Gunung Tidar yang terletak di bahagian selatan Kota Magelang, Jawa Tengah secara umumnya cukup terkenal dengan ‘paku’ Tanah Jawa. Biarpun ketinggiannya sekadar 503 meter dan tidak setinggi gunung-gunung lain di kepulauan Jawa, namun ia mempunyai keunikan tersendiri serta beberapa kisah misteri.
Penerbit Eksekutif, Dato KK Chua berkata, idea untuk menerbitkan filem tersebut timbul setelah mengetahui kisah-kisah misteri dalam kalangan masyarakat yang menghuni di kawasan Gunung Tidar.
“Saya tertarik dengan kisah urban legend yang diceritakan sehingga ia memberi inspirasi buat saya untuk menerbitkan sebuah naskhah seram. Apa yang menariknya, ia bukan sekadar filem mistik semata-mata, malah turut mengangkat budaya Sinden dan Sugihan,” ujarnya.
Paku Tanah Jawa diangkat daripada salah satu kisah mengenai seorang gadis yang dipandang serong masyarakat setempat. Ia berpunca daripada ibu gadis tersebut yang dikatakan telah mengorbankan ramai lelaki demi memenuhi syarat ritual sebuah ajaran sesat yang dianutinya.
Filem arahan Bambang Drias dan Dato KK Chua itu dibintangi barisan pelakon popular seperti Masayu Anastasia, Gisellma Firmansyah, MK K-Clique, Hasif Upin dan Wafda Saifan Lubis.
Dalam pada itu, Dato KK Chua memberitahu filem tersebut juga cukup istimewa apabila membabitkan gandingan kerjasama dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.
“Jadi, untuk barisan pelakon pula, kami telah memilih pelakon kedua-dua negara yang cukup popular dan ia adalah antara tarikan dalam filem ini,” jelasnya.
Mengenai proses pembikinannya pula, penggambaran bermula pada Mei 2023 dan berlangsung selama 14 hari di kawasan hutan yang terletak di Kota Jogjakarta.
“Kalau ditanya tentang gangguan pula, sudah tentu ada unsur-unsur mistik yang berlaku. Namun, penggambaran tetap berjalan seperti biasa. Lagipun, ada babak-babak ritual yang dilakonkan, tambahan pula kebanyakan penggambaran dilakukan di dalam hutan,” jelas Dato KK Chua
Pada masa sama, Dato KK Chua juga cukup optimis filem Paku Tanah Jawa akan mendapat sambutan baik penonton di Malaysia. Di Indonesia, tayangan filem Paku Tanah Jawa sudah mencecah 430 ribu penonton atau sebanyak RM6.45 juta kutipan box office.
“Selain genre seram antara yang menjadi kegemaran penonton, saya percaya penonton akan tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan,” ujarnya.
Filem Paku Tanah Jawa akan mula menemui penonton apabila ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 27 Jun 2024.
0 Ulasan