YOU ARE NOT ALONE (YANA) MESEJ YANG DIBAWAKAN HAZWANI HELMI

Aktivis kemanusiaan yang juga pelakon Nur Hazwani Afiqah Helmi, 27, atau lebih dikenali sebagai Hazwani Helmi kini muncul dengan lagu solo pertama berjudul You Are Not Alone (YANA).

Hazwani sebelum ini di dalam The Helmis bersama dengan Heliza Helmi dan pernah berduet dengan Sigma.

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Hazwani ini turut dibantu oleh Wan Saleh dari segi susunan muzik dan diterbitkan oleh Nurflix Production.

Menariknya, lagu itu terhasil ketika dia pulang daripada bantuan misi kemanusiaan di Gaza pada 2019.



Menurutnya, lagu YANA memiliki makna yang sangat mendalam sekaligus menjadikan ia karya yang sangat istimewa bagi dirinya.


“Lagu ini sudah lama iaitu dari 2019, waktu itu baru balik dari Mizi Gaza. Jadi, waktu itu terdapat ilham untuk katakan ‘you are not alone’. Ada seorang daripada kumpulan misi kami cakap apa kata buat lagu ‘you are not alone’.


“Jadi, waktu itu hanya ada melodi saja, lirik pun belum ada. Sehinggalah pada Ramadan tahun lepas iaitu pada 27 Ramadan, tiba-tiba teringat semula lagu ini. Ketika itu terus tulis lirik. Alhamdulillah, tak sampai 10 minit siaplah lirik lagu ini.



“Semangat juang anak Palestin yang mengalir, maka lagu ini juga turut lahir. Saya berdiri kuat sehingga kini, bukan kerana diri saya, tetapi kerana diri anak Palestin yang ada dalam diri saya.


“Disebabkan itu, mengambil inspirasi daripada mereka, saya pulangkan semula semangat lagu ini kepada mereka. Oleh itu, dengan merenung diri saya dalam perjuangan dan kemenangan mereka, saya berasakan tanggungjawab yang mendalam untuk berkongsi mesej ini harapan dan daya tahan dengan dunia yang lebih luas,” katanya.


Menurutnya, mesej yang ingin disampaikan menerusi YANA adalah isu-isu yang berlaku dalam kehidupan seharian sebagai contoh  hal keluarga, suami isteri, perceraian, patah hati,  gelandangan, kelaparan dan banyak lagi. 


“Dalam konteks ini, perlu disedari bahawa persoalan-persoalan seumpama ini menimpa penduduk di Palestin dengan lebih mendalam dan mungkin membawa implikasi yang lebih besar pada kehidupan mereka sehari-hari. 



“Dengan penekanan pada isu-isu ini, YANA berusaha untuk menggerakkan pemikiran dan perasaan masyarakat secara meluas agar mereka dapat lebih menghargai serta memahami cabaran yang dihadapi oleh individu dalam kehidupan sosial mereka. Itulah sebabnya, dalam konteks perbandingan, masalah yang diketengahkan ini diyakini membawa impak yang lebih mendalam kepada penduduk di Palestin, dan perlu disorot secara berterusan untuk membolehkan pemahaman dan empati yang lebih luas terhadap realiti kehidupan yang tidak dapat dielakkan itu.


“Ketahuilah kita tidak bersendirian dan kita tidak akan pernah membiarkan mereka sendirian. Di dalam lagu ini terdapat doa iaitu ‘Wahai Dzat yang Maha Hidup, serta Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaiki seluruh urusan atau keadaanku, dan janganlah Engkau mewakilkan aku kepada diriku sendiri dalam sekejap mata pun.’ Doa ini mengajarkan kita untuk memohon pertolongan kepada Allah yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri.



“Kita menyadari bahawa hanya dengan rahmat-Nya, segala masalah dan urusan dalam hidup dapat diselesaikan. Selain itu, doa ini juga mengingatkan kita untuk tidak menyandarkan segala urusan hanya kepada diri kita sendiri yang lemah, tetapi mempercayakan sepenuhnya kepada Allah yang Maha Kuasa.


“Bahagian ini ditutup dengan mengajak kita untuk merasa mengenainya kerana mengetahui bahawa segala urusan kehidupan adalah didalam percaturan Allah, sepertimana yang Allah mahukan,” katanya.


Istimewanya juga, lagu YANA ini adalah projek sulung gabungan pelajar Latihan Industri (LI) di Nurflix yang terdiri daripada pelajar perfileman Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Yayasan Melaka jurusan  Multimedia dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bidang  Komunikasi.



“Video muzik ini diarahkan oleh Imran Hakim. Video muzik Virtual Production dengan latar belakang CyberPunk ini dihasilkan dengan  menggunakan  Unreal Engine bagi mencapai  impian saya dalam penerbitan music YANA.


“Untuk benar-benar menghayati maksud lagu ini, penonton perlu menonton video muziknya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Lagu ini adalah satu ungkapan dari hati saya yang ingin berkongsi inspirasi dan pengalaman yang mendalam,” katanya.


Lagu You Are Not Alone telah dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBOX, dan Deezer pada 26 Julai lalu. 


Serentak itu, video muzik terbitan Nurflix Production Sdn Bhd itu juga boleh disaksikan di saluran YouTube peribadinya iaitu The Helmis.



Catat Ulasan

0 Ulasan