AEPUL ROZA LUAR BIASA

Walaupun menduduki carta Top 3 pada setiap minggu dan berada di kedudukan kurang selamat dalam minggu separuh akhir, Noor Syaiful bin Mohd Zalaludin atau Aepul Roza berjaya memintas ramalan peminat pada minggu akhir The Hardest Singing Show (THSS) dengan menjadi artis pertama yang menjuarai musim pertama program tersebut yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, malam tadi.

Aepul yang mendendangkan lagu It's My Life yang pernah dipopularkan kumpulan muzik rock dari Amerika Syarikat, Bon Jovi itu berjaya memperolehi markah tertinggi iaitu 82.30% dengan mengetengahkan konsep Emosi Instrumentasi dan lagu Melompat Lebih Tinggi nyanyian asal Sheila On 7 (duet bersama Putera Muhammad) mengalahkan lima bintang yang lain.


Kemenangan tersebut sekaligus melayakkan Aepul Roza untuk membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000, pakej pelayaran dan trofi sumbangan Astro. 

"Alhamdulillah, syukur pada Allah S.W.T kerana memberikan rezeki ini. Ini kali pertama saya memenangi hadiah sebegini apatah lagi cabutan bertuah pun saya tidak pernah dapat."

"Nak kata berdebar tu, mungkin. Sebabnya saya tidak menyangka persembahan malam tadi berjaya membuatkan saya terpilih. Buat rakan-rakan yang lain, terima kasih dan tahniah kerana anda juga pemenang," katanya.

Menariknya persembahan Aepul Roza bagi lagu It's My LIfe itu diibaratkan menonton sebuah persembahan konsert berskala besar di mana Aepul berjaya memukau seluruh penonton yang berada di dalam studio dan keseluruhan dari mereka memberikan standing ovation termasuk dari kesemua juri sekaligus menjadikan persembahan Aepul bersama Drama Band tersebut berada di kelasnya yang tersendiri. 

Edry Abdul Halim, yang juga seorang penerbit muzik rakaman, komposer dan juri tetap The Hardest Singing Show (THSS) itu berkata, pemilihan Aepul sebagai pemenang untuk musim pertama ini dibuat berdasarkan prestasi dan kesungguhan beliau untuk minggu terakhir program ini. 

"Dia seorang yang kreatif, boleh pergi jauh namun ada ketika dia perlu berhati-hati. Pemilihan Aepul bukan bermakna peserta lain tidak bagus, cuma kita mencari peserta yang sedikit berbeza, mampu memberikan wow kepada penonton dan tentunya dalam perkara ini, Aepul adalah layak digelar Juara.

"Berhubung peserta lain, tiada masalah. Bagi saya, untuk musim pertama ini kami juga melihat prestasi setiap minggu semua peserta cuma untuk pemilihan bagi keseluruhan malam ini terutamanya malam akhir, kita mencari seorang sahaja walaupun secara hakikinya, semua layak tapi hadiahnya satu sahaja," katanya.

Edry yang merupakan salah seorang dari anggota kumpulan KRU itu tidak menolak kemungkinan semua peserta adalah pemenang dan sebagai peserta mereka harus memahami tentang bagaimana untuk memikat penonton dalam persembahan kerana itu dicarinya bukannya populariti. 

Sementara itu Ayda Jebat memperolehi tempat kedua dengan markah keseluruhan 80.81%, Stacy 75.09% (tempat ke-3), Aisha Retno 74.69% (tempat ke-4), Putera Muhammad 73.51% (tempat ke-5) dan Zizi Kirana dengan markah 63.39% bagi tempat ke-6.

Bagi pemenang tempat kedua membawa pulang wang tunai RM20,000, pakej pelayaran dan trofi manakala tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej pelayaran dan trofi.

Manakala Anugerah Pilihan THSS Alha Alfa dimenangi Stacy dengan hadiah wang tunai RM10,000, manakala tempat keempat hingga keenam pula masing-masing membawa pulang RM5,000 setiap seorang.

The Hardest Singing Show (THSS)  musim pertama bagi malam terakhir ini menampilkan Penyanyi Nombor Satu Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza sebagai juri professional menggantikan Dato' Sri Rossa, manakala  Zizan Razak dan Edry Abdul Halim adalah juri tetap serta penampilan pengarah dan pelakon terkenal, Adlin Aman Ramlie sebagai juri jemputan.

Kredit Gambar: Astro & wajibtonton

Catat Ulasan

0 Ulasan