SITI NURHALIZA & SUAMI TUNAIKAN BADAL HAJI WARTAWAN HUZZ

Keluarga kepada wartawan hiburan veteran iaitu Allahyarham Huzz bersyukur ibadah badal (upah) haji buat arwah selamat disempurnakan pada 15 Jun lalu.

Adik kepada Huzz atau nama penuhnya Kamal Huzaini Kamaludin iaitu Nur-ul Afida berkata, ibadah haji tersebut ditaja oleh pasangan Dato' Sri Siti Nurhaliza dan suaminya, Dato' Sri Khalid Mohamad Jiwa menerusi badan kebajikan milik mereka iaitu Yayasan Nurjiwa.

“Alhamdulillah selepas 20 hari pemergian Huzz ke rahmatullah, kami bersyukur kerana dimaklumkan badal haji buat arwah telah sempurna.

“Terima kasih khususnya buat Siti Nurhaliza dan suami kerana menunaikan janji mereka kepada Huzz ketika menziarahi sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Afida yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut berkongsi foto sijil badal haji arwah.

Siti sebelum ini memaklumkan suaminya berhasrat untuk menaja badal haji buat Huzz ketika arwah terlantar sakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser usus.

Sementara itu, ibu kepada arwah Huzz, Noor Hamid, 79, menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar dan Pencen Penakat sebanyak RM1,027 setiap bulan seumur hidup yang disampaikan Pengarah Negeri PERKESO Kuala Lumpur, Mohamad Asri Ngosman,  di mana arwah pernah berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Melayu sejak 1993 hingga 2019. 

Terdahulu, Huzz disahkan meninggal dunia pada 8 Jun lalu sekitar pukul 6.10 petang di kediaman abangnya di Pulau Pinang.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Berpusat Seberang Perai Utara di Permatang Langsat, Pulau Pinang.

Artikel ini telah dikeluarkan oleh KOSMO! ONLINE

Catat Ulasan

0 Ulasan