NONA ASIAH MENINGGAL DUNIA

Penyanyi veteran dan biduanita legenda yang suaranya banyak digunakan di dalam filem-filem melayu hitam putih, Nona Asiah atau Asiah Aman meninggal dunia di Singapura kira-kira jam 4.25 pagi. Pemergian biduanita tersohor itu disahkan anak lelakinya, Indra Shahril, seorang pengarah muzik disegani kepada media. Menurutnya, Allahyarhamah telah dimasukkan ke Hospital Changi, Singapura (CGH) sejak dua bulan lalu disebabkan masalah buah pinggang, paru-paru dan jantung. 

Allahyarhamah meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan dan jenazahnya akan disolatkan di Masjid Ba'alwie, Singapura kira-kira pukul 10.00 pagi esok sebelum dikebumikan. Nona Asiah pernah membintangi beberapa buah filem seperti Pelangi (1951) terbitan Nusantara Film Company dan Abu Nawas (1957) terbitan Filem Negara Malaysia. 

Kemerduan suara emasnya ketika mengalunkan beberapa buah lagu, membuktikan anak seni kelahiran kota Singapura ini pernah dipinjamkan suaranya di dalam filem-filem melayu era Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris Singapura melalui lagu-lagu latar terutamanya di dalam filem Chinta (1948), Nasib (1949), Nilam (1949), Rachun Dunia (1950), Hujan Panas (1953)  dan Bujang Lapok (1957).

Mak Nona / Nona Asiah dilahirkan dalam keluarga bangsawan dan pernah menghiburkan tentera Jepun di pangkalan tentera di Seletar dan Tengah. Antara perkara yang tidak pernah dilupakan beliau adalah saat merakamkan lagu dalam bahasa Jepun. 

Antara lagu popular dendangan beliau adalah Nada Merindu, Kau Di Sampingku, Senandung Rindu, Sirih Pulang Ke Gagang, Ciumku Lagi, Bunga Sakura, Sayang Di Sayang dan banyak lagi. 

Bagi menyanjung bakti Nona Asiah di dalam industri seni dan muzik nusantara, satu konsert telah diadakan pada tahun 2015 iaitu Si Cempaka Biru - Celebrating the Life of Nona Asiah di Esplanade, Singapura semasa Pesta Raya di mana penyanyi Aisyah Aziz, Amni Musfirah, Elfee Ismail, Imran Ajmain, Sarah Aqilah dan Rudy Djoharnaen diberi penghormatan untuk membuat persembahan istimewa buat legenda seni suara, Nona Asiah. 

Pada tahun 2016, melalui geran Pingat Budaya bagi penghasilan lagu menerusi susunan semula yang diterbitkan dalam bentuk rakaman CD, Nona Asiah merakamkan lagu bersama Najib Ali, Hazrul Nizam, Rilla Melati dan Syah Riszuan di mana Indra Shahril bertindak sebagai pengarah muzik. 

Penerima Pingat Budaya 2016, pengiktirafan tertinggi Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Singapura itu merakam dua lagu pertama ke piring hitam pada 1949 iaitu Ciumku Lagi (disesuaikan dari lagu Mexico yang malar segar, Besame Mucho) dan Bunga Sakura (lagu Jepun) pada awal kemunculannya.

Bagi menghargai sumbangan bakti Nona Asiah sepanjang 6 dekad pembabitannya di dalam industri seni tempatan, Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) telah menyenaraikan nama beliau di dalam Dewan Termasyur Wanita Singapura (SWHF) pada tahun 2022, manakala Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menerbitkan sebuah dokumentari khas mengenai lagu-lagu melayu di dalam filem melayu klasik bertajuk 'Angin Menderu' arahan Hasnul Rahmat. 

Dokumentari yang menampilkan Nona Asiah, Maria Menado, Neng Yatimah, Momo Latiff, Seniwati Zaiton, K.Fatimah, Aziz Sattar dan ramai lagi itu diterbitkan tahun 2013. 

Semoga roh Allahyarhaman Asiah Aman / Nona Asiah ditempatkan di kalangan mereka beriman dan disayangiNya. 

Gambar muka depan: Hasnul Rahmat

Catat Ulasan

0 Ulasan