KONSERT TERMAHAL UDIT NARAYAN DI KUALA LUMPUR

Bagi anda yang membesar dengan muzik era tahun 1990-an, pastinya anda cukup mengenali ikon muzik terkenal ini. 

Menyanyikan lebih 25,000 buah lagu dalam 36 bahasa, Udit Narayan antara figura muzik tersohor yang suaranya banyak dipinjamkan oleh bintang filem Hindi terkenal antaranya, Datuk Shah Rukh Khan, Salman Khan, Amir Khan dan banyak lagi.

Berkecimpung hampir tiga dekad di dalam lapangan seni muzik Bollywood, Udit Narayan banyak mendendangkan pelbagai buah lagu yang melatari filem-filem Bollywood antaranya, Unees Bess (1980), Pyaar Ka Mandir (1988), Hum (1991), Kabhi Haan Kabhi Naa (1994), Aur Pyar Ho Gaya (1997), Hum Saath Saath Hain (1999), Ka Ho Naa Pyar Hai (2000), Dhadkan (2000), Lagaan (2001), Om Shanti Om (2007)  sehinggalah Bombay Talkies (2013) .

Kemunculan Udit Narayan pada 28 Disember depan di Kuala Lumpur, merupakan antara konsert termahal dalam sejarah penganjuran acara muzik terbesar di Malaysia. Bintang seni suara tersohor itu khabarnya bernilai harga jutaan ringgit untuk persembahan selama 3 jam.

"Ia bukan satu kos yang sedikit, ia bernilai berjuta ringgit demi memberikan hiburan eksklusif buat pencinta muzik Bollywood di Malaysia. 

"Kami tidak boleh mendedahkan berapa jumlahnya, takut nanti ada yang terkejut. Biarlah ia sekadar angka, tetapi nilainya memberikan definisi muzik adalah satu 'perniagaan' yang memerlukan pengorbanan yang tinggi dari sudut mental, kewangan dan berpasukan," kata Gunasegaran Palanisamy, penganjur konsert sewaktu sidang media konsert tersebut di Petaling Jaya, Selangor. 

Konsert yang dibawakan khas pada 28 Disember, pada jam 7.30 malam bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur oleh VVST Digital Creation itu menjanjikan persembahan bertaraf antarabangsa, kerana bintang terkenal, Udit Narayan bukan calang penyanyi yang akan menghiburkan penonton, malahan kemunculannya amat dinantikan peminat muzik pelbagai bangsa. 

Menariknya, konsert yang bakal menampilkan Udit Narayan bersama barisan pemuzik terkenal dari India itu akan membawakan tiga penyanyi terkenal Bollywood lain dan seorang penyanyi tempatan dengan 40 seleksi lagu terbaik Udit Narayan di sepanjang 44 tahun pembabitannya di dalam industri muzik Bollywood.

Dalam satu temu bual yang diadakan secara maya, Udit Narayan Jha, 68, berkata, beliau tidak sabar untuk kembali ke Malaysia bagi bertemu peminat di Kuala Lumpur. Menurutnya, di sini beliau mahu semua peminatnya merasa puas dengan persembahannya nanti.

Tiket konsert berharga serendah RM148 Bronze sehinggalah RM1,466 (MIP) boleh dibeli sekarang menerusi platform My Ticket Asia atau boleh menghubungi penganjur di vvstdigital@gmail.com. 

Catat Ulasan

0 Ulasan