkembangan positif buat industri filem tempatan, khususnya dalam memperkukuhkan kembali kekuatan genre aksi berskala besar yang menggabungkan elemen dramatik, emosi dan sinematografi moden setanding karya antarabangsa.

Mengangkat tema perjuangan hidup, trauma, pengorbanan dan penebusan diri, Tarung: Unforgiven membawa penonton menyelami perjalanan hidup Hatta lakonan Mierul Aiman, seorang bekas juara silat yang cuba meneruskan kehidupan selepas dihantui tragedi hitam masa lalu.

Bagaimanapun, kehidupannya mula berubah apabila kakaknya, Aisha lakonan Sharifah Sakinah mengalami masalah kesihatan kritikal yang memerlukan kos rawatan tinggi. Demi menyelamatkan kakaknya, Hatta terpaksa menerima tawaran memasuki gelanggang pertarungan haram milik Paduka Badrul.

Konflik semakin memuncak apabila Hatta dipertemukan dengan Isa lakonan Aedy Ashraf, sahabat lama yang kini berubah menjadi musuh akibat dendam dan luka silam yang masih belum terubat.

Dengan tagline “kau cuma ayam sabung”, filem ini bukan sekadar memaparkan dunia kongsi gelap dan pertarungan bawah tanah, sebaliknya membawa mesej lebih mendalam mengenai perjuangan manusia untuk berdamai dengan diri sendiri, memaafkan masa lalu dan mencari ketenangan hidup.

Razaisyam berkata, Tarung: Unforgiven bukan sekadar sebuah filem aksi komersial, tetapi karya yang cuba menyampaikan sisi emosi manusia menerusi pendekatan lebih matang dan realistik.

“Cerita ini sebenarnya berkisar mengenai perjuangan hidup setiap manusia. Namun, perjuangan paling besar ialah apabila kita berdepan dengan diri sendiri untuk belajar memaafkan.

“Simbolik filem ini juga sebenarnya menentang keganasan. Ia memperlihatkan perjalanan seseorang daripada tidak mampu memaafkan kepada akhirnya belajar berdamai dengan dirinya sendiri,” katanya.

Pengarah yang sebelum ini mencipta kejayaan menerusi My Indie Rock Darling, CEO, Pusaka, Mulut Masin, Saka Nan Sepi dan Kahar: Kapla High Council itu turut menyifatkan Tarung: Unforgiven sebagai antara karya paling mencabar pernah dihasilkannya sepanjang bergelar pengarah.

Menurut Razaisyam, filem terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu menuntut komitmen tinggi daripada seluruh tenaga produksi memandangkan ia dihasilkan dalam skala besar selain melibatkan pelbagai babak aksi intensif.

Malah, karya berkenaan turut menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Kementerian Komunikasi.

Dalam memastikan setiap babak aksi tampil lebih realistik dan autentik, Razaisyam mengambil pendekatan berbeza apabila tidak menggunakan pelakon lagak ngeri bagi keseluruhan babak pertarungan.

“Saya mahu semuanya nampak jujur. Seratus peratus babak aksi dilakukan sendiri oleh pelakon. Apa yang penonton lihat di layar benar-benar datang daripada mereka sendiri.

“Malah, daripada aspek emosi hingga air mata, saya mahu semuanya dirakam secara autentik,” katanya.


Sementara itu, Aedy mengakui pembikinan Tarung: Unforgiven menjadi antara pengalaman paling mencabar sepanjang karier seninya apabila beliau bukan sahaja tampil sebagai pelakon, malah memikul tanggungjawab besar sebagai penerbit dan penerbit eksekutif.

Katanya, proses menghasilkan filem dengan kos produksi sekitar RM3 juta itu menuntut pengorbanan besar daripada seluruh pasukan produksi termasuk kru teknikal, pasukan kostum dan barisan pelakon.

“Saya pernah sampai tahap seminggu tidak tidur kerana mahu memastikan filem ini dapat memberikan pengalaman terbaik kepada penonton.

“Perjalanan menghasilkan filem ini sangat sukar, tetapi semua pengorbanan itu sangat berbaloi apabila melihat sokongan luar biasa penonton di pawagam,” katanya.

Aedy turut optimis Tarung: Unforgiven mampu mencipta sejarah tersendiri sekiranya terus mendapat sokongan penonton tempatan.

“Insya-Allah, sasaran kami adalah RM50 juta. Dengan sokongan penonton dan media, saya percaya filem ini mampu pergi lebih jauh.

“Namun, lebih penting daripada kutipan ialah bagaimana filem ini dapat memberi kesan kepada penonton melalui mesej dan emosi yang cuba kami sampaikan,” katanya.

Menurut Aedy, pemilihan genre aksi dibuat berdasarkan kajian pasaran yang menunjukkan penonton Malaysia masih menjadikan filem aksi sebagai pilihan utama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Alpha47 tidak mahu menghasilkan filem aksi kosong semata-mata untuk hiburan, sebaliknya mahu menyelitkan mesej lebih bermakna kepada penonton.

“Kami melihat filem bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk menyampaikan sesuatu. Penonton hari ini semakin bijak dan mereka mahukan cerita yang mempunyai jiwa,” katanya.

Selain kekuatan jalan cerita dan elemen aksi, Tarung: Unforgiven turut diperkuatkan dengan barisan pelakon terkenal seperti Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Aeril Zafrel, Ikmal Amry, Ubai Amir, Sky Iskandar, Razib Salimin, Shaharuddin Thamby, Wak Ruzaidi, Theebaan G dan Akmal Asyraf.

Filem ini turut mencipta keterujaan tersendiri apabila buat pertama kali menggandingkan Bront Palarae dan Zul Ariffin dalam sebuah filem aksi tempatan berskala besar.

Tidak sekadar menawarkan pengalaman visual sinematik menerusi teknologi bunyi Dolby Atmos, Tarung: Unforgiven turut menampilkan dua runut bunyi eksklusif iaitu ‘Test’ nyanyian kumpulan Distorted serta ‘Terbang’ oleh Noh Salleh.

Kini ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara, Tarung: Unforgiven dilihat berada pada landasan terbaik untuk muncul sebagai antara filem tempatan dengan kutipan tertinggi tahun ini sekiranya momentum sokongan penonton terus kekal dalam minggu-minggu mendatang.

4/5 Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan