HIMPUNAN KUMPULAN ROCK MALAYSIA DI ROCK WARRIOR MUSIC FESTIVAL

 

MUSIM dan teknologi silih berganti seiring dengan peredaran zaman. Daripada era rakaman analog, industri kini beralih kepada era digital yang serba canggih dan hebat.
Namun ia sedikit pun tidak menenggelamkan kehebatan nama pemuzik legenda seperti Din dan Kid Search yang sinonim dengan panggilan Kid Din serta kumpulan Wings, XPDC dan May yang masih kekal relevan dalam industri hiburan tanah air dan merajai hati peminat.

Situasi ini lantas memberikan idea segar kepada Rumah Produksi Merah (RPM), milik lagenda rock tanah air, Dato’ Awie bagi menganjurkan Rock Warrior Music Festival (RWMF), satu acara muzik epik yang akan menghimpunkan band rock tanah air dalam satu persembahan bertenaga dan penuh nostalgia.
Rock Warrior Music Festival bakal berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi, dengan menjanjikan pengalaman muzik yang tiada tandingan kepada semua penggemar genre muzik rock.


Edisi sulung akan membuka tirai dengan menampilkan barisan artis rock terkemuka tanah air dan gempak seperti Wings, Search (Kid & Din) dan XPDC Militia.

Tidak ketinggalan turut serta ialah Spider, Pop Shuvit dan A.C.A.B. Kesemuanya akan mempersembahkan lagu-lagu hit mereka dari era kegemilangan rock sehingga era kini.

Dato’ Awie berkata, kelangsungan industri muzik perlu diteruskan dan penganjuran Rock Warrior Music Festival adalah salah satu usaha Rumah Produksi Merah untuk menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock, serta menyatukan generasi lama dan baru peminat muzik rock.


"Rock Warrior Music Festival adalah satu platform baru untuk mengenengahkan pemuzik-pemuzik lama, band-band lama dan juga band-band baru. Ini satu platform yang kita plan untuk buat setiap tahun.

"Dan, kita juga mahu menonjolkan semua bakat-bakat baru yang mana berkebolehan serta mencari talent-talent yang baru untuk mewarnai dan menggantikan yang lama-lama yang akan pergi.

"Itulah platform Rock Warrior Music Festival. Sekarang kami sedang pilih band-band baru dan juga band-band lama yang mahu naik semula, yang sedang ada untuk sama-sama dalam Rock Warrior," katanya.


Rock Warrior Music Festival adalah platform terbaik buat band rock baharu untuk menonjolkan bakat sekali gus memperkenalkan lagu dan karya mereka.
“Ini juga satu perkumpulan rock atau Rock United kerana kami panggil semua yang termampu ketika ini. Insya-Allah tahun depan kita akan besarkan lagi untuk menambah lagi.

"Kita akan bawa dari Singapura, Indonesia dan mana-mana negara jiran untuk bersama-sama. Sekarang ini kita kumpulkan dari Malaysia dan Singapura sahaja. Insya-Allah tahun depan jika ada rezeki kita buat lebih baik.



"Saya percaya festival ini akan menjadi titik utama yang mencorakkan semangat kesatuan dalam kalangan peminat muzik, sama ada mereka adalah golongan terdahulu yang sudah lama menggemari genre rock atau golongan terkini yang baru bersuara dalam dunia muzik ini," katanya.
 

Platform unik ini memberi peluang kepada kumpulan rock baharu untuk beraksi, mengagumkan penonton, serta memperkenalkan lagu dan karya original mereka kepada dunia.


“Dengan adanya penekanan yang diberikan oleh festival ini terhadap kepelbagaian bakat dalam kalangan penyampai lagu rock, ia memperlihatkan komitmen sebenar pihak penganjur dalam mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam industri muzik tempatan.

"Dalam Rock Warrior Music Festival, kita juga menyediakan pelbagai gerai-gerai jualan dan ada juga tarikan untuk kanak-kanak. Ini sebenarnya lebih kepada karnival tapi kami jadikan sebagai festival sebagai tarikan kepada semua golongan masyarakat. Yang tua akan dapat kembalikan balik nostalgia mereka. Yang muda akan dapat pengalaman baru. 


"Rock Warrior Music Festival bukan sahaja menjadi acara hiburan yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat-peminat muzik, tetapi juga menjadi tonggak penting yang mendokong perkembangan industri muzik rock di negara ini.

“Diharapkan festival ini akan terus menjadi mercu tanda yang membawa kegemilangan kepada muzik rock, serta menjana inspirasi dan semangat yang berterusan dalam kalangan peminat muzik tanah air,” katanya.

Vokalis kumpulan Wings ini juga menyatakan bahawa festival ini adalah satu penghargaan kepada peminat setia muzik rock di Malaysia.


“Rock Warrior Music Festival adalah untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asa menyokong genre ini. Kami mahu menghidupkan semula semangat rock, dan membawa pengalaman yang mengasyikkan kepada semua yang hadir,” katanya.
Selain persembahan muzik yang bertenaga, Rock Warrior Music Festival juga menawarkan aktiviti sampingan untuk menambah kemeriahan acara. 

Pelbagai vendor merangkumi gerai makanan dan minuman, serta produk lifestyle rock seperti aksesori, barangan eksklusif dan lain-lain lagi disediakan. Tidak ketinggalan ada juga pengisian untuk hiburan keluarga. Tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke festival ini.


Rock Warrior Music Festival turut memperkenalkan Pentas Rock Hero yang menampilkan 24 band dimana satu hari 12 band akan beraksi bermula dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam. Pentas Rock Hero terletak di dalam hangar KL Base.

Persembahan pada malam pertama Rock Warrior Music Festival akan diisi oleh Wings, Search KidDin dan XPDC Militia manakala malam kedua menampilkan May, Spider, Pop Shuvit, A.C.A.B. dan Ella Rockqueen.


Tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September lalu dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web https://rockwarrior.ubertickets.asia/

Harga tiket untuk dua hari iaitu Gold (seated) RM250, Silver (standing) RM200 dan Bronze (standing) RM150. Menariknya, pembeli tiket RM150 dibolehkan membawa kerusi healing/camping untuk menyaksikan persembahan artis.

Band yang ingin menyertai Pentas Rock Hero boleh menghantar demo atau video melalui e-mel rpmerah@gmail.com atau WhatsApp ke 012 – 243 9856 / 019 – 372 1756



Catat Ulasan

0 Ulasan