GV11: RONNIE HUSSEIN AKUR PENCAPAIAN DIRI


Walaupun dilihat seperti agak kecewa dengan keputusan yang diumumkan malam tadi, penyanyi Ronnie Hussein menganggap penyingkirannya di Gegar Vaganza 11 (GV11) yang diumumkan pada minggu separuh akhir yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam itu sebagai momen penuh bersejarah sepanjang 11 minggu beliau beraksi di hadapan penonton secara langsung. 

Ronnie yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Impian Cinta (Rem) dan Revolusi (Bunkface) itu berkata, beliau sangat terhutang budi dengan GV11 kerana melaluinya beliau dapat kembali aktif berada di dalam industri muzik dan hiburan tanah air. 

"Saya sebenarnya sangat terhutang budi dengan program Gegar Vaganza 11 (GV11) ini. Walaupun saya merasakan saya akan tersingkir pada minggu sebelum ini, tetapi rezeki berpihak pada saya sehingga ke musim separuh akhir ini.

"Saya tidak mengatakan yang saya kecewa cuma saya sebenarnya terkejut dan tidak mengharap pun hingga ke pentas akhir. Jika ini rezeki saya, saya redha tetapi perjalanan karier muzik saya tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Banyak yang akan saya lakukan demi industri ini," katanya

Ronnie yang tersingkir pada minggu separuh akhir kini dalam perancangan untuk menghasilkan lagu single terbaharu bagi 2025 walaupun telah mengeluarkan sebuah lagu pada 2024 menerusi lagu Semua Kan Berakhir yang sudah berada di semua platform muzik dalam talian.


Ronnie yang memperolehi markah 59.70% malam tadi dilihat terlalu berhati-hati menerusi lagu nyanyian asal Rem itu. Tetapi sebaliknya memberikan persembahan penuh bertenaga melalui lagu nyanyian asal kumpulan Bunkface sehingga mendapat pujian juri. 

Penyingkiran Ronnie bagi penulis sangat mengejutkan kerana pada setiap minggu, Ronnie memberikan persembahan penuh bertenaga membuktikan bekas kumpulan Hyper Act ini bukan calang-calang Bintang GV kerana beliau mempunyai pengalaman lebih dua dekad di dalam industri hiburan tanah air. 

Memulakan kerjaya seawal tahun 1999, Ronnie pernah bekerjasama bersama penyanyi Indonesia Yanti Aryanto pada tahun 2003 untuk merakamkan semula lagu berjudul 'Bintang Kehidupan' nyanyian asal Nike Ardilla dan pernah menjadi salah seorang peserta One in A Million pada tahun 2007 namun tersingkir pada minggu kedua.


Gegar Vaganza 11 (GV11) minggu separuh akhir menobatkan Dadali Dyrga sebagai juara mingguan dengan markah 74.10%, manakala Liza Aziz (73.90%) berada di kedudukan kedua, Sheila Abdull (67.90%) di kedudukan ketiga, manakala Ning Baizura (67.40%), The Lima (65.60%) dan Zehra Zamri (64.50%). Kesemua bintang GV ini dapat mara ke minggu akhir Gegar Vaganza 11 (GV11) yang bakal berlangsung pada 9 Februari depan.

Percaturan beberapa lagu secara solo mahupun duet bersama bintang jemputan dari Indonesia dan Singapura pada minggu akhir GV11 membuka petanda bahawa program terbitan Astro ini saling melengkapi dan mampu bersaing dengan beberapa program realiti lain termasuk Carpis Soda One in A Million

Pentas akhir GV11 mempertaruhkan ramai bintang hebat dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Sudah tentu Astro akan berbelanja besar bagi memberi saingan sehingga menjadi trending dan viral sebagai program realiti popular pada tahun ini. 


Namun kehadiran Dato' M. Nasir malam tadi di GV11  amat menakutkan penyanyi kerana beliau tidak wajar berada di kerusi juri kerana karya muziknya lebih besar dan hebat dari semua yang ada di situ, malahan komen yang dilontarkannya agak puitis dengan maksudnya yang terlalu mendalam dan sukar difahami.  Beliau selamba dan tidak memperdulikan samada komen tersebut seiring dengan tuntutan program GV yang penuh warna-warni.  Itulah figura Dato’ M. Nasir yang begitu hebat dan legenda dalam liganya.

Namun persembahan istimewa dari Dato' M.Nasir juga malam tadi penuh magis membuktikan inilah anak seni sejati yang mempunyai aura sebagai penghibur dan kehadirannya di kerusi juri memberi signifikan bahawa GV perlu serius melahirkan kembali bintang yang terbaik dan mampu bersaing dengan penyanyi lain di dalam industri muzik tempatan.


Gegar Vaganza 11 musim separuh akhir dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad ini menampilkan Dato' Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang sebagai juri tetap yang dipancarkan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam, Selangor. 

Catat Ulasan

0 Ulasan