PENGARAH FILEM MANSOR PUTEH MENINGGAL DUNIA


Pengarah dan pengkritik filem tanah air, Mansor Puteh meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Alam Damai, Cheras di sini pagi tadi. 

Berita pemergian Mansor,, 70, disahkan anak saudaranya Shahreza Musrafa, 49, yang berkata kejadian berlaku semasa Allahyarham memandu kereta dipinjam daripada rakannya.

"Allahyarham memandu kereta seorang diri dan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Shahreza berkata jenazah dihantar ke Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat sebelum dijangka dibawa pulang ke Kampung Pengkalan Rama Tengah, Melaka bagi dikebumikan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata kereta dipandu Mansor dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kejadian kira-kira 10.10 pagi. 

Beliau berkata mangsa yang memandu kereta Proton Iswara dari arah Taman Len Seng menghala Alam Damai mengalami kecederaan parah di kepala.

Sarifudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mansor mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi masa dari Institut Teknologi Mara (ITM) dan pernah menjadi wartawan sebelum melanjutkan pengajian dalam Sarjana Seni Halus dalam Pengarahan Filem di Columbia University pada 1978.

Beliau pernah mengarahkan filem berjudul Seman pada 1988, selain menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years atau Bertahun di Residensi.

Pada 2021, Mansor dilaporkan sebagai rakyat kedua terbanyak menderma darah dalam negara selain pernah menerima sijil pengiktirafan di atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali pada 2018.

Berita dipetik sepenuhnya dari Bernama

Catat Ulasan

0 Ulasan