KONSERT SEARCH PENUH MAGIS!

Tidak hanya tampil berempat seperti selalu, Search kali ini melakar sejarah tersendiri apabila berkongsi pentas bersama 27 pemuzik orkestra sepanjang Konsert Symphonic Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Mega Star Arena, Sabtu lalu.

Sentuhan magis dalam orkestra yang disatukan bersama elemen rock di bawah pimpinan Datuk Mokhzani Ismail berjaya memukau ribuan penonton yang hadir pada malam itu.

Vokalis Search, Datuk Amy mengucapkan terima kasih kepada peminat setia mereka yang hadir dari pelbagai destinasi kerana turut sama menjayakan konsert yang digelar seperti sebuah pelayaran baharu mereka itu.

"Banyak-banyak terima kasih kepada anda semua yang datang untuk sama-sama melayari pelayaran epik ini.

"Sama-sama kita berlayar. Kita akan teruskan berlayar di masa akan datang," katanya.

Di pentas itu juga, Amy turut mengucapkan terima kasih kepada penganjur, Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM).

"Terima kasih kepada penganjur yang beri kepercayaan dan menjadikan ini satu pelayaran terbaharu kami," ujarnya lagi.

Search yang turut dianggotai Nasir (bass), Hilary Ang (gitar) dan Man Kidal (gitar) mempersembahkan lebih 20 lagu popular mereka sepanjang zaman.

Antaranya Isabella, Fantasia Bulan Madu, Rozana dan banyak lagi. Semua lagu itu mendapat sentuhan nafas baharu oleh penyusun muzik antarabangsa dari Jepun, Rie Tsuji.

Sementara itu, atas keprihatinan pihak penganjur dan pihak produksi, sebahagian dari setiap jualan tiket bagi konsert ini telah disumbangkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia bagi membantu artis-artis yang memerlukan.

Hasil kutipan sumbangan berjumlah RM5,000 disampaikan setelah konsert itu tamat.

Sumber berita dipetik sepenuhnya dari Utusan Malaysia 
Gambar: Maestro Media

Catat Ulasan

0 Ulasan